Isnin, 15 Ogos 2022

Aku Akan Melindungi Engkau, dan Aku Akan Membawa Engkau Kembali ke Negeri Ini


Oleh Si Domba Putih:

Aku masih ingat bertahun lalu, setelah habis pengajian di kolej, aku sedang bersedia untuk mengambil penerbangan merentasi Laut China Selatan untuk pekerjaan tetap pertamaku.

Aku bangun awal pagi di tempat penginapan sebelum rakan-rakan yang lain dan mencari tempat untuk berdoa. Aku memasuki dewan makan yang masih kosong dan mencari sudut yang sunyi. 

Aku berdoa dan membuka Alkitab, dan langsung terlihat suatu ayat yang tak pernah aku baca, atau ingat. "Sesungguhnya Aku menyertai engkau dan Aku akan melindungi engkau, ke manapun engkau pergi, dan Aku akan membawa engkau kembali ke negeri ini, sebab Aku tidak akan meninggalkan engkau, melainkan tetap melakukan apa yang Kujanjikan kepadamu" (Kejadian 28:15).

Tak sangka aku menjumpai ayat ini ketika aku bersiap untuk terbang ke negeri lain. Terus aku merasa damai yang tak terhingga di hatiku. Walaupun aku tidak meminta hal ini, tetapi untuk mendapat janji daripada Tuhan bahawa Dia akan melindungiku dan membawa aku kembali ke tempat ini adalah sesuatu yang sungguh istimewa. 

Aku melangkah keluar dari dewan makan itu dengan Alkitabku. Petang itu ketika menaiki penerbangan, aku penuh sukacita akan kasih dan kebaikan Tuhan dalam hidupku. Lagu-lagu pujian memenuhi hatiku sambil Penerbangan Malaysia membawa aku merentasi lautan.