Rabu, 31 Oktober 2012

Martin Luther Pelopor Reformasi Protestan

Martin Luther

Pada hari ini pada tahun 1517, paderi dan sarjana agama, Martin Luther menghampiri pintu Castle Church di Wittenberg, Jerman, dan memakukan ke atasnya sekeping kertas yang mengandungi 95 pendapat bersifat pembaharuan yang akan memulakan Reformasi Protestan.

"Pintu Tesis" di Castle Church

Dalam tesisnya, Luther mengecam amalan yang keterlampauan dan korupsi dalam Gereja Roman Katolik, terutamanya amalan pihak Paus meminta pembayaran - dipanggil "indulgences" - untuk pengampuan dosa. Pada waktu itu, seorang paderi Dominican bernama Johann Tetzel, yang telah diamanahkan oleh Uskup Besar dari Mainz dan Paus Leo Ke-10, sedang terlibat dalam satu kempen besar mengumpul dana di Jerman untuk menyumbang kepada pengubahsuaian bangunan gereja Basilica St. Peter di Rom.

Walaupun Putera Frederick III The Wise telah mengharamkan penjualan indulgences di Wittenberg, ramai anggota gereja merantau ke kawasan lain untuk membelinya. Apabila mereka kembali, mereka menunjukkan pengampunan yang telah dibeli oleh mereka kepada Luther, sambil mendakwa bahawa mereka tidak perlu lagi bertaubat daripada dosa mereka.

Amalan menjual "indulgences" dilakukan oleh
pihak kegerejaan Rom

Kekecewaan Luther terhadap amalan ini mendorong Luther untuk menulis 95 Tesis itu, yang disambut baik dengan cepat, dan diterjemah daripada Bahasa Latin ke Bahasa Jerman lalu disebarkan dengan meluasnya. Satu salinannya telah dibawa ke Rom, dan pelbagai usaha dilaksanakan untuk menyakinkan Luther supaya mengubah pendiriannya. Dia bagaimanapun, enggan berdiam diri dalam hal itu, dan pada tahun 1521, Paus Leo Ke-10 secara rasminya membatalkan keahlian Luther dalam Gereja Katolik.

Martin Luther diperhadapkan di hadapan
Maharaja Rom, Charles Ke-5
di perhimpunan Diet di kota
Worms pada tahun 1521

Pada tahun yang sama, Luther sekali lagi enggan menarik balik apa yang telah ditulisnya di hadapan  Maharaja Rom Charles Ke-5 dari Jerman, yang kemudiannya mengeluarkan perintah terkenal Edict of Worms, yang menyatakan bahawa Luther adalah seorang penjenayah dan pengajar ajaran sesat, dan memberikan keizinan kepada sesiapapun untuk membunuhnya tanpa akibat. Dilindungi oleh Putera Frederick, Luther memulakan kerja penterjemahan Alkitab ke dalam Bahasa Jerman, usaha yang mengambil 10 tahun untuk disiapkan.

Setelah Edict of Worms dikeluarkan pada 1521,
Putera Frederick III telah menyembunyikan 
Luther dan melindunginya di Wartburg Castle, 
Inilah bilik di Wartburg Castle, di mana Luther 
telah menterjemah Alkitab ke Bahasa Jerman

Alkitab Martin Luther tahun 1534
(Terjemahan Bahasa Jerman)

Istilah "Protestan" mula muncul pada 1529, apabila Charles Ke-5, menarik balik peruntukan undang-undang yang memberi kebebasan kepada setiap pemerintah negeri di Jerman untuk memilih samada melaksanakan atau tidak perintah Edicts of Worms. Sebilangan putera-putera dan penyokong lain Luther mengemukakan protes, menyatakan bahawa kesetiaan mereka kepada Tuhan mengatasi kesetiaan mereka kepada Maharaja.

Mereka mula dikenal sebagai "Protestan" oleh pihak yang menentang mereka; secara beransur-ansur nama itu mula dikaitkan kepada semua orang yang percaya bahawa Gereja harus menjalani reformasi, termasuklah mereka yang di luar Jerman. Sehingga masa Luther meninggal dunia kerana sakit pada tahun 1546, kepercayaannya yang membawa pembaharuan telah membina asas bagi Reformasi Protestan, yang mana untuk tiga abad berikutnya akan membawa pembaharuan kepada tamadun di negara-negara Barat.

(Diterjemahkan daripada artikel laman History.com yang bertajuk "Martin Luther Posts 95 Theses" dan bertarikh 31 Oktober 2012)