Jumaat, 9 Januari 2026

Warisan Cadang Tubuh Unit Khas JPN Perbetul Status Agama Mykad


PETALING JAYA: Warisan menggesa kerajaan menubuhkan unit khas Sabah dan Sarawak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan pembetulan status agama pemegang MyKad di negeri itu dibuat dengan lebih berkesan.

Pengarah Komunikasi Strategiknya Christopher Masudal berkata gesaan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam yang membenarkan permohonan Abdul Manap Bakusai @ Abu Bakar dan tiga anaknya membetulkan status agama mereka kepada Kristian dalam MyKad.

Menurutnya, Hakim Celestina Stuel Galid dalam penghakiman menyuarakan kebimbangan kerana kes berkenaan melibatkan penduduk kampung yang buta huruf dan memerlukan bantuan, selain menegaskan ia bukan kes terpencil.

“Kita tidak mengetahui berapa ramai rakyat Sabah bukan Islam yang sedang menghadapi kesulitan seperti Abdul Manap Bakusai.

“Saya mencadangkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk menubuhkan satu unit khas Sabah dan Sarawak di JPN untuk menerima permohonan dan membuat pembetulan status agama MyKad rakyat dari kedua-dua negeri yang terkesan,” katanya dalam kenyataan.

Christopher berkata situasi kekeliruan status agama bukan perkara luar biasa di Sabah, khususnya di kalangan masyarakat Kadazan-Dusun-Murut (KDM) di kawasan pedalaman dan luar bandar, memandangkan nama seseorang tidak semestinya mencerminkan agama sebenar mereka.

“Malah penggunaan ‘bin’ dan ‘binti’ dalam kalangan masyarakat KDM Kristian di pedalaman Sabah juga adalah perkara biasa,” katanya.

Christopher turut menggesa Saifuddin mempertimbangkan semula cadangan Warisan pada 2024 berhubung penubuhan Fast Track Lane di JPN untuk mempercepatkan lagi proses permohonan MyKad lewat rakyat Sabah terutamanya mereka yang berada di kawasan pedalaman dan luar bandar.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Warisan Cadang Tubuh Unit Khas JPN Perbetul Status Agama Mykad" bertarikh 9 Januari 2026)