Lembaga-lembaga gereja Australia dan pelayanan global mengumumkan mereka menerima perletakan jawatannya dalam sepucuk surat yang telah dikirimkan pada hari Rabu lepas.
Houston sedang bercuti dari pelayanan gereja sementara menunggu penampilannya di mahkamah atas dakwaan dia telah menyembunyikan salah laku penderaan oleh mendiang ayahnya.
Pada minggu lepas, berita muncul bahawa Hillsong telah menyiasat pastor itu dalam dua kes perbuatan tidak senonoh. Satu kes melibatkan penghantaran mesej teks kepada seorang kakitangan wanita; dan satu kes lagi terjadi ketika Houston dalam keadaan mabuk memasuki bilik hotel seorang wanita selepas sebuah persidangan Hillsong tiga tahun yang lalu.
Surat dari lembaga gereja itu menyatakan:
Kami ingin memaklumkan anda bahawa Pastor Brian Houston telah meletakkan jawatan sebagai Senior Pastor Global Gereja Hillsong dan lembaga gereja telah menerima perletakan jawatannya.
Kami memahami bahawa akan timbul banyak emosi atas berita ini. Apa pun keadaan yang mengelilingi hal ini, kita semua dapat bersetuju bahawa Brian dan Bobbie telah melayani Tuhan dengan setia selama banyak dekad dan bahawa pelayanan mereka telah menghasilkan berjuta orang di sekeliling dunia dikesani oleh kuasa, kasih kurnia dan kasih Yesus Kristus.
Gereja Hillsong telah dilahirkan dari ketaatan dan komitmen Brian dan Bobbie kepada panggilan Tuhan dan kita amat bersyukur untuk segala yang Brian dan Bobbie telah berikan untuk membina rumah-Nya. Kami meminta anda untuk terus berdoa bagi mereka, dan seluruh keluarga Houston, pada waktu yang mencabar ini.
Pada Ahad lepas, Phil Dooley - pemimpin global sementara Hillsong - telah mmohon maaf kepada anggota-anggota gereja dan berikrar untuk menjadikan gereja itu tempat yang selamat untuk penyembuhan.
"Di mana rasa kepercayaan dan aspek-aspek ketelusan telah lenyap, kami akan lakukan sepenuh usaha kami untuk membinanya semula," katanya.
Gereja merancang untuk menjalani suatu kajian oleh pihak berkecuali mengenai struktur pengurusan dan proses-proses di gereja itu.
"Ada banyak lagi yang perlu dilakukan dan kepimpinan gereja kami terus mencari Tuhan untuk hikmat-Nya sambil kami menentukan arah perjalanan untuk masa hadapan," begitu ditulis oleh lembaga-lembaga itu. "Kami mengakui bahawa perubahan diperlukan."
---------------
Kisah yang sebelumnya (18 Mac, oleh Roxanne Stone dan Bob Smietana - Religion News Service): Lembaga pengarah Hillsong, mega church global dan empayar muzik yang telah diasaskan bersama oleh pastor Australia, Brian Houston, mengeluarkan satu kenyataan pada hari Jumaat yang mengulas dua aduan mengenai Houston, termasuk satu dakwaan bahawa pastor yang sudah berkahwin itu telah meluangkan masa bersendirian di sebuah bilik hotel bersama seorang wanita pada 2019.
Kenyataan yang dikeluarkan sambil kisah itu mulai muncul dalam media Australia, berkata lembaga Hillsong telah "menangani dua aduan terhadap Pastor Brian berkaitan tempoh 10 tahun lepas," dan berkata setiap aduan itu telah disiasat oleh seorang ahli lembaga atau satu "badan yang dilantik oleh lembaga global" dan telah ditangani secara sulit.
Aduan yang satu lagi berkaitan dakwaan bahawa Houston telah mengurat dengan seorang kakitangan melalui mesej teks sedekad yang lalu.
Sebelum kenyataan itu dikeluarkan, Hillsong dilaporkan telah mengadakan pertemuan video dengan 800 kakitangan Hillsong di sekeliling dunia di mana senior pastor sementara, Phil Dooley, yang sedang memimpin gereja sementara Houston bercuti kerana kes mahkamah yang sedang berjalan, telah membincangkan aduan-aduan itu untuk kali pertamanya dengan gereja umum. Dooley menjelaskan mengenai mesej-mesej itu, menurut ABC News, Australia, yang telah membawa maksud seperti, "'Jika aku bersamamu pada masa ini, aku ingin mencium dan memelukmu,' kata-kata yang seperti itu."
Insiden yang kedua, seperti dilaporkan diperincikan dalam mesyuarat kakitangan, telah terjadi semasa konferensi tahunan Hillsong di Arena Qudos Bank di Homebush, New South Wales pada 2019. Menurut ABC, Dooley berkata bahawa Houston telah "minum bersama sekumpulan orang."
"Kemudiannya pada malam itu, Pastor telah berusaha untuk memasuki biliknya tetapi tidak mempunyai kunci biliknya dan akhirnya mengetuk di pintu bilik wanita itu," Dooley dilaporkan mengatakan demikian. "Wanita itu membuka pintu dan dia memasuki bilik itu."
"Kebenarannya, kita tidak tahu apa yang terjadi kemudian," ABC melaporkan Dooley memberitahu para kakitangan. "Wanita itu tidak pernah mengatakan terjadi sesuatu aktiviti seksual. Brian telah mengatakan tidak ada sebarang aktiviti seksual, tetapi dia berada di bilik itu selama 40 minit."
Kenyataan lembaga Hillsong itu mengatakan bahawa Houston, 67 tahun, telah menjadi "bercelaru" setelah mengambil terlebih banyak ubat anti depresi yang ditetapkan, dan dicampurkan dengan alkohol. "Ini telah mengakibatkannya mengetuk di pintu bilik hotel yang bukan miliknya, memasuki bilik itu dan meluangkan waktu dengan penginap wanita itu," begitu dinyatakan oleh kenyataan itu.
Kenyataan lenbaga itu juga mengatakan bahawa Houston juga di bawah pengaruh ubat tidur pada waktu dia menghantar mesej-mesej yang tidak senonoh itu, "di mana dia telah membina kebergantungan kepada ubat itu." Mesej-mesej teks itu akhirnya menyebabkan kakitangan itu meletak jawatan, menurut kenyataan itu, yang juga menyatakan bahawa Houston telah memohon maaf kepada kakitangan itu.
"Kami telah bekerjasama secara rapat dengan Pastor Brian untuk memastikan dia mendapat pertolongan profesional untuk melenyapkan kebergantungannya kepada ubatan itu, dan itu telah dicapai dengan berjaya," begitu tercatit dalam kenyataan itu.
Selepas insiden bilik hotel itu, lembaga itu berkata penyiasatan telah dijalankan oleh "unit integriti," dan bahawa "walaupun setiap bahagian aduan itu tidak dapat dipertahankan, unsur-unsur penting dalam aduan itu dikekalkan dan perilaku itu dianggap secara serius sebagai membimbangkan."
Kenyataan lembaga juga menyatakan mereka telah bersetuju untuk mengembalikan wang yang wanita itu telah dermakan kepada gereja itu, "untuk membawa penyelesaian dalam semangat kasih dan keprihatinan," dan untuk "mematuhi permintaan wanita itu untuk menyimpan rahsia perkara itu." Kenyataan itu mengatakan bahawa Houston telah membayar kembali wang itu kepada gereja.
Pada waktu itu, Houston bersetuju untuk mengundur diri dari kepimpinan untuk suatu tempoh dan mengambil "tindakan khusus," tetapi akhirnya menurut kenyataan itu, dia tidak mengambil tindakan dalam semua langkah-langkah yang telah dipersetujui, "yang mengakibatkan lembaga mengambil tindakan lanjut pada hujung 2021."
Kenyataan itu tidak memberi petunjuk samada Houston akan kembali kepada kedudukannya dalam gereja itu.
Insiden-insiden itu adalah kontroversi terbaru yang membabitkan Hillsong, sebuah pertubuhan Pentakosta yang berpengaruh besar yang telah diasaskan oleh Houston bersama dengan isterinya, Bobbie, pada 1983. Gereja itu yang menarik 150,000 orang seperti dilaporkan ke kebaktian-kebaktiannya di 30 lokasi, telah juga menerbitkan sebilangan lagu-lagu penyembahan yang paling popular yang digunakan di gereja-gereja evangelikal di sekeliling dunia, termasuk "Oceans," "What A Beautiful Name," dan "Shout to the Lord."
(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Christianity Today bertajuk, "Hillsong Church Founder Brian Houston Resigns" bertarikh 22 Mac 2022)