Selasa, 21 November 2017

DBP Bukan Pihak Sepatutnya Terjemah Bible


DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan pihak berkuasa yang sepatutnya menterjemah Bible ke Bahasa Malaysia, kata presiden Majlis Gereja Sabah Bishop Melter Jiki Tais. 

"Kami memiliki orang yang berkelayakan dalam kalangan kumpulan Kristian untuk melakukan terjemahan dan mereka bukan penganut Kristian biasa. DBP bukan pihak sepatutnya menterjemah Bible. 

"Lagipun, kita tidak memerlukan DBP untuk memberi kuasa penerbitan kerana Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kebebasan beragama dan mengamalkan kepercayaan," katanya kepada The Malaysian Insight. 

Tais mengulas berhubung cadangan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla untuk DBP menyediakan terjemahan Bible dalam Bahasa Malaysia. 

Pemimpin gereja itu berkata demikian ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri Sabah ketika melawat Ketua Menteri Musa Aman. 

Terdahulu, Tais menjemput Musa ke sambutan perayaan Krismas Kota Kinabalu yang akan diadakan di Padang Merdeka. 

Ditanya mengenai pengunaan perkataan "Allah" untuk terjemahan "Tuhan", Tais berkata Sabah berbeza dengan negeri lain kerana toleransi agamanya lebih kuat yang disokong dan disyorkan oleh pemimpin negeri.

"Walaupun pada 1973, pindaan dibuat untuk menjadikan Islam sebagai agama rasmi Sabah, rakyat Sabah beragama Kristian masih bebas menggunakan perkataan "Allah"," katanya.

"Di Sabah, ketua menteri sendiri memberi jaminan kepada kami, jadi apa sahaja yang diperkatakan ahli politik, ia tidak mencerminkan pendirian gereja." – 21 November, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "DBP Bukan Pihak Sepatutnya Terjemah Bible" yang ditulis oleh Jason Santos bertarikh 21 November 2017)