Jumaat, 11 Februari 2022

Kebakaran Gereja: Bomba Sahkan Tiada Unsur Khianat


Pasukan bomba mengesahkan kebakaran melibatkan sebuah gereja di Kota Kemuning, Shah Alam minggu lalu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata unit forensik jabatan itu telah melengkapkan siasatan berhubung insiden yang berlaku pada 2 Feb lalu.

“Siasatan mendapati tiada unsur jenayah atau unsur khianat dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Norazam bagaimanapun tidak mendedahkan punca sebenar kebakaran itu.

Dalam kejadian pada jam 11 malam itu, gereja Assemblies of God Church di Kota Kemuning, yang terletak di tingkat dua lot kedai dua tingkat, hampir musnah dijilat api.

Seramai 25 anggota bomba dengan empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan mengambil masa selama kira-kira 30 minit untuk memadamkan kebakaran.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Kebakaran Gereja: Bomba Sahkan Tiada Unsur Khianat" yang ditulis oleh Hariz Mohd bertarikh 11 Februari 2022)