Rabu, 1 Ogos 2018

Duta Besar Amerika Ke PBB, Nikki Haley Menyebut Mengenai Perjalanan Imannya Di Persidangan Kebebasan Beragama


Duta Besar Amerika Syarikat ke Bangsa-Bangsa Bersatu, Nikki Haley telah menyampaikan beberapa kenyataan yang berwibawa di Persidangan Kebebasan Beragama. Mendedahkan butir-butir menarik mengenai migrasi keluarga Sikhnya ke Amerika Syarikat, Haley menceritakan mengenai perjalanannya menjadi Kristian dan keistimewaan yang dialaminya ketika membesar di sebuah negara yang memartabatkan kebebasan beragama.

Persidangan tiga hari Ministerial for the Advancement of Religious Freedom telah dihos dengan penuh mengharukan oleh United States Holocaust Memorial Museum di Washington D.C. dari Selasa hingga Khamis minggu ini.

"Ianya menyatakan segalanya mengenai negara kita bahawa persidangan ministerial pertama ini telah didedikasikan kepada pengekalan, perlindungan dan pengembangan kebebasan beragama," begitulah kata-kata pembukaan dalam ucaptama Haley.

"Penghormatan Amerika terhadap kebebasan beragama mempunyai pengaruh terhadap dasar luar negeri kita. Ianya adalah senjata yang sering dilupakan dalam perjuangan demokrasi modern."

Duta Besar Haley berkata pengembangan kebebasan beragama "adalah cara untuk melindungi keamanan dan keselamatan."


Kemudian bekas gabenor Carolina Selatan itu mendedahkan bahawa kebebasan beragama juga adalah sesuatu yang bersifat peribadi baginya.

"Saya sangat beruntung kerana mendapat manfaat daripada toleransi beragama. Ibu bapa saya telah bermigrasi ke sebuah bandar kecil di Carolina Selatan dari India pada 1969 sebagai anggota-anggota agama Sikh," Haley menjelaskan. "Ayah saya memakai serban dan masih lagi sampai ke hari ini. Kami adalah keluarga Amerika berbangsa India yang pertama di bandar kecil kami di Carolina Selatan."

"Penampilan kami cukup menonjol," gurau Haley, diiringi tawa dari hadirin.

Duta Besar itu seterusnya menjelaskan bagaimana begitu ramai penduduk tempatan di bandar mereka akan tampil ke muka pintu dalam usaha menginjili keluarga itu.

"Orang akan tiba di muka pintu untuk menyakinkan kami untuk memasuki agama mereka. Ada yang berlinangan air mata sebab mereka dengan ikhlas percaya kebinasaan kekal adalah nasib orang-orang yang tidak memiliki iman mereka," katanya.

"Kakak saya pernah diberikan Alkitab daripada pengunjung-pengunjung yang bermaksud baik itu. Ketika ibu saya melihatnya, dia memberitahu kakak saya untuk membacanya dari mula sampai habis. 'Ada kebenaran di situ,' katanya," Haley mengingati.

Nikki Haley dalam pakaian tradisi (kanan)

Ahli politik itu kemudian mengatakan mengenai iman peribadinya dalam Yesus.

"Dua puluh tahun yang lalu perjalanan iman saya telah membawa saya kepada Kekristianan," katanya, dan menambah, "Saya telah mendapat kekuatan besar dalam iman saya dan kepercayaan dalam hati saya, tetapi saya seorang yang rendah hati dalam iman. Saya tidak mendakwa punya hikmat untuk mengetahui apa yang Tuhan ada untuk masa depan saya atau orang lain."

"Tetapi saya tahu ini," Haley meneruskan, "terdapat banyak tempat di dunia di mana perjalanan iman saya tidak mungkin terjadi, tempat-tempat di mana kerajaan menafikan penduduknya hak untuk memilih iman mereka, ataupun hak untuk memiliki iman."

Duta Besar itu berkata dia "sangat bertuah" kerana ibu bapanya telah dapat "migrasi secara sah ke Amerika".

"Di sini, kita bukan sahaja mempertahankan hak untuk mengenal kasih kurnia Tuhan, kita juga tahu bahawa kasih kurnia yang sejati tidak dapat dipaksakan oleh kerajaan. Ianya mestilah diterima secara bebas dari dalam seseorang," katanya.


Haley juga mengatakan pengalamannya sebagai duta besar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah "memberikan kesempatan untuk melihat isu yang paling intim dan peribadi membawa impak kepada negara-negara dan penduduk-penduduk."

Dia menambah, "Ianya telah memberi saya peluang untuk menyampaikan teladan baik kebebasan beragama Amerika, sesuatu yang telah saya alami secara langsung, ke arena antarabangsa."

Duta Besar itu juga mengatakan bahawa di PBB, dia telah menyaksikan bagaimana "keamanan dan keselamatan telah diancam dari penafian kebebasan beragama."

Dengan kata-kata yang telah diungkapkan dengan baik, Haley berkata bahawa penafian kebebasan beragama "begitu membinasakan" kerana "ianya menandakan kerajaan mengangkatkan diri lebih tinggi daripada Tuhan."

"Di Amerika, hak-hak kami adalah di luar penguasaan kerajaan," tambahnya. "Penafian kebebasan beragama adalah pemerintahan kuku besi yang paling teruk. Menyekat atau menafikan kebebasan beragama adalah cara utama kerajaan-kerajaan meletakkan kawalan atas penduduk mereka."

Haley menutup dengan mengatakan, "Di mana ada toleransi agama, di situ ada toleransi politik. Dan di mana ada toleransi politik, di situ ada keamanan, keselamatan dan kemakmuran."

(Diterjemahkan daripada artikel Faithwire bertajuk, "Nikki Haley Shares How A Fateful Knock At The Door Changed Her Indian-Sikh Family Forever" yang ditulis oleh Will Maule bertarikh 27 Julai 2018)