CYBERJAYA, 29 Nov ― Hanya 18.3 peratus daripada rakyat
Malaysia menggunakan sepenuhnya teknologi internet sedia ada untuk menjana
pendapatan dan meningkatkan potensi perniagaan mereka, menurut Kajian Pengguna
Internet 2017 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Ketua pegawai operasinya, Datuk Dr Mazlan Ismail berkata
jumlah yang dianggarkan itu masih lagi terendah di kalangan aktiviti dalam
talian lain walaupun 76.9 peratus atau 24.5 juta rakyat Malaysia adalah
pengguna internet, mengatasi purata global.
“Kita mempunyai kira-kira 800 Pusat Internet 1Malaysia di
seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar untuk memudahkan tugas harian
rakyat dan menjana pendapatan melalui perniagaan dalam talian.
Di samping itu, SKMM juga bekerjasama dengan Pos Malaysia
untuk memudahkan dan membantu menghantar produk usahawan luar bandar ke
negeri-negeri lain dan negara seperti Brunei dan Indonesia.
“SKMM akan terus memupuk semangat keusahawanan di kalangan
komuniti terutama di kawasan luar bandar dengan memanfaatkan kemudahan capaian
internet yang disediakan. Kita tahu beberapa kawasan tidak mendapat
liputan 4G seperti yang lain,” katanya kepada pemberita selepas
melancarkan Seminar Kerjasama Penyelidikan 2017 di sini semalam.
Sebanyak 13 projek penyelidikan dari lapan universiti
dipamerkan dengan penemuan penyelidikan interim berkaitan kesejahteraan maya,
literasi digital dan rangka kerja institusi pada seminar ertemakan “Membuka
Nilai Sosial Sosioekonomi Ekonomi Digital: Bekerjasama untuk Pertumbuhan dan
Impak.
Mazlan berkata kajian itu juga meliputi 18 kategori aktiviti
dalam talian, yang menduduki tangga teratas dalam senarai ialah
menggunakan Internet untuk berkomunikasi dalam pesanan teks (96.3 peratus
responden), layari rangkaian sosial (89.3 peratus), tujuan belajar (67.6
peratus), berkaitan kerja (56.3 peratus),beli-belah dalam talian (48.8
peratus), perkhidmatan kerajaan (45.9 peratus), dan aktiviti kewangan (41.7
peratus).
Beliau berkata rakyat Malaysia juga melayari internet untuk
mendapatkan maklumat, mendengar muzik, streaming video dan memuat naik audio,
imej dan bahan bacaan.
Beliau berkata kajian itu yang bermula pada November tahun
lepas dan berakhir pada Februari tahun ini menunjukkan bahawa seorang daripada
setiap empat rakyat Malaysia tidak menggunakan Internet, kurang keyakinan dan
minat ialah antara alasan utama tidak menggunakan internet.
Kajian Pengguna Internet 2017 telah menemu bual sejumlah
3,469 responden (2,402 pengguna Internet dan 1,067 bukan pengguna Internet)
melalui sistem Temubual Melalui Telefon Berkomputer (CATI). - Bernama
(Diambil daripada artikel Malay Mail Online yang bertajuk, "24.5 Juta Rakyat Guna Internet, Hanya 18.3 Peratus Cari Duit" bertarikh 29 November 2017)