Sekolah St Thomas, Kuantan |
LEBIH 9,800 penyokong menggesa kerajaan pertahankan nama
sekolah-sekolah mubaligh di Malaysia.
Sokongan tinggi yang diterima dalam tempoh 24 jam itu dibuat
melalui petisyen dalam talian change.org.
Pada 10.30 pagi tadi, petisyen bertajuk "Stop changing the name of mission schools in Malaysia"
hanya kurang 200 tandatangan sahaja lagi untuk mencapai sasaran 10,000
untuk dikirim kepada kerajaan.
Ditujukan kepada Putrajaya, petisyen itu mengangkat kes
sekolah mubaligh St Thomas Kuantan, Pahang yang mungkin akan kehilangan nilai
sejarah memandangkan jabatan pendidikan negeri menyifatkan nama sekolah itu
tidak sesuai.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan
Tugas-Tugas Khas Negeri Pahang, Norol Azali Sulaiman dilaporkan berkata nama
sekolah rendah dan menengah St Thomas akan ditukar kepada Sekolah Mahkota
Abdullah selepas dipindahkan ke bangunan baharu nanti.
Dilaporkan bahawa Unit Perancang Ekonomi telah meluluskan
permohonan Jabatan Pendidikan untuk membina kompleks baharu di Kemunting untuk
kedua sekolah itu, dengan peruntukan bernilai RM56 juta.
Pembinaan bangunan itu dijangka bermula tahun hadapan.
Rebecca D’Cruz yang memulakan petisyen dalam talian itu
berkata, sekolah St Thomas itu hanya tinggal “nyawa-nyawa ikan dan bakal
menjadi hanya sekadar lipatan dalam sejarah.”
“Ada apa pada nama?” tulisnya.
“Segala-galanya.”
Kata D’Cruz, sekolah itu berada di tanah utama di Jalan
Gambut, dan berikutan pertikaian di mahkamah dengan Gereja Katolik, Jabatan
Pendidikan telah mengarahkan sekolah rendah dan menengah itu kosongkan tanah
berkenaan.
“Ada suara-suara yang mengatakan tapak itu berdekatan dengan
bangunan Majlis Perbandaran Kuantan di Tanah Puteh, dan sekolah baharu itu akan
diberi nama baharu,” katanya.
“Saya menyeru semua pelajar sekarang dan bekas pelajar, dan
sesiapa sahaja yang menganggap keputusan ini salah supaya mengatakan ‘tidak’
terhadap sebarang proposal untuk menukar nama Sekolah St Thomas.”
D’Cruz berkata, ramai rakyat Malaysia dibentuk di
sekolah-sekolah mubaligh di mana mereka belajar mengenai prinsip Rukun Negara
dan bagaimana untuk hidup dalam kepelbagaian budaya Malaysia ini.
“Sebagai masyarakat berbilang kaum, kita diajar untuk tidak membiarkan isu agama dan kaum memisahkan kita. Banyak pengajaran penting berkaitan
kehidupan telah diasuh kepada kita melalui sekolah-sekolah mubaligh seperti
Sekolah St Thomas ini,” katanya.
Sekolah mubaligh dibina pada tahun 1950 oleh Pendeta British
Louis Guittat, atas arahan Marist Brothers. Pada 1960, ia telah diambil alih
oleh Brothers of St Gabriel.
Sepanjang operasi sekolah itu, ia telah menghasilkan ramai
pelajar termasuklah kerabat diraja Pahang Putera Mahkota Tengku Abdullah
Sultan Ahmad dan adiknya Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
“Sultan Ahmad Shah Pahang menghadiri sambutan jubli perak St
Thomas pada 1975,” kata D’Cruz.
“Bila reunion, bekas pelajar kerap mengunjungi bangunan
sekolah menengah ini yang sekarang ini dijadikan kolej antarabangsa, selain
melawat bangunan sekolah rendah yang buat masa sekarang terbengkalai.”
Minggu lalu, Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor MP Ramkarpal
Singh menyoal Jabatan Pendidikan berkaitan keputusan untuk menukar nama Sekolah
St Thomas.
Memetik kerabat Pahang antara alumni sekolah itu, Ramkarpal
berkata, sekolah itu kaya dengan sejarah bukan sahaja di Kuantan malah seluruh
Malaysia, yang menurutnya sama taraf dengan sekolah mubaligh lain seperti
Xavier's Institution dan St Michael's Institution di Perak.
“Buat masa ini, seperti dilaporkan, saya bingung kepada nama
’St Thomas’ dianggap tidak sesuai oleh Kementerian Pendidikan.
“Saya tidak ada masalah dengan nama baharu yang dicadangkan
tetapi saya sendiri tidak faham kenapa nama asalnya itu ‘tidak sesuai,’”
katanya seperti dilaporkan. – 29 November, 2017.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Hampir 10,000 Tandatangani Petisyen Desak Kekalkan Nama Sekolah" yang ditulis oleh Looi Sue-Chern bertarikh 29 November 2017)