Khamis, 3 Februari 2022

Kebakaran Gereja Di Kota Kemuning: Siasatan Awal Dapati Tiada Unsur Khianat


Siasatan awal pihak polis mendapati kebakaran melibatkan sebuah gereja di Kota Kemuning, Shah Alam malam tadi tidak melibatkan sebarang unsur khianat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib bagaimanapun berkata, punca kebakaran setakat ini masih belum dikenal pasti.

"Secara keseluruhan hampir 80 hinga 90 peratus musnah dijilat api, manakala punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan akan dimaklumkan oleh pihak Forensik Bomba untuk siasatan lanjut dari semasa ke semasa.

"Namun, siasatan awal mendapati tiada unsur khianat," katanya kepada Malaysiakini.


Terdahulu Malaysiakini melaporkan gereja Kota Kemuning Assemblies of God Church musnah dijilat api dalam kejadian yang berlaku malam tadi.

Insiden itu melibatkan tingkat atas bangunan rumah kedai dua tingkat yang menempatkan gereja berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, seramai 25 anggota digerakkan selepas mendapat panggilan pada jam 11.19 malam.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Kebakaran Gereja: Siasatan Awal Dapati Tiada Unsur Khianat" bertarikh 3 Februari 2022)