Ahad, 30 Januari 2022

Brian Houston Undur Diri Dari Jawatan Senior Pastor Global Hillsong


Brian Houston, pengasas bersama megachurch dan empayar media Hillsong, mengumumkan dia mengundur diri dari jawatan pastor senior global, memberitahu anggota-anggota gerejanya melalui video yang telah dirakam lebih awal, yang ditunjukkan semasa kebaktian pagi Ahad di ibu pejabat Hillsong di Sydney, Australia, bahawa dia akan mengambil cuti dari gereja sehingga penghujung tahun ini.

Sambil menyebut suatu keputusan oleh lembaga Hillsong dan nasihat guaman luar, Houston, yang berdiri bersama isterinya dan pengasas bersama, Bobbie, berkata "amalan terbaik" mewajibkannya untuk tidak menglibatkan diri sepenuhnya dari kepimpinan gereja sambil dia menghadapi perbicaraan atas dakwaan gagal melaporkan kes salah laku seks. Prosiding mahkamah, katanya, "kemungkinan akan berpanjangan dan memakan tempoh hampir seluruh 2022." 

"Ini merupakan musim yang tidak dijangka, dan kami berterima kasih untuk anda semua, dan komuniti yang kita kongsi bersama," kata Houston dalam video yang ditayangkan pada penghujung kebaktian. "Saya tidak pernah jemu mendengar laporan-laporan pujian dan mukjizat, terutama mengenai jiwa-jiwa yang membuat komitmen kepada Yesus."

Perlepasan cuti Houston datang selepas setahun skandal yang menggoncang gereja itu di Australia dan luar negara dan di tengah masalah perundangan peribadi Houston di negaranya. Houston telah meletakkan jawatan dari lembaga Hillsong pada September lalu.

"Hasilnya adalah Lembaga Global Hillsong merasakan adalah untuk kebaikan saya dan kebaikan gereja agar ini berlaku, jadi saya telah bersetuju untuk mengundur diri daripada semua tanggungjawab pelayanan sehingga akhir tahun," Houston berkata dalam video 30 Januari itu.

Houston, yang berusia 67 tahun, telah didakwa pada Ogos 2021 atas tuduhan menyembunyikan suatu jenayah orang lain yang serius dan boleh didakwa. Polis berkata mendiang ayahnya, Frank Houston, juga seorang pastor, telah melakukan tindakan salah laku seks terhadap seorang lelaki muda pada 1970. Dokumen mahkamah mendakwa Houston mengetahui salah laku ayahnya seawal 1999 dan "tanpa alasan yang munasabah," gagal memaklumkan maklumat itu kepada polis.

Frank Houston meninggal dunia pada 2004 pada usia 82 tahun.

Peguam-peguamnya memberitahu mahkamah pada Oktober bahawa Houston akan mengaku tidak bersalah, tetapi perbicaraannya telah ditangguhkan beberapa kali, menurut Perth Now.

Brian dan Bobbie Houston dalam video 30 Januari 2022


Dalam kenyataannya kepada gereja pada hari Ahad, Houston berkata dakwaan-dakwaan itu telah datang sebagai "kejutan." Dia berkata dia merancang untuk "membela diri dan mengalu-alukan kesempatan untuk memperjelaskan hal itu," dan bahawa dia perlu, "memberi komitmen penuh kepada persiapan dan penglibatan dalam perbicaraan itu."

Lembaga memberi sokongan mereka, kata Houston, dan mereka "telah berbincang mengenai akibat daripada situasi berkenaan ayah saya, yang telah bermula bertahun-tahun yang lalu sehinggalah ke kes mahkamah masa kini, dan kesannya ke atas saya secara emosi." 

Seperti yang telah dicatitkan oleh Christianity Today dan The Associated Press pada Oktober lalu:

Gereja Hillsong telah mengatakan berulangkali bahawa mereka tidak terlibat dalam perkara ini, sebab Frank Houston tidak pernah bekerja untuk gereja itu, dan telah mempertahankan respons Brian Houston.

"Apabila dimaklumkan mengenai perbuatan ayahnya, Brian Houston telah berhadapan dengan dan menyoal ayahnya, melaporkan perkara itu kepada Eksekutif Nasional Assemblies of God in Australia, menyampaikan perkara itu kepada lembaga pengurusan Sydney Christian Life Centre, dan seterusnya membuat suatu pegumuman secara terbuka di gereja. Brian telah berusaha untuk menghormati permintaan berulangkali daripada mangsa untuk tidak menghubungi polis," gereja itu menyatakan dalam satu kenyataan pada Julai lalu.

"Sebagai perkembangan terbaru, dakwaan-dakwaan telah secara rasmi difailkan terhadap Brian Houston," kata gereja itu pada waktu itu. "Kami kecewa bahawa Pastor Brian telah didakwa, dan memohon dia diberikan tanggapan tidak bersalah dan proses yang sewajarnya sebagai haknya. Dia telah memaklumkan kami bahawa dia akan membela diri dalam hal ini dan menanti untuk membersihkan namanya."

Phil dan Lucinda Dooley, pastor-pastor utama Gereja Hillsong Cape Town akan memegang jawatan sebagai senior pastor global sementara, menurut Houston. Isterinya, Bobbie, akan terus "melibatkan diri sepenuhnya dalam kehidupan gereja," dan dalam jawatan-jawatan kepimpinan yang disandang isterinya, katanya.

"Sudah 50 tahun minggu ini sejak saya memulakan Kolej Alkitab di New Zealand, jadi dengan lima dekad pelayanan aktif di belakang kami, percayalah kami akan mengambil kesempatan terbaik musim ini untuk memperbaharui diri secara rohani, emosi dan fizikal," kata Houston.

Houston yang berasal dari New Zealand, telah mengasaskan Gereja Hillsong dengan Bobbie pada 1983 di kawasan separa bandar Sydney. Sebuah gereja evangelikal yang dulunya anggota rangkaian Pentakosta, Australian Christian Churches, Hillsong kini memiliki 30 lokasi di sekeliling dunia - dan telah melancarkan sebuah cawangan di Atlanta pada Jun 2021 - dengan kehadiran mingguan global seramai 150,000 orang. Dua Kolej Hillsong, di Sydney dan Phoenix, Arizona menawarkan "pendidikan Alkitabiah" dan "pengalaman pelayanan."

Pertumbuhan gereja itu, telah sebahagiannya didorong oleh pasukan-pasukan penyembahannya yang begitu popular dan oleh muzik mereka, yang kini biasa kedengaran di gereja-gereja di sekeliling dunia. Hillsong telah mewujudkan denominasi mereka sendiri pada 2018.

(Diterjemahkan daripada artikel Christianity Today yang bertajuk, "Brian Houston Steps Aside As Hillsong Global Senior Pastor" yang ditulis oleh Roxanne Stone bertarikh 29 Januari 2022)