Rabu, 27 Disember 2017

Keajaiban Krismas 1914


Peperangan dahsyat sekali. Ahli-ahli sejarawan bersetuju bahawa salah satu daripada konflik yang paling membawa maut dalam sejarah manusia adalah Perang Dunia I, yang telah berlangsung di antara 28 Julai 1914 sehingga 11 November 1918, dan telah mengakibatkan kematian lebih 16 juta manusia. Ianya adalah perang "modern" yang pertama, menggunakan kereta kebal dengan meriam yang kuat, kapalterbang, mesingan dan gas racun. 

Paling teruk bagi askar-askar adalah peperangan dari parit, di mana pasukan-pasukan tentera akan menembak satu sama lain dari parit yang dalam yang telah digali sepanjang beratus batu. Kehidupan dalam parit yang berlumpur dan penuh penyakit itu teruk. Untuk meninggalkan parit akan membawa risiko ditembak dan dibunuh. Jarak di antara dua parit bertentangan itu dikenali sebagai "No Man's Land" (Kawasan Yang Tidak Dimiliki) dan bertaburan dengan mayat askar. 

Pada malam sebelum Krismas 1914, di sepanjang barisan depan Barat peperangan di Flanders, Belgium,  suatu keajaiban telah terjadi. Di satu pihak, askar-askar Inggeris dan Perancis sedang berlindung di parit mereka. Di satu pihak lagi, tentera Jerman melakukan yang sama. Perang telah berlangsung selama lima bulan. Malam itu sejuknya sampai menggigit jari. 

Askar-askar berlindung dalam parit
semasa Perang Dunia I

Tiba-tiba seorang askar Inggeris yang sedang memerhatikan garisan depan musuh Jerman terlihat sebatang pohon fir yang kecil yang dihiasi dengan lilin yang berkerlipan. Dia membetulkan teropongnya dan melihat lebih teliti dengan tidak percaya.

Dan kemudian datanglah melintasi tanah No Man's Land yang sejuk beku, bunyi bernada rendah - bukan bunyi senapang - tetapi bunyi suara askar-askar Jerman menyanyi "Stille Nacht, Heilige Nacht..." mula-mulanya secara lembut dan kemudian semakin kuat dengan setiap rangkap baru. Walaupun kata-katanya dalam bahasa yang asing, irama karol itu - dan mesejnya - tidak asing lagi.

Askar-askar Inggeris dan Perancis memberi respon,  menguatkan suara mereka dan bernyanyi "Silent Night, Holy Night..." Tentera-tentera itu berbalas-balas rangkap dalam bahasa Inggeris dan Jerman berulangkali. Itu terjadi selama beberapa minit.

Kemudian dari parit sebelah Jerman, seorang  askar mengangkat satu papan tanda yang ditulis kasar, "YOU NO SHOOT, WE NO SHOOT" (Kamu tak tembak, kami tak tembak). Askar-askar Inggeris dan Perancis membalas dengan melambaikan suatu panji lusuh yang bertulisan "MERRY CHRISTMAS"

Dengan berhati-hati, askar-askar yang bersenjata itu mula muncul dari parit-parit mereka. Secara perlahan-perlahan mereka melintasi No Man's Land yang digeruni itu, sehingga mereka bertemu wajah dengan wajah dalam suasana udara amat sejuk itu.

Askar-askar kedua pihak bertemu di tengah medan perang, 25 Dis 1914

Untuk seketika, askar-askar yang terlatih rapi itu tidak tahu apa untuk dilakukan. Dengan rasa serba-salah, mereka menghulurkan tangan dan bersalaman. Mereka menepuk bahu satu sama lain. Mereka berpelukan. Ada yang mengalihkan pandangan mereka, untuk menyembunyikan tangisan air mata.

Mereka mengizinkan satu sama lain untuk membawa mayat askar mereka masing-masing untuk dikebumikan dengan sewajarnya. Mereka bertukar-tukar tawanan. Kemudian untuk selanjutnya malam itu dan sepanjang Hari Krismas, mereka menyanyi lagu-lagu karol, bertukar-tukar hadiah kek, coklat, biskut, jam, daging lembu dan daging babi dalam tin, suratkhabar, poskad dan wain. Mereka juga mengadakan satu perlawanan bola sepak secara spontan di medan perang itu.

Askar-askar Jerman dan Inggeris bermain bola sepak di medan perang, 25 Dis 1914

"Untuk sedetik, Tuhan yang penuh kemurahan sekali lagi berkuasa di sudut bumi ini," seorang pegawai Perancis mengingati.

Keajaiban Krismas 1914 itu adalah pasti sekali kasih dan damai luar biasa Yesus yang telah memecahkan benteng dan menyentuh hati manusia dengan cara yang hebat dan berkuasa. Walaupun ianya hanya bertahan untuk semalam dan sehari, ianya adalah satu cebisan kecil syurga di bumi. Dan itulah Krismas yang sesungguhnya.

(Diterjemahkan daripada artikel Guideposts bertajuk, "The Christmas Miracle of 1914" yang ditulis oleh Kathryn Slattery bertarikh 22 Disember 2017)