Khamis, 3 Februari 2022

Kisah Menyayat Hati Di Sebalik Lagu "It Is Well With My Soul"


Dilahirkan dari sebuah tragedi peribadi dan iman yang menginspirasikan Horatio Gates Spafford, "It Is Well With My Soul" telah menjadi salah satu lagu hymn yang paling disayangi dan bertahan lama di gereja sehingga hari ini.

Kisah di sebalik lirik lagu yang masih mengungkapkan kenyataan iman dari ramai yang berhadapan dengan kesedihan, kehilangan ahli keluarga dan tragedi adalah seperti suatu penceritaan semula kitab Ayub dalam Perjanjian Lama.

Ketika Damai Seperti Sungai Menyertai Perjalananku

Masih dirakamkan oleh pemuzik penyembahan kontemporari termasuk Hillsong (Forever Reign), oleh artis Kristian klasik seperti David Phelps (The Best of David Phelps) dan dalam koleksi hymn tradisional (The Best Hymn Albums In The World), kisah di sebalik hymn ini adalah begitu menyayat hati seperti dengan liriknya dan melodinya. 

Sehingga 1870, Horatio Gates Spafford adalah seorang peguam Chicago yang berjaya dengan segala sebab untuk bersyukur dan setia kepada Tuhan. Sebagai seorang penyokong kepada pengkhutbah-pengkhutbah Dwight L. Moody dan Ira Sankey, penginjil-penginjil Kristian yang terkenal menjadi lingkungan sahabatnya.

Hoaratio Spafford dan isterimya, Anna

Pada 1871, anak lelakinya yang berusia empat tahun meninggal dunia. Sementara bergelut dengan tragedi peribadi ini, Kebakaran Besar Chicago pada tahun yang sama telah melenyapkan pelaburan hartanah dan jaminan kewangan keluarganya menjadi abu. Apa yang masih tertinggal telah mengalami kehilangan nilai yang dahsyat dalam keruntuhan kewangan yang berikutan. 

Ketika Kesedihan Seperti Ombak Menderu

Untuk memberikan keluarganya masa dan ruangan untuk pulih semula, Horatio membuat rancangan untuk dirinya, isteri dan empat anak perempuannya untuk menyertai dan memberi sokongan kepada Moody dan Sankey dalam salah satu jelajah penginjilan Eropah mereka. Ketika ingin menaiki kapal SS Ville du Havre pada November 1873, suatu kecemasan perniagaan telah memaksa Horatio untuk kekal di Chicago manakala keluarganya berangkat pergi mendahuluinya. 

Di pertengahan Lautan Atlantik, kapal Ville du Havre telah berlanggar dengan kapal lain, Loch Earn, dan tenggelam dalam masa 12 minit dengan kehilangan nyawa 226 daripada 307 penumpang dan anak kapalnya. 

Beberapa hari kemudian Horatio Spafford menerima telegram daripada isterinya, Anna di Wales: "Hanya aku terselamat." Keempat-empat anak perempuan mereka, Annie, Maggie, Bessie dan bayi Tanetta - terpisah dari pelukan ibu mereka oleh kuasa derus air, semuanya terkorban.


Apapun Yang Keadaanku, Engkau Mengajarku Mengatakan

Horatio dengan serta-merta berlepas ke Wales untuk membawa isterinya pulang. Dalam perjalanan menyeberangi lautan ke Wales, kapten kapal memanggil Horatio ke tempat kawalan kapal dan memberitahunya bahawa, "Suatu anggaran rapi telah dibuat dan saya percaya kita sedang menyeberangi tempat di mana Vilee du Havre telah karam."

Horatio G. Spafford kembali ke kabinnya dan pada malam itu menulis kata-kata yang kemudiannya menjadi hymn: "It Is Well With My Soul" (Semuanya Baik Dengan Jiwaku), kata-kata yang kemudiannya ditambah melodi yang kita amat kenal oleh Arthur Bliss. Horatio mencatit bahawa "...kami telah menyeberang tempat di mana kapal itu karam, di pertengahan laut, tiga batu dalamnya lautan. Tapi aku tidak memikirkan anak-anak kesayangan kami di situ. Mereka selamat, terpelihara, domba-domba kesayangan."

Semuanya Baik, Semuanya Baik, Dengan Jiwaku

Dalam kesedihan dan kekecewaanya, ada kebimbangan bahawa Anna akan mengambil nyawanya sendiri. Kemudiannya, Anna mengatakan telah mendengar suatu suara menyatakan, "Engkau telah terselamat untuk suatu tujuan," dan mengingati seorang kawan yang pernah mengatakan, "Amatlah mudah bersyukur dan menjadi baik ketika anda memiliki begitu banyak, tetapi berhati-hati jangan hanya menjadi sahabat Tuhan ketika semuanya baik sahaja." 

Horatio dan Anna kembali ke Chicago. Pada 1876, mereka menimang seorang anak lelaki, Horatio, dan pada 1878, seorang anak perempuan, Bertha. Horatio meninggal dunia kerana demam (scarlet fever), sekali lagi cuma berusia empat tahun. Pada 1880 mereka mendapat seorang lagi anak perempuan, yang mereka namakan Grace.

Sungguhpun Begitu, Semuanya Baik Dengan Jiwaku

Pada tahun berikutnya, pasangan Spafford dan beberapa kawan mereka berangkat dari Amerika Syarikat ke Israel dan menetap di kota lama Yerusalem. Melayani orang-orang dalam keperluan, miskin, sakit dan tiada tempat tinggal, kerja-kerja mereka dikenali sebagai "The American Colony" dan menjadi subjek dalam novel Selma Lagerof, "Jerusalem" yang memenangi Hadiah Nobel.

Begitulah kisah yang menyayat hati di sebalik lagu "It Is Well With My Soul."

(Diterjemahkan daripada artikel Eden bertajuk, "'It Is Well With My Soul' - Story Behind The Hymn" bertarikh 25 Januari 2013)