Isu berkaitan penggunaan perkataan “Tuhan” (huruf besar) dan “tuhan” (huruf kecil) dalam penulisan karya kreatif sedang hangat diperdebatkan antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kumpulan penulis tanah air, seperti diungkit oleh Uthaya Sankar SB menerusi ulasan bertajuk “Tuhan juga milik eksklusif orang Islam?” (Malaysiakini, 16 April 2021)
Sebagai seorang pelajar yang mendapat pendidikan penuh dari
sekolah kebangsaan sejak sekolah rendah sehingga menengah, dan juga seorang yang
aktif menulis karya kreatif sejak di peringkat sekolah rendah, saya melihat isu
ini dari tiga aspek yang berbeza iaitu aspek pendidikan, penulisan kreatif dan
kepercayaan atau agama. Tiga aspek ini adalah asas yang dijadikan panduan dalam
penulisan saya, mahupun pertandingan penulisan yang dianjurkan pelbagai pihak
di pelbagai peringkat termasuk DBP.
Berkaitan: DBP jawab
persoalan istilah 'Tuhan'
Di alam persekolahan, yakni pendidikan formal di negara
kita, sesungguhnya ditegaskan bahawa setiap kata nama khas itu perlu
menggunakan huruf besar di awal ejaan. Ini adalah jelas termasuk ejaan
perkataan “Tuhan” yang merupakan kata nama khas yang amat
nyata dan tidak mungkin disalahertikan oleh semua pelajar termasuk anak–anak di
bangku tadika. Justeru, perlukah satu ketika nanti akan wujudnya kertas soalan
dan jawapan yang berbeza untuk pelajar mengikut agama masing–masing? Atau
perlukah setiap pelajar mengisi agama masing–masing pada kertas jawapan
peperiksaan mereka? Ini semua hanya kerana mereka menganut agama yang berbeza
dan tidak mempunyai hak kesamarataan dalam mempraktikan hasil pembelajaran
mereka dan risikonya adalah gagal dalam peperiksaan yang merupakan permulaan
masa depan mereka.
Di Sarawak khasnya, kita dapat melihat ramai ibu bapa yang
beragama Islam menghantar anak–anak mereka ke sekolah mubaligh ataupun sekolah
jenis kebangsaan tanpa rasa waswas atau risau akan terpesongnya akidah anak
mereka. Pihak pengurusan sekolah pula tidak pernah mempunyai isu atau
pertikaian dalam aktiviti pembelajaran atau seharian. Ini adalah kerana fokus
utama adalah memberikan pendidikan yang sama rata kepada semua pelajar di
samping menghormati agama dan kepercayaan mereka masing–masing. Justeru, ditempatkan
ustaz dan ustazah di sekolah untuk mengajar dan membimbing pelajar–pelajar yang
beragama Islam.
Dalam penulisan kreatif pula saya sememangnya lebih memilih
penulisan berkaitan kemasyarakatan dan sosio ekonomi selain cerita rakyat yang
menjadi asas penulisan saya. Saya menjadikan penulis besar seperti Jais Sahok
dan A Samad Said yang menyatakan bahawa sesuatu penulisan yang akan kekal
dibawa zaman adalah penulisan yang rapat dan membawa iktibar kepada masyarakat.
Karya yang mengejar nama dan populariti akan tenggelam oleh waktu. Penulisan
yang baik pula adalah penulisan yang mengikuti norma bahasa yang betul bagi
mencerminkan satu karya penulisan yang bermutu.
Justeru, penggunaan perkataan “Tuhan” oleh
semua penulis pada karya mereka adalah sesuatu yang tepat dan sesuai asas
pendidikan yang mereka terima dahulu dan juga yang sedang berlangsung sekarang.
Adakah kita mahu mendengar seorang pelajar sekolah rendah menyatakan penulisan
seorang penulis besar bukan Islam di dalam cerita kanak–kanak adalah salah
kerana dia menggunakan perkataan “tuhan” dan bukannya “Tuhan” seperti
yang dia pelajari di sekolah?
Asas ejaan
Implikasinya adalah kanak–kanak ini akan terus memandang
rendah karya dan penulis bukan Islam kerana tidak peka dengan asas ejaan
seperti yang dia pelajari di sekolah. Maka generasi kita yang seterusnya akan
kerugian kerana tidak berminat untuk membaca karya–karya bermutu terutamanya
cerita rakyat yang banyak menyajikan kisah tauladan yang seharusnya menjadi
amalan.
Malaysia adalah negara demokrasi yang diduduki oleh pelbagai
kaum, etnik dan agama, khasnya di Sarawak yang mempunyai pelbagai etnik dan
kepercayaan. Tidak dipertikaikan setiap ibu bapa mendidik dan menitikberatkan
anak mereka sesuai anutan dan kepercayaan mereka masing sehinggalah berusia 18
tahun, sesuai Perlembagaan Malaysia. Justeru, sejak di peringkat sekolah rendah
lagi semua pelajar ditekankan dengan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi
asas perpaduan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia yang merangkumi semua
aspek iaitu rohani, jasmani, intelek, sosial dan moral.
“Kepercayaan kepada Tuhan” adalah prinsip
pertama yang dibaca dan diterapkan oleh setiap pelajar dari pelbagai lapisan
masyarakat, kaum dan agama. Setiap anak Malaysia dengan ini jelas diajarkan
agar taat kepada “Tuhan” sesuai kepercayaan masing–masing.
Perkataan “Tuhan” yang satu–satunya itulah yang berjaya
melahirkan generasi sekarang yang mampu membangun dan memakmurkan negara dengan
melupakan detik hitam yang pernah berlaku suatu masa dahulu. Perkataan yang bukan
sahaja dilafaz secara lisan oleh setiap anak didik Malaysia, tetapi dicetak di
setiap belakang buku latihan sekolah agar sentiasa diingat dan diamalkan oleh
setiap anak Malaysia. Malaysia tidak punya perkataan “tuhan”,
melainkan “Tuhan” satu–satunya yang telah memakmurkan negara
ini.
Tahun 2020 dengan Wawasan 2020 yang selama ini kita tunggu
dengan penuh sabar dan debaran telah pun berlalu. Wawasan tersebut datang
serentak di kala pandemik Covid-19 melanda dan menguji ketahanan mental dan
sosial rakyat Malaysia dan juga keampuhan pemerintah. Setiap anak Malaysia
berdoa dengan penuh kepercayaan kepada Tuhan mengikut anutan masing–masing agar
musibah ini berlalu dan kita semua dilimpahi makmur sihat sejahtera. Maka,
tidak harus ada harus ada diskriminasi oleh DBP yang menghalang orang bukan
Islam menggunakan kata “Tuhan” (huruf besar).
BRUWIN JUMPUT adalah seorang berbangsa Dayak–Iban berasal
dari Daerah Song, Sarawak. Lahir pada Januari 1983, merupakan anak kedua
daripada tiga adik–beradik. Mula bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif
sejak di bangku sekolah rendah dengan penulisan pantun, sajak dan cerpen pendek
yang bergenre cerita rakyat. Sekarang masih bergiat aktif menyertai
pertandingan menulis yang dianjurkan oleh pelbagai pihak selain berkongsi
pengalaman dan idea penulisan dengan pelajar di sekitar Kapit, di mana beliau
bertugas sebagai eksekutif pentadbiran.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Ulasan: Kepercayaan Kepada Tuhan atau tuhan?" yang ditulis oleh Bruwin Jumput bertarikh 3 Mei 2021)