Album "Above All" oleh Lenny Leblanc yang telah menulis lagu itu bersama Paul Laboche |
Lagu "Above All" (Di Atas Segalanya) telah menjadi lagu penyembahan yang telah menyentuh jutaan hati dan sering dinyanyikan umat Kristian di seluruh dunia. Berikut ialah kesaksian kedua-dua penulis lagu tersebut, Paul Laboche dan Lenny Leblanc bagaimana lagu itu telah diciptakan...
Paul Laboche, yang mendapat ilham untuk lagu "Above All" |
Pada suatu pagi Selasa beberapa tahun yang lalu di gerejaku, aku berseorangan diri di piano, lalu aku mulai menyembah Tuhan. Sambil aku menyanyi, aku mula memikirkan tentang bagaimana Yesus jauh lebih agung daripada segala perkara yang bersifat sementara yang dianggap penting dalam budaya kita - kuasa, kemasyhuran, kekayaan, hikmat dan lain-lain. Kata-katanya terus muncul... "Lord, You are above all kingdoms, above all thrones, above all wonders the world has ever known ...." Sepanjang tahun yang seterusnya. aku cuba menulis korus untuk mengiringi rangkap-rangkap itu, tetapi aku merasakan tidak ada satupun korus yang kutulis itu bersesuaian.
Kemudian pada suatu hari, aku dan Lenny Leblanc berkumpul untuk menulis lagu. Aku memainkan untuknya lebih kurang dua puluh gubahan untuk lagu dan satu-satunya gubahan yang menarik perhatiannya ialah rangkap "Above All" yang tidak mempunyai korus. Dia bangun pagi esoknya dan berkata, "Bagaimana kalau... 'Crucified, laid behind a stone... like a rose trampled on the ground....'"
"Wah!" aku fikir, "Betapa berbezanya, betapa gambaran yang dibawa oleh senikata itu - itulah Yesus. Peribadi yang adalah dan sentiasa di atas segalanya, rela untuk disalibkan dan ditolak, semata-mata untuk menunjukkan kasih-Nya untuk dunia yang tidak menghargai-Nya."
Paul Laboche |
Lagu ini sangat bererti bagiku kerana ianya muncul dari tempat yang ikhlas. Asalnya aku bukan cuba menulis lagu, aku hanya ingin menyembah Dia dan memuji Dia untuk keagungan-Nya. Untuk dapat menyiapkan lagu itu dengan Lenny adalah suatu bonus bagiku sebab dia telah menjadi mentor dan kawanku sejak bertahun-tahun.
Ramai orang telah memberitahuku sambil berlinangan air mata bahawa mereka dapat rasakan kasih yang sungguh untuk Tuhan apabila mereka menyanyikan "Above All." Pernyataan bahawa Tuhan semesta alam rela untuk merendahkan Diri-Nya sehingga ke tahap penyaliban dan kematian, semata-mata untuk menyatakan kasih-Nya untuk kita, menghancurkan dan menginsafkan hati - seperti haruman penyembahan yang datang dari bekas minyak wangi yang sudah dipecahkan.
Aku teringat pada suatu kali aku mendengar sekumpulan orang menyembah dengan menyanyikan lagu "Above All." Aku sedang duduk di lantai bersama anak-anakku, menonton kebaktian doa perasmian untuk Presiden Bush di rangkaian Fox News Live. Michael W. Smith mendekati piano dan mula menyanyikan "Above all powers, above all kings...." Air mata mula mecurah keluar dari mataku. Anak perempuanku yang berusia 8 tahun bertanya, "Ayah ok ke? Ayah tak apa-apa?" Aku jawab, "Sayang, ini air mata kegembiraan." Aku berasa terharu dan kagum bahawa satu doa yang ringkas sambil menyembah, yang bermula di piano kecilku, telah sampai ke Presiden Amerika Syarikat. Aku berasa sungguh berbangga sekiranya lagu ini menjadi dorongan baginya. "Aku berdoa agar beliau akan mendapatkan kekuatan dan hikmat daripada Dia yang berkuasa di atasnya" ...dan di atas segalanya, aku rasa sungguh diberkati untuk mengetahui bahawa Yesus akan disembah dengan lagu ini untuk bertahun-tahun akan datang.
Kisah Lenny
Lenny :Leblanc |
Apabila aku dan Paul Baloche siap menulis lagu "Above All," aku seperti tahu dalam diriku bahawa lagu itu akan menyentuh hati jutaan orang. Ianya bermula apabila aku dan Paul berkumpul untuk menulis lagu untuk projek rakaman albumku yang hampir siap bagi Integrity Music. Paul sampai melalui penerbangan pada lewat petang. Kami menghabiskan masa berbincang dan mencuba beberapa lagu yang telah kami mulakan. Waktu malam semakin lanjut, Paul memainkan rangkap lagu "Above All" kecuali beberapa ayat yang kemudiannya kami ubah. Sesuatu tentang rangkap lagu itu benar-benar menyentuh hatiku dan aku memberitahunya bahawa idea gubahan itu sungguh bagus.
Dia memberitahuku bahawa dia telah menulis beberapa korus yang berbeza untuk lagu itu dan termasuk juga menyanyikannya dengan pelbagai cara sewaktu ibadah di gerejanya. Dia juga mengatakan bahawa dia tidak berpuas hati dengan mana-mana versi yang telah ditulisnya. Kami berbincang sekejap dan kemudian beredar ke bilik kami masing-masing untuk berehat.
Lenny Leblanc |
Pada awal pagi esoknya sebelum Paul bangun, aku mula mencuba idea untuk korusnya. Lewat sedikit pagi itu, kami memulakan dan menyiapkan lagu "Closer." Selepas rehat yang singkat, aku memainkan gubahanku untuk korus "Above All." Paul benar-benar sukakannya, dan kami mula memperkemaskan lagu itu. Setiap kali kami sampai ke ayat "Like a rose trampled on the ground" (seperti bunga mawar diinjak di atas tanah), kami berdua akan mula menangis. Di situlah kami - dua lelaki dewasa yang penuh air mata sambil berusaha sedaya upaya menyiapkan sebuah lagu.
Aku fikir sebab utama "Above All" telah membawa kesan begitu besar kepada kami - dan ramai lagi orang termasuk Michael W. Smith, ialah kerana ianya gambaran yang begitu indah mengenai Tuhan yang keagungan-Nya di atas segalanya, rela menjadi seperti bunga mawar diinjak di atas tanah, mengambil tempat kami dan memikirkan kami ... di atas segalanya."
(Diterjemah daripada artikel laman Lead Worship bertajuk "Above All - Story Behind The Song" penulisan Paul Leboche dan Lenny Leblanc)
Tonton juga Video Kesaksian Paul Leboche - Kisah Disebalik Lagu "Above All"
(Diterjemah daripada artikel laman Lead Worship bertajuk "Above All - Story Behind The Song" penulisan Paul Leboche dan Lenny Leblanc)
Tonton juga Video Kesaksian Paul Leboche - Kisah Disebalik Lagu "Above All"