Oleh Zin Mahmud:
Seperti Islam, Kristian juga dianuti masyarakat Bumiputera, di samping Cina dan India.
Walaupun Krismas adalah cuti umum
untuk seluruh Malaysia tetapi sambutan lebih meriah berlaku di Sarawak dan
Sabah.
Kehadiran
Bumiputera Sarawak dan Bumiputera Sabah yang menganut Kristian menjadikan agama
itu penting bagi Malaysia. Kalau agama Buddha dan Hindu dianut secara umum oleh
kaum bukan Bumiputera, tetapi kedudukan Kristian adalah berbeza.
Penganut
Kristian di kalangan Bumiputera Sarawak dan Sabah menjadikan Bumiputera
Malaysia mempunyai 2 agama utama, iaitu Islam dan Kristian.
Islam
adalah agama rasmi Malaysia dengan penganutnya merupakan penduduk majoriti
negara ini. Walaupun terdapat umat Islam di kalangan bukan Bumiputera seperti
Cina dan India, tetapi penganut utama Islam adalah orang Melayu, sama ada di
Semenanjung Malaysia, Sarawak mahupun Sabah.
Di
Sarawak dan Sabah, terdapat juga Bumiputera bukan Melayu mereka yang beragama
Islam. Tetapi bilangan Bumiputera Sarawak dan Sabah beragama Kristian adalah
besar dan berpengaruh.
Satu
lagi ciri kedudukan Kristian di Malaysia ialah mereka mempunyai penganut yang
juga besar di kalangan orang Cina dan India. Selain itu komuniti Serani yang
terdiri daripada orang keturunan Portugis dan Belanda adalah juga penganut
agama Kristian.
Kehadiran
agama Kristian di rantau Asia Tenggara bermula dengan kemasukan penjajah
Portugis dan Sepanyol pada abad ke-16. Filipina menjadi negara Kristian dengan
wilayah Indonesia Timur khususnya sekitar pulau Maluku dan Nusa Tenggara
menjadikan Kristian agama penting bagi negara itu.
Sarawak
yang pernah mempunyai raja keturunan British dan beragama Kristian, iaitu Raja
Brooke, membentuk identiti Kristian di kalangan kaum Bumiputeranya.
Sabah
yang pernah ditadbir syarikat British juga membolehkan penyebaran agama
Kristian di negeri itu.
Kehadiran
Kristian di Asia Tenggara menjadikan rantau ini berbilang agama, Hindu, Buddha,
Islam dan Kristian, di samping animisme serta kepercayaan tradisi di kalangan
peribumi.
Pengaruh
Tao-Konfusius juga hadir bukan saja dari kalangan keturunan Cina tetapi juga
bangsa Vietnam. Selain itu, fahaman agnostis dan atheis juga wujud bukan saja
di negara komunis Vietnam dan Laos tetapi juga di kawasan urban seperti
Singapura, Jakarta, Manila, Kuala Lumpur dan Bangkok.
Namun
di seluruh Asia Tenggara, penganut Islam adalah terbesar dengan tumpuannya di
Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina Selatan, Thailand Selatan dan Myanmar
Barat.
Di
Semenanjung Malaysia, British berkuasa di Negeri-Negeri Selat iaitu Melaka dan
Pulau Pinang, selain Singapura. Kristian tersebar di kalangan kaum Cina dan
India di Semenanjung Malaysia. Sejak adanya pentadbiran British, Krismas
diisytiharkan sebagai cuti umum, lama sebelum Malaya mencapai kemerdekaan.
Walaupun penganut Kristian tidak ramai tetapi pihak pentadbir British tentulah
mahu menyambut Krismas.
Apabila
Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1948 dan kemudian memperoleh
kemerdekaan, akan ditetapkan bahawa agama persekutuan adalah Islam dengan
agama-agama lain diberi jaminan bebas untuk diamalkan. Ini bermakna hari besar
semua agama diberi cuti umum.
Maknanya,
bukan saja Hari Raya Aidilfitri menjadi cuti umum tetapi juga Hari Wesak,
Deepavali dan Krismas. Krismas tidaklah disambut secara meriah kerana bilangan
orang Kristian adalah kecil.
Dari
segi pertimbangan politik, ia berkisar pada kaum dan bukan agama. Perikatan
yang memerintah terdiri daripada Umno, MCA dan MIC yang mewakili kaum Melayu,
Cina dan India.
Dari
sudut agama, Umno mewakili Islam, MCA mewakili Buddha dan MIC mewakili Hindu.
Jadi orang Kristian hanya mengharapkan MCA juga mewakili mereka kerana terdapat
kalangan pemimpin mereka beragama Kristian.
Tetapi
MCA dan MIC dilihat perlu bekerjasama dalam memlihara kepentingan bukan Islam
ketika berdepan dengan Umno.
Kedudukan
Kristian berubah apabila Malaysia ditubuhkan. Penyertaan Sarawak dan Sabah ke
dalam Malaysia meletakkan Bumiputera yang beragama Kristian dalam kedudukan
penting.
Dari
1963 hingga 1974, Perikatan Sarawak dan Perikatan Sabah mempunyai komponen
parti Bumiputera yang penting. Di Sarawak, Bumiputera diwakili oleh Parti
Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).
Di
Sabah, ia diwakili oleh Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan
Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Bersatu (UPKO). Banyak Bumiputera Kristian
mendokong SNAP dan Upko.
Apabila
Barisan Nasional ditubuhkan pada 1974, PBB, SNAP, Usno yang digabungkan dengan
Upko menjadi komponen penting. Tetapi di kalangan pemimpin MCA, Gerakan dan
SUPP terdapat penganut Kristian. Mereka perlu berdepan dengan Umno dan PAS yang
merupakan tonggak BN ketika itu.
Di
sebelah pembangkang, peranan mempertahankan kepentingan bukan Islam dimainkan
DAP.
Berbanding
Sarawak, politik Sabah banyak mengalami pergolakan yang memperlihatkan suara
Bumiputera Kristian di negeri itu. Daripada penubuhan Parti Berjaya dan Parti
Bersatu Sabah (PBS) hinggalah kepada pembubaran Usno yang membawa kepada
penubuhan Umno Sabah. Buat pertama kalinya Umno membuka keahlian kepada
Bumiputera Kristian.
Kini
dalam BN, parti Bumiputera Sarawak dan Sabah yang didominasi penganut Kristian
ialah Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Sarawak (PRS),
PBS, Upko dan PBRS.
Kepentingan
parti-parti ini menjadi besar bagi BN apabila dalam pilihan raya tahun 2008, ia
kehilangan majoriti 2/3.
Sekali
lagi keadaan ini berlaku pada pilihan raya tahun 2013. BN perlu bergantung pada
kerusi di Sarawak dan Sabah.
Sementara
itu, generasi baharu Sarawak dan Sabah juga berbeza daripada yang lama. Mereka
lebih berpendidikan dan terdedah kepada perkembangan luar. Laluan pergi-balik Semenanjung
ke Sarawak dan Sabah juga semakin meningkat.
Dalam keadaan ini rakyat Sarawak
mula sedar banyak perkara. Mereka memberi tekanan kepada kerajaan negeri supaya
menuntut hak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 tetapi
mereka fikir sudah kehilangan setelah mengalami pelbagai perkembangan politik.
Isu ini timbul dalam pilihan raya negeri yang boleh menggugat BN Sarawak.
Maka
tidak hairanlah 2 hari sebelum Krismas, Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk
Seri Najib Razak ketika berada di Kuching menghadiri persidangan perwakilan
SUPP menyatakan bahawa Putrajaya tidak mempunyai masalah untuk memenuhi
tuntutan Sarawak. Iaitu mengenai terhadap hak perlembagaan mereka sama ada
secara sedar atau tidak telah terlepas selama ini.
Beliau
bagaimanapun meletak 2 syarat untuk memenuhi tuntutan itu. Pertama, Sarawak
mesti tidak bercakap hendak keluar daripada Malaysia. Kedua, Sarawak mesti
memberikan kemenangan kepada BN pada pilihan raya umum ke-14 ini. Beliau
mengharapkan kesemua 31 kerusi Parlimen di Sarawak akan kembali ke BN.
Di
Sarawak, pihak pembangkang sukar untuk menang. Hanya kaum Cina yang pernah
memberi banyak undi pada DAP dalam pilihan raya negeri hingga SUPP terduduk.
Tetapi
PKR yang seharusnya mewakili pembangkang Bumiputera Sarawak tidak mendapat
tempat. Bumiputera negeri itu masih kuat menyokong BN.
Namun
begitu, keadaan boleh berubah bagi generasi akan datang. Masa depan Malaysia
akan turut dicorakkan oleh Bumiputera Sarawak dan Sabah.
Maka
Malaysia bukan hanya bererti Semenanjung Malaysia, orang Melayu dan Islam.
Seperti mana negara-negara moden lain di dunia, Malaysia adalah negara pelbagai
kaum, agama dan fahaman, bukan hanya dalam bentuk tersurat, tetapi juga
tersirat.
* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Kepentingan Penganut Kristian Dalam Politik Malaysia" yang ditulis oleh Zin Mahmud bertarikh 26 Disember 2017)
* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Kepentingan Penganut Kristian Dalam Politik Malaysia" yang ditulis oleh Zin Mahmud bertarikh 26 Disember 2017)