Rabu, 3 Januari 2024

2024 - Melupakan Yang Lama dan Melakukan Yang Baru?


Saya sering terfikir mengenai ayat dari Filipi 3:13-14 ketika tahun baru, "... tetapi satu perkara kulakukan: Melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan, aku terus berusaha ke arah matlamat...."

Saya sering memikirkan bahawa pada tahun yang baru kita perlu melupakan hal yang lama dan melakukan hal yang baru. 

Dan sungguhpun ada kebenaran dalam pemikiran itu bahawa adalah baik untuk melupakan hal yang lama dan melakukan hal yang baru, namun bukan semua hal yang  lama itu buruk dan bukan semua yang kita harus lakukan adalah hal yang baru.

Ketika memikirkan ayat Filipi itu pada pagi tadi, saya tiba-tiba teringat ungkapan "I press on" pada ayat empat belas (yang diterjemahkan sebagai "terus berusaha" dalam Alkitab Versi Borneo). Apabila saya memikirkan kata-kata "press on" itu, ianya tidak menggambarkan kepada saya mengenai melakukan perkara yang baru. Sebaliknya, ianya menunjukkan kepada saya mengenai "press on" atau "meneruskan usaha" (seperti yang diterjemahkan dalam AVB) dalam hal-hal yang sedang dilakukan. 

Sebab memang ada hal-hal yang baik yang kita sudah lakukan dari tahun lalu dan yang perlu diteruskan lagi pada tahun baru. Dalam kehidupan, ada banyak hal yang baik yang kita telah lakukan yang perlu diteruskan. Kita bukan sentiasa perlu melakukan hal yang baru, tetapi sering perlu meneruskan usaha dalam hal-hal yang baik yang telah dimulakan.

Umpamanya, dalam hal persahabatan, di mana saya telah mula lebih mengenali beberapa sahabat pada tahun lalu. Tahun ini, tidak semestinya matlamat saya untuk mengenali sahabat-sahabat baru semata-mata, tetapi untuk meneruskan dan lebih mengenali sahabat-sahabat yang saya sudah kenali itu. 

Begitu juga dalam pekerjaan dan dalam pelayanan, dan juga dalam semua jenis perhubungan dalam kehidupan seperti hubungan kekeluargaan, persahabatan dan sebagainya. 

Seringkali orang akan memulakan tekad baru pada tahun baru. Tekad saya pada tahun ini bukan khususnya melakukan hal yang baru tetapi untuk terus berusaha dalam hal-hal yang saya sedang lakukan dari tahun yang lalu. Mungkin saya belum berjaya dalam beberapa usaha saya tahun lalu, tetapi pada tahun ini saya akan teruskan usaha saya. 

"Tahun 2024, Meneruskan Usaha... Ke Arah Matlamat!"