SINGAPURA: Pengasas Gereja City Harvest dibebaskan dari
penjara pada Khamis (22 Ogos) setelah menjalani hukuman bagi kesalahan
menyalahgunakan jutaan dolar dana gereja.
Para banduan biasanya menjalani dua pertiga daripada tempoh
hukuman mereka sebelum dibebaskan atas dasar peringanan hukuman.
Sekumpulan kecil orang di luar penjara menunggunya keluar
beberapa minit sebelum beliau dibebaskan.
Apabila ditanya oleh Mediacorp jika beliau ingin berkata
apa-apa, beliau menggelengkan kepalanya dan tersenyum sebelum dengan cepat
memasuki kenderaan hitam yang menantinya.
Encik Kong dihukum penjara selama tiga tahun setengah,
tempoh hukuman paling lama yang dikenakan ke atas enam pemimpin gereja kerana
terlibat menyalahgunakan S$50 juta dana gereja.
Hukuman tersebut telah dikurangkan daripada tempoh lapan
tahun penjara selepas rayuan dikemukakan, bersama tertuduh lain yang turut
dikurangkan tempoh hukuman penjara.
Keenam-enam mereka didapati bersalah pada 2015 selepas
perbicaraan selama 140 hari. Pada awalnya, mereka dihukum penjara antara 21
bulan hingga lapan tahun, namun ini dikurangkan dengan banyak selepas rayuan
dikemukakan.
Kes penggelapan wang gereja City Harvest ini adalah yang
pertama seumpamanya dari dua sudut: Pertama, ia adalah kes penyalahgunaan
terbesar dana amal di Singapura sejauh ini, dan kedua, kerana wang berjuta-juta
dolar itu "digantikan" melalui satu siri pelaburan palsu dan urus
niaga mencurigakan, sehingga gereja akhirnya tidak mengalami sebarang kerugian
kewangan.
Encik Kong menjalani hukumannya pada 21 April 2017,
bersama-sama dengan empat tertuduh yang lain.
Dalam mesej terakhir beliau di media sosial sebelum
menyerahkan diri kepada Mahkamah Negara, beliau berkata beliau bersedia
menerima apa yang akan datang.
(Diambil daripada artikel Berita Mediacorp bertajuk, "Pengasas Gereja City Harvest Kong Hee Dibebaskan Penjara" bertarikh 22 Ogos 2019)