Selasa, 31 Julai 2018

Seorang Pejuang Yang Memiliki Impian Besar


Menteri Kerja Raya yang baharu, Baru Bian masih sedikit terkejut apabila dia memikirkan peristiwa 9 Mei, ketika Pakatan Harapan meraih kemenangan pilihan raya yang bersejarah dan dia sendiri menang di Selangau untuk menjadi Ahli Parlimen untuk kali pertamanya.

"Ianya suatu mukjizat. Setelah berjuang dalam politik selama bertahun-tahun, saya tidak pernah menyangka bahawa ini akan terjadi dalam tempoh hayat saya," katanya mengenai kemenangan Pakatan.

Perlantikannya selepas itu ke Kabinet Persekutuan adalah satu lagi peristiwa penting dalam perjalanan yang jauh yang telah membawanya dari kawasan pergunungan terpencil di Sarawak ke kerjaya yang menonjol sebagai peguam yang memperjuangkan hak tanah pribumi, ahli politik pembangkang dan kini orang Lun Bawang pertama untuk dilantik menjadi menteri.

Anak seorang pastor, Baru membesar di kawasan pergunungan Ba'Kelalan di mana ayahnya telah melayani dalam beberapa gereja kampung. Untuk pergi ke sekolah, dia perlu berjalan kaki selama tiga hari di hutan untuk sampai ke bandar Lawas.

"Kebanyakan daripada kami dari kawasan ulu di Ba'Kelalan berjalan ke sekolah menengah yang paling dekat. Kami berjalan tiga hari dan singgah pada setiap malam di salah satu daripada kampung-kampung sepanjang perjalanan di hutan sebelum kami sampai di Lawas," dia mengingat kembali.

Perjalanan dari Ba'Kelalan ke Lawas

"Saya belajar di sekolah menengah Limbang, oleh itu saya perlu mengambil perjalanan sehari lagi, dan menaiki bot ekspres tiga jam dari Lawas ke Limbang. Itulah caranya saya pergi ke sekolah selama lima tahun."

Mengingatkan pengalaman ini. Baru, 59, berkata itu telah memberikannya rasa cinta pada alam sekitar dan hak tanah pribumi. 

"Dalam perjalanan ke Lawas, kami merentasi gunung dan melalui hutan. Anda boleh kumpulkan air daripada sungai dari gunung yang begitu jernih.

"Dan melalui ini, saya memahami makna hak adat pribumi (NCR) ke atas 'pemakai menoa' (kawasan) dan 'pulau galau' (kawasan hutan simpanan masyarakat). Saya mengalami ini dari kecil, sewaktu memburu dengan ayah saya dan belajar daripadanya bagaimana untuk hidup dalam hutan. Inilah sebabnya mengapa saya sangat bersungguh-sungguh mengenai hak-hak tanah, hak-hak pribumi dan alam sekitar."

Itu telah mendorongnya untuk mengambil jurusan undang-undang dan pada 1986 telah menjadi orang Lun Bawang yang kelima untuk menyertai Majlis Peguam. Lima tahun kemudian dia telah mefailkan kes NCR pertamanya bagi pihak ahli keluarga besarnya, yang tanah adatnya telah dicerobohi oleh syarikat balak. 

"Itulah permulaan perjalanan saya untuk memperjuangkan hak-hak rakyat pribumi Sarawak," katanya.

Soalan: Bagaimanakah cara anda dibesarkan telah membentuk siapa anda pada hari ini?

Jawapan: Saya telah dibesarkan dalam keluarga Kristian. Ibu bapa saya telah dilatih menjadi pastor di gereja. Saya ingat kata-kata nasihat ayah saya, "Kamu harus sangat berdisplin dan berhati-hati dalam cara kamu hidup sebab kamu membawa nama saya. Oleh itu jika kamu berkelakuan buruk, nama saya akan diburukkan. Jika kamu hidup dengan baik, orang akan katakan inilah anak Bian Labo."

Itu benar-benar membawa kesan kepada saya. 

Perkara kedua yang saya ingat daripadanya adalah ini: "Orang tidak akan takut kamu kerana kamu ada wang dan kuasa tetapi kerana kamu melakukan apa yang benar."

Itulah yang saya berpegang pada sebagai prinsip hidup saya.

Semasa membesar, saya telah melalui masa-masa yang sukar sebab kami keluarga yang miskin, tetapi itu menolong saya melihat orang lain pada hari ini dan memahami kesusahan mereka. Apabila saya pergi ke kampung-kampung sekarang, saya menggalakkan mereka untuk memiliki kepercayaan diri dan bahawa kemiskinan tidak boleh menjadi penghalang kepada pendidikan dan kejayaan dalam hidup. 

Foto keluarga sewaktu Baru Bian berusia 13 tahun
(Baru Bian di baris belakang paling kanan)

> Bagaimanakah anda mula terlibat dalam politik?

Saya menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pada 1987 kerana pada waktu itu mereka berkempen untuk mempertahankan NCR di Sarawak. Pada 1991, saya dicalonkan untuk bertanding buat pertama kali di kawasan perundangan negeri Lawas (sekarang Bukit Sari) dan kalah.

Ketika PBDS (yang ketika itu adalah Pembangkang di peringkat negeri) berunding untuk menyertai Barisan Nasional peringkat negeri, salah satu syarat utama adalah isu-isu NCR tidak boleh dibangkitkan lagi. Saya biarkan sahaja tetapi membuat keputusan bahawa saya akan meneruskan perjuangan saya untuk NCR melalui mahkamah dan tiada sesiapa yang dapat menghalang saya.

Pada 2004, saya keluar dari PBDS kerana saya percaya bahawa saya perlu membuat pendirian. Isu NCR belum lagi selesai dan saya sangat terlibat dalamnya selepas memenangi kes Nor Nyawai pada 2001. Yang jelas pada saya pada waktu itu, untuk memperjuangkan isu ini dan menyelesaikannya, kita perlu menukar kerajaan, kerana ianya berkaitan dengan dasar kerajaan mengenai tanah.

Ketika saya bertanding untuk pilihan raya kecil di Ba'Kelalan pada 2004, NCR adalah salah satu isu yang telah saya bangkitkan. Saya kalah untuk kali kedua.

Kemudian datang pilihan raya negeri pada 2006, saya bertanding lagi dan kalah untuk kali ketiganya. Selepas itu saya mengambil keputusan untuk bersara dari politik kerana sudah bertanding tiga kali dan kalah.

Tiba-tiba sesuatu yang baharu terjadi - tsunami politik pada 2008, di mana lima negeri jatuh ke tangan Pembangkang. Pada tahun itu, saya telah diminta untuk menyertai PKR dan kelihatan kepada saya bahawa suatu sistem politik yang baharu telah bermula, iaitu sistem dua parti perikatan yang kuat di mana orang ramai boleh membuat pilihan. Bagi saya pada waktu itu, ada sedikit sinar harapan untuk Malaysia, oleh itu saya mengambil keputusan untuk kembali menyertai politik kerana saya ingin menguatkan sistem ini dan membantu agar generasi akan datang memiliki pilihan yang lebih baik. 


Pada 2009, saya telah dilantik menjadi Ketua PKR Sarawak, dan seperti yang mereka katakan, selanjutnya sudah menjadi sejarah. Saya bertanding untuk kali keempat dalam pilihan raya negeri 2011 dan menang.

Melihat kembali kepada semua peristiwa penting dalam perjalanan politik saya, saya fikir saya tidak boleh katakan semua kekalahan yang saya alami itu adalah kekalahan dalam erti kata itu. Kesemua itu adalah sebahagian daripada perjalanan untuk menyediakan saya untuk hari ini.

> Pernahkah anda berfikir bahawa anda akan menjadi seorang Menteri Persekutuan?

Ini sesuatu yang di luar jangkaan saya. Berasal daripada kumpulan minoriti di Sarawak, saya tidak pernah mengimpikan akan mejadi anggota Kabinet di Putrajaya. Saya tentunya merasakannya sebagai suatu penghormatan untuk dipilih. 

> Apakah yang anda akan fokus dulu sambil anda menyandang peranan baharu anda?

Saya fikir portfolio itu sangat relevan untuk keperluan di Sarawak dan Sabah dan negeri-negeri lain di mana infrastruktur, terutamanya jalanraya, tidak terbina untuk memenuhi keperluan-keperluan. Inilah yang saya rasa harus perhatikan sebagai keutamaan. Kita perlukan jalanraya yang baik, jalanraya berturap yang disambungkan ke kawasan pendalaman.

Perkara kedua yang amat diperlukan adalah air bersih ke kampung-kampung. Saya menyedari bahawa kawasan-kawasan berdekatan laut di Sarawak, umpamanya, amat memerlukan air yang bersih. Di sebahagian tempat, orang-orang kampung perlu menggali perigi atau bergantung kepada air hujan.

Ketiga adalah kuasa elektrik. Pendapat peribadi saya adalah kita perlu menekankan mengenai kuasa yang boleh diperbaharui berbanding sesuatu yang merosakkan alam sekitar. Saya sedang meneliti mengenai kuasa solar dan sistem mini hidro yang tidak akan merosakkan tanah dan hutan seperti empangan-empangan yang dibina oleh negeri.

Dengan tiga perkara ini, saya fikir penduduk kita di bahagian pendalaman boleh maju dan hidup dengan selesa. Mereka boleh mengusahakan tanah mereka untuk pertanian dan jalanraya ada untuk mereka mengangkut hasil tanaman mereka ke pasar. Saya melihat infrastruktur yang baik sebagai pemangkin aktiviti-aktiviti ekonomi dan pelancongan.

> Selain Sarawak dan Sabah, bagaimanakah anda akan menangani keperluan-keperluan di negeri-negeri yang selainnya dalam negara?

Saya menyedari bahawa portfolio ini bersifat Persekutuan dan mencakupi seluruh negara. Tentu saja saya akan perhatikan keperluan di kawasan-kawasan lain di bawah bidang kuasa kerja raya.

Dalam konteks negara kita yang sekarang sangat mencabar, Perdana Menteri memperkatakan mengenai mengurangkan kos, jadi adalah tugas kami menyemak semula banyak projek-projek yang telah diusulkan oleh pentadbiran dahulu untuk melihat samada projek-projek itu benar-benar diperlukan.

Saya percaya bahawa projek-projek mestilah dilaksanakan berdasarkan keperluan. Apabila kita telah menentukan bahawa ianya diperlukan, kita akan melihat kos projek itu dan memastikan bahawa ianya dinilai dengan betul. Budaya pentadbiran dahulu yang melambung-lambungkan harga perlu disemak semula.

Kemudian orang-orang yang melaksanakan projek-projek itu mestilah mempunyai kebolehan dan profesionalisme untuk memastikan projek-projek itu disiapkan dengan betul.

> Adakah projek-projek yang akan disemak semula termasuk Lebuh Raya Pan Borneo? Ada kebimbangan di kalangan rakyat Sarawak bahawa ianya akan dibatalkan.

Saya menyedari kebimbangan rakyat Sarawak mengenai projek mega ini. Di mana perlu, saya akan melakukan sebaik yang saya dapat untuk memastikan ianya disiapkan dan dilaksanakan dengan cara yang betul.

> Anda akan beralih dari seorang peguam menjadi Menteri Kerja Raya. Bagaimanakah latar belakang undang-undang anda membantu dalam tanggungjawab baharu anda?

Sebagai peguam, kami berurusan dengan orang dan berkomunikasi dengan mereka yang terbabit. Kami melihat pelbagai aspek dari kes-kes dan isu-isu yang terbabit dari sudut pandang undang-undang. Ini akan membantu untuk menguruskan kementrian, sebab ada banyak perkara yang perlu diteliti. Kami perlu berhubung dengan orang dan kami perlu menilai pro dan kontra projek-projek.

Pengalaman perundangan saya akan banyak membantu dalam isu-isu perundangan yang terbabit dalam pembinaan jalan, umpamanya, seperti pemerolehan tanah, dan berurusan dengan undang-undang negeri sebab negeri mempunyai bidang kuasa ke atas tanah, bukan Kerajaan Persekutuan.

> Apakah harapan anda untuk negara pasca PRU-14?

Enam tahun yang lalu saya telah memberikan satu ucapan pada 16 Sep - Hari Malaysia - di mana saya telah senaraikan impian saya untuk negara.

Saya mengatakan pada waktu itu bahawa saya mempunyai visi untuk kehidupan lebih baik dan masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita.

Dalam visi saya, kekayaan negara ini akan digunakan untuk memanfaatkan semua orang, pemilik-pemilik tanah akan menuai hasil yang banyak dan mempunyai makanan yang banyak, kerajaan dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang rendah hati yang berkhidmat kepada rakyat dengan integriti, sekolah-sekolah menyampaikan kurikulum yang bertahap kelas satu dan anak-anak diberi segala kesempatan untuk memperoleh kemahiran dan kelayakan untuk menyediakan mereka dengan sebaiknya untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam hidup, rakyat akan bebas untuk mengamalkan agama pilihan mereka tanpa campur tangan daripada pihak berkuasa, dan rakyat Sarawak dan Malaysia dari segala bangsa diberi kesempatan yang saksama untuk berjaya dan makmur.

Kini impian ini mulai menjadi kenyataan dan saya dapat memainkan sebahagian peranan untuk memastikan ianya menjadi kenyataan.

(Diterjemah daripada artikel The Star bertajuk, "A Fighter With Big Dreams" yang ditulis oleh Sharon Ling bertarikh 29 Julai 2018)