Sabtu, 23 Disember 2017

Foto Terkenal "Bumi Terbit" dan Pembacaan Ayat Kejadian Dari Kapal Angkasa Apollo 8 Pada 24 Disember 1968

Foto terkenal Bumi Terbit yang telah diambil
oleh angkasawan Jim Anders dari kapal
angkasa Apollo 8 pada 24 Dis 1968

Kita tentu saja biasa melihat matahari terbit. Tapi pernahkah sesiapa melihat bumi terbit? Tiga angkasawan misi Apollo 8 adalah manusia pertama untuk melihat bumi terbit sewaktu kapal angkasa mereka mengelilingi bulan pada 24 Disember 1968.

Pada pagi sebelum Krismas, kapal angkasa Apollo 8 sedang memasuki orbit keempat mengelilingi bulan. Sementara Komander Penerbangan, Frank Borman melaksanakan putaran yang rutin, Bill Anders melihat keluar jendelanya dan bersorak, "Oh Tuhan."

Tergantung di tengah ruangan gelap angkasa seperti sebiji bola biru yang berkilau adalah Bumi, yang sedang terbit di langit ke atas permukaan bulan. 

"Oh, Tuhan, lihat gambar di situ! Itulah Bumi sedang terbit. Wah, cantiknya!"

"Hei, jangan ambil foto itu, Itu tak ada dalam jadual," Frank Borman bergurau. Dalam segala persiapan untuk mengkaji dan mengambil foto bulan secara teliti, tiada orang yang terfikir untuk mengalihkan arah kamera kembali terhadap kampung halaman yang 240,000 batu jauhnya. 

Ketika Bumi Terbit muncul dalam pandangan, kamera Hasselblad 500 EL milik anak-anak kapal telah dipasang dengan lensa telefoto Zeiss Sonnar 250mm dan diisi dengan filem hitam putih Kodak 70mm.

Foto Bumi Terbit dalam hitam putih
diambil oleh Frank Borman

Sambil Anders - atau adakah itu Borman? - mengambil beberapa foto yang pertama, Lovell menyelongkar almari untuk mencari gulungan filem warna. Kapal angkasa itu terus berputar dan Bumi pun hilang dari pandangan angkasawan-angkasawan itu.

"Oh, nampaknya kita sudah terlepas," kata Anders.

Kemudian Bumi muncul lagi di jendela. Dengan kamera kini sudah diisi filem warna, Anders mengambil posisi untuk bergambar. 

Menyedari betapa pentingnya detik itu, Lovell dengan teruja memberi arahan.

"Kamu dapatkah?"

"Ya," kata Anders.

"Ambil beberapa. Ambil beberapa fotonya. Sini, bagi dengan saya." 

"Tunggu sekejap. Biar saya dapatkan setting yang tepat sekarang. Bertenang. Bertenang dulu, Lovell."

"Ya, saya sudah dapatkannya - wau, itu foto yang cantik. Dua lima puluh pada f/11."

"Sekarang ubahkan, ubahkan pendedahannya sedikit."

"Ya, sudah, Saya sudah ambil dua fotonya di sini."

"Kau pastikah sudah dapat?" 

Oh, dia sungguh telah dapat foto itu. Sekali filem itu telah kembali dengan selamat dan dicuci, dunia menyedari bahawa foto Bumi Terbit oleh Anders itu mungkin adalah foto yang paling mengkagumkan pernah diambil. Dia telah pun mengambil foto seluruh bumi ketika detik-detik awal berlepas dari orbit bumi. Dan satu penerbangan tanpa manusia yang mengelilingi bulan juga telah mengambil foto bumi dalam hitam putih resolusi rendah pada 1966. Tetapi ini dalam warna penuh diambil oleh seorang manusia dari sudut pandang terbaik dunia lain.

Foto itu disenaraikan sebagai 100 Foto Paling Berpengaruh Sepanjang Masa 

Lovell kemudian akan mengisahkan pemandangan Bumi itu sebagai "oasis yang hebat dalam luasnya ruangan angkasa." Dalam satu esei muka depan New York Times, penyajak Archibald MacLeish menulis: "Untuk melihat bumi seperti adanya, kecil dan biru dan cantik dalam kesenyapan kekal di mana ianya terapung, adalah melihat diri kita sebagai penumpang-penumpang bersama di bumi, sebagai saudara-saudara di dunia cantik berkilau dalam kekekalan yang dingin -- saudara-saudara yang kini tahu bahawa mereka benar-benar adalah bersaudara."

Foto ikonik Anders itu akan mengilhamkan Hari Bumi yang pertama pada 1970, dan berdekad-dekad kemudian akan disenaraikan di tempat pertama dalam "100 Foto Yang Telah Mengubah Dunia" oleh majalah Life.

Pada Mulanya

Pada malam itu, NASA telah merancangkan satu siaran langsung televisyen sempena malam Krismas. Borman. Lovell dan Anders disuruh menyampaikan ucapan salam dari kapal angkasa mereka yang mengelilingi bulan. Mereka hanya diberi arahan oleh NASA untuk "mengatakan sesuatu yang sesuai"

Ketiga-tiga mereka telah bergumul mengenai apa yang harus dikatakan. Mereka inginkan sesuatu yang memiliki maksud rohani, tetapi tidak dapat mencari sesuatu yang bersesuaian dengan detik itu. Dalam Genesis: The Story of Apollo 8, Robert Zimmerman mengisahkan apa yang terjadi kemudian. Dua minggu sebelum misi itu, Borman telah menghubungi seorang kawan, Simon Bourgin dari Agensi Maklumat Amerika Syarikat untuk bantuan. Bourgin juga tergamam, oleh itu dia menghubungi seorang penulis bebas, Joe Laitin.

Sambil membelek sebuah Alkitab Gideon untuk ilham, Laitin bekerja sampai lewat malam, menaip dan kemudian meronyokkan beratus keping kertas. Akhirnya isterinya, Christine, mencadangkan agar dia "bermula dari permulaannya." Laitin melihat ke kisah penciptaan di Kejadian 1 dan menyedari bahawa dia telah menemukannya.

Dia menghantar memo kepada Bourgin, mencadangkan Kejadian 1:1-10 dan menambah satu baris penutup yang pendek. Bourgin menaip teks itu dalam surat kepada Borman. Angkasawan-angkasawan itu suka benar dengan cadangan itu. Borman membuat fotokopi surat itu dan menambahkannya ke dalam pelan penerbangan.

Dari kiri: Frank Borman, Bill Anders,
dan Jim Lovell dari Apollo 8

Sekarang, dengan berjuta-juta orang sedang menonton dari sekeliling Bumi, mereka pun ke udara. Setelah penjelasan ringkas apa yang mereka telah lakukan pada hari itu semasa mengelilingi bulan - cukup mengkagumkan - mereka beralih kepada surat Bourgin

Anders yang bermula dahulu: "Kami sekarang sudah hampir pada terbit matahari di bulan, dan kepada semua orang di Bumi, kru Apollo 8 mempunyai satu mesej yang kami ingin sampaikan kepada anda."

Pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi.
Bumi belum berbentuk dan kosong; gelap gulita menutupi samudera raya, dan Roh Allah melayang-layang di atas permukaan air. 
Berfirmanlah Allah: "Jadilah terang." Lalu terang itu jadi.
Allah melihat bahwa terang itu baik, lalu dipisahkan-Nyalah terang itu dari gelap.

Seterusnya Lovell membaca:

Dan Allah menamai terang itu siang, dan gelap itu malam. Jadilah petang dan jadilah pagi, itulah hari pertama.
Berfirmanlah Allah: "Jadilah cakrawala di tengah segala air untuk memisahkan air dari air."
Maka Allah menjadikan cakrawala dan Ia memisahkan air yang ada di bawah cakrawala itu dari air yang ada di atasnya. Dan jadilah demikian.
Lalu Allah menamai cakrawala itu langit. Jadilah petang dan jadilah pagi, itulah hari kedua.

Borman mengakhirinya:

Berfirmanlah Allah: "Hendaklah segala air yang di bawah langit berkumpul pada satu tempat, sehingga kelihatan yang kering." Dan jadilah demikian. 
Lalu Allah menamai yang kering itu darat, dan kumpulan air itu dinamai-Nya laut. Allah melihat bahwa semuanya itu baik.

"Dan dari kru Apollo 8," dia meneruskan, "kami mengakhiri dengan selamat malam, selamat berjaya, selamat Hari Natal, dan Tuhan memberkati anda semua, anda semua di Bumi yang baik." 

Secara peliknya, imej rohani paling berkuasa dari program angkasa lepas itu bukanlah mengenai ke manakah kita telah pergi, tetapi dari mana kita datang. Kisah kejadian tidak pernah lebih berkuasa dari bila dibawakan oleh hanya tiga manusia yang pernah melihat seluruh Bumi dari sudut pandang syurgawi. Daya usaha manusia telah bertemu dengan keluasan dan kecantikan penciptaan, dan satu-satunya respons yang bersesuaian adalah untuk memandang bukan kepada diri kita, tetapi ke arah Tuhan.


(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Christianity Today bertajuk "Earthrise: The Day Our View of the World Changed" yang ditulis oleh Jim Killam)