Santo Nicholas
(15 Mac 270 - 6 Disember 343)
Kisah St Nicholas
Ketiadaan "fakta jelas" sejarah tidak semestinya menjadi penghalang kepada populariti santo-santo, seperti yang ditunjukkan dengan cinta terhadap St Nicholas. Kedua-dua Gereja Barat dan Timur memberi penghormatan kepadanya, dan telah dikatakan bahawa selepas Maria, dia adalah santo yang paling banyak dilukis oleh pelukis-pelukis Kristian. Namun begitu secara sejarah, kita hanya dapat menunjukkan kepada fakta bahawa Nicholas adalah biskop Myra, sebuah kota di Lycia, di wilayah Asia Kecil pada abad keempat.
Walaupun begitu, seperti dengan ramai santo, kita dapat menanggap hubungan yang Nicholas miliki dengan Tuhan melalui rasa hormat orang-orang Kristian terhadapnya - rasa hormat yang dinyatakan melalui kisah-kisah berwarna-warni yang telah diceritakan dan diceritakan semula dari abad ke abad.
Kisah yang mungkin paling dikenali mengenai Nicholas adalah berkenaan kebajikannya terhadap seorang lelaki miskin yang tidak mampu memberikan hantaran untuk tiga anak perempuannya yang cukup umur untuk berkahwin. Kerana tidak ingin melihat mereka dipaksa ke dalam pelacuran, Nicholas secara rahsia telah melontarkan sebuah beg berisi emas melalui jendela lelaki miskin itu pada tiga ketika yang berbeza. Melalui berabad-abad, lagenda khusus ini telah bertukar menjadi tradisi memberi hadiah pada hari perayaan santo itu. Di negara-negara berbahasa Inggeris, Santo Nicholas, telah menjadi, melalui penukaran sebutan, Santa Claus - dan mengembangkan lagi contoh kemurahan yang ditunjukkan oleh biskop kudus ini.
Renungan
Kesarjanaan sejarah modern yang lebih kritikal membuat kita melihat dengan lebih teliti terhadap lagenda-lagenda yang mengelilingi St Nicholas. Tetapi mungkin kita boleh memanfaatkan pelajaran daripada kebajikannya yang bersifat lagenda itu, melihat dengan lebih teliti pendekatan kita terhadap kebendaan pada musim Krismas ini, dan mencari cara-cara untuk menambahkan perkongsian dengan mereka yang benar-benar memerlukan.
(Diterjemahkan daripada artikel Franciscan Media bertajuk, "Saint Nicholas" yang ditulis oleh Fr Don Miller)