Bagaimanapun, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu
dalam tuntutan balasnya menyatakan dia bersedia membela diri dengan
mengemukakan bukti berhubung dakwaan itu di mahkamah.
Yeoh memfailkan saman fitnah itu di Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur pada 24 Feb lalu.
Kamarul memfailkan saman fitnah lebih awal terhadap Yeoh
berhubung catatan Facebook yang ditulis wakil rakyat DAP itu pada September
2020.
Pensyarah itu menyaman Yeoh berhubung respons Ahli parlimen
itu terhadap hantaran Facebooknya yang memaparkan Yeoh dan poster dengan
tulisan "Peranan Umat Kristian Dalam Pembangunan Negara”.
Pada 17 Mei 2017, Kamarul juga membuat laporan polis
terhadap Yeoh berhubung buku biografinya yang bertajuk ‘Becoming Hannah'.
Kamarul menuduh Yeoh, yang ketika itu merupakan speaker DUN
Selangor cuba berdakwah agama Krsitian dan didorong oleh "agenda
Kristianisasi".
Menurut salinan pernyataan tuntutan saman sivil Yeoh yang
dilihat Malaysiakini, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga
dan masyarakat itu memfailkan saman terhadap dua hantaran Facebook Kamarul pada
10 dan 17 Mei 2017.
Hantaran pertama bertajuk 'Hannah Yeoh contoh hipokrasi
terbesar DAP', manakala satu lagi bertajuk 'Laporan polis saya terhadap Hannah
Yeoh'.
Yeoh mendakwa dua hantaran FB itu sangat tidak
bertanggungjawab, berunsur skandal, keji dan telah sengaja diterbitkan oleh
Kamarul untuk menyemarakkan perasaan benci dan marah terhadapnya.
Yeoh berkata Kamarul telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai
ahli akademik untuk mengeluarkan kenyataan bermotifkan politik terhadapnya.
“Plaintif (Yeoh) memplidkan bahawa agenda defendan (Kamarul)
secara menyeluruh terhadap plaintif adalah berniat jahat dan bermotif politik,”
dakwanya.
Melalui writ saman terhadap Kamarul, Yeoh menuntut ganti
rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Selain itu Yeoh juga meminta pensyarah itu membuat penarikan
dan permohonan maaf secara awam tanpa syarat.
Dia juga memohon injuksi mahkamah bagi melarang defendan
daripada terus menerbitkan sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.
Sementara itu dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada
18 Mac terhadap saman Yeoh, Kamarul membangkitkan mengenai pembelaan
justifikasi.
Berdasarkan undang-undang di Malaysia bagi tindakan saman
sivil, justifikasi adalah suatu pembelaan bahawa kenyataan atau dakwaan itu
adalah benar, dan jika terbukti berjaya di mahkamah, ia akan bertindak sebagai
pembelaan mutlak terhadap saman yang berkaitan.
Berhubung pembelaan justifikasi tersebut, pensyarah kanan
itu mendakwa bahawa catatan Facebooknya pada 10 Mei 2017, tidak merujuk kepada
Yeoh tetapi kepada parti politiknya iaitu DAP.
Kamarul mendakwa hantaran itu merujuk kepada DAP, dalam masa
memperjuangkan sekularisme yang memisahkan politik dan agama, terdapat juga
pemimpin parti itu, seperti plaintif yang giat mencampurkan urusan politik
dengan urusan agama.
Kamarul mendakwa laporan polisnya dibuat berikutan Yeoh
telah membuat laporan polis terhadapnya berhubung hantaran Facebook berkenaan.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Hannah Yeoh Saman Balas Pensyarah UUM" yang ditulis oleh Hidir Reduan Abdul Rashid bertarikh 28 Mc 2022)