Peguam Mais, Haniff Khatri Abdulla |
Beliau berkata MAIS sendiri tidak tahu berkenaan cadangan
terjemahan yang dibuat peguam mewakili badan agama itu, Haniff Khatri Abdulla.
“Bukan, terjemahan Bible ke bahasa Melayu itu bukan cadangan
Mais. Ia bukan pendirian Mais.
“Kita tidak ada perbincangan atau arahan mengenai terjemahan
itu,” kata Adzib ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Adzib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai
cadangan Haniff yang dikemukakan pada prosiding kes difailkan oleh Jill Ireland
Lawrence Bill terhadap menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia supaya
menegakkan hak menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan Kristian.
Haniff selaku peguam yang mewakili Mais membantu mahkamah
pada ketika itu untuk memahami kalimah Allah dalam konteks Islam.
Ketika ditanya sama ada Adzib akan berbincang dengan Haniff
berkenaan isu itu, beliau berkata ia masih belum diputuskan lagi.
“Kita belum tahu, kenapa dia cakap macam itu pun saya kurang
pasti, tapi itu pendiriannya selaku peguam Mais, mereka ada hujah sendiri.
“Tapi setakat ini yang boleh kita sahkan ialah cadangan
terjemahan itu bukan pendirian rasmi Mais,” katanya.
Rabu minggu lalu, Haniff memberitahu mahkamah DBP boleh mengeluarkan
terjemahan rasmi Bible dalam bahasa Melayu bagi membetulkan kesilapan
penggunaan kalimah Allah sebagai ganti perkataan untuk Tuhan.
Katanya, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tersalah
menggunakan kalimah Allah sebagai ganti perkataan Tuhan dalam Bahasa Melayu.
Dalam hujahnya, Haniff berkata mereka sepatutnya menggunakan
perkataan "Tuhan" dan ini tidak sama sekali mencabul hak perlembagaan
mereka.
Hujah Haniff mencetuskan kemarahan pemimpin politik beragama
Kristian dan pemimpin gereja, termasuk sebuah badan pelbagai agama yang
membidas kenyataan peguam itu dikatakan melampau.
Turut menentang keras cadangan itu ialah Presiden Majlis
Gereja Sabah Biskop Milter Tiki Jais yang menuntut Haniff meminta maaf kerana
kenyataannya.
Bagaimanapun, Haniff enggan
meminta maaf atau menarik balik cadangan yang dibuat meskipun dibidas
pelbagai pihak. – 20 November, 2017.
(Diambil daripadda artikel The Malaysian Insight bertajuk. "Cadang DBP Terjemah Bible Bukan Pendirian Mais" yang ditulis oleh Diyana Ibrahim bertarikh 20 November 2017)