Sabtu, 16 Februari 2013

Penginjil Tanpa Lengan dan Kaki Mendapat Anak

Nick Vujicic dan isterinya Kanae Miyahari

Seorang penginjil yang telah dilahirkan tanpa lengan dan kaki, dan yang telah memberi inspirasi kepada jutaan orang melalui kesaksian iman dan ketabahannya, telah mengumumkan kelahiran anaknya pada hari Rabu.

Nick Vujicic, presiden dan pengarah urusan pertubuhan Life Without Limbs dan isterinya Kanae, telah menyambut ulangtahun pertama perkahwinan mereka pada hari Selasa, dan anak pertama mereka tiba sehari kemudiannya - iaitu sehari sebelum Hari Valentine. Penginjil itu menyatakan di fan page Facebooknya bahawa isterinya dalam keadaan sihat selepas bersalin.


Nick dan Kanae dikurniai bayi lelaki - beratnya 3.9 kg

Hampir 70,000 orang "liked" gambar bayi lelaki yang bernama Kiyoshi James Vujicic, yang telah dimuatkan di Facebook, dan hampir 8,000 orang telah menyampaikan ucapan tahniah kepada pasangan itu dalam ruangan komen sehingga pagi Jumaat.

"Tahniah Nick dan Kanae!! Anda adalah inspirasi bagi kami semua!" begitu komen Racheal Selvarani James.




"Ganjaran yang sewajarnya untuk seorang lelaki yang sungguh menginspirasikan. Tahniah," kata Frank Collum.

Vujicic telah dilahirkan di Melbourne, Australia, pada 1982, kepada seorang ibu yang merupakan jururawat dan seorang bapa yang menjadi pastor, menurut laman web pelayanannya. Semasa kecil, dia menghadapi cabaran secara fizikal setiap hari oleh kerana keadaannya, dan juga seringkali berhadapan dengan keadaan dibuli, isu-isu keyakinan diri dan rasa kemurungan (depresi).

Tetapi imannya di dalam Tuhan memberinya kekuatan untuk terus maju dalam kehidupan, dan pada umur 19 tahun dia telah mula memberi ceramah motivasi dan menyampaikan Injil melalui kesaksiannya. Sejak masa itu dia telah membawa mesejnya ke sekeliling dunia.

Vujicic menulis artikel bulanan secara eksklusif untuk The Christian Post, di mana dia telah mengupas topik-topik seperti dibuli dan "tidak terbatasi" (unstoppable) dalam Yesus Kristus. Dia juga adalah penulis buku Life Without Limits: Inspiration for a Ridiculously Good Life dan buku Unstoppable: The Incredible Power of Faith in Action.

Tahniah Nick dan Kanae!


(Diterjemah daripada artikel The Christian Post bertajuk "Limbless Evangelist Has Newborn Baby" bertarikh 15 Februari 2013 ditulis oleh Jeff Schapiro)

Baca juga  Nick Vujicic: "Aku Perlukan Tuhan Untuk Lebih Daripada Lengan Dan Kaki" (dengan Video)