Isnin, 29 Oktober 2012

Ucapan Syukur Di Tahun Yobel

Puji Tuhan! Pada 16 September 2012, umat Kristian di Malaysia telah menyambut mulanya Tahun Yobel (Jubilee) iaitu Tahun ke-50 pembentukan Malaysia. Malaysia telah dibentuk apabila Sabah, Sarawak dan Singapura telah bergabung dengan Malaya pada 16 September 1963 (Singapura selepas itu telah menarik diri daripada Persekutuan baru ini dua tahun kemudiannya).  Umat Kristian di Malaysia telah merayakan bermulanya Tahun Yobel ini dengan Doa Berkat Bagi Malaysia, dalam acara doa gabungan di pelbagai tempat di seluruh negara. Semoga kasih dan rahmat Tuhan dicurahkan ke atas Malaysia dalam Tahun ke-50 nya!


Blog mencapai 50,000 pageviews
Sejak bermulanya Tahun Yobel ini, blog domba2domba juga mengalami beberapa perkembangan yang menarik. Pada 4 Oktober 2012, blog ini telah mencapai 50,000 pageviews (paparan halaman) yang pertamanya sejak blog ini dimulakan setahun setengah yang lalu pada 9 April 2011. Segala pujian dan syukur kepada Tuhan atas kebaikan dan kesetiaan-Nya sejak bermulanya blog ini sehingga ke hari ini. (50,000 pageviews ini ialah jumlah pageviews untuk semua artikel dalam blog ini termasuk artikel Sidney Mohede di sebelah).


Gambar skrin pada 19 Okt 2012
menunjukkan bilangan ahli blog
Seterusnya pada 9 Oktober 2012, blog ini juga telah mencatat ahli atau pengikut yang ke-100 nya! Aku sering juga membaca blog-blog yang lain dan menyedari bahawa tidak mudah untuk mendapatkan ramai ahli atau pengikut. Oleh itu aku benar-benar bersyukur kerana kini sudah mencapai dan melebihi 100 pengikut untuk blog ini! (Anda boleh menyertai blog ini dengan mengklik butang "Sertai tapak ini" di bahagian atas blog ini, dan anda akan menerima setiap artikel baru blog ini dihantar terus kepadamu melalui Google Reader).


700 "Likes" di Fan Page FB
Pada 17 Oktober tahun lepas, setelah mendapat dorongan daripada seorang kawan, aku telah memulakan Fan Page domba2domba di Facebook untuk para pembaca dan peminat blog ini. Fan Page ini telah mencapai 700 "Likes" pada malam tadi (28 Okt 2012). Aku tak pernah menyangka bahawa dalam masa setahun, Fan Page ini boleh mendapat 700 orang peminat! Aku mengucap syukur sekiranya blog ini telah menjadi berkat bagi para pembaca. (Melalui Fan Page ini, aku dapat menyampaikan maklumat terbaru kepada para peminat tentang artikel baru di blogku).


Terima kasih semua kawan-kawanku, kerana menjadi Pembaca, Peminat dan Pengikut setia blog ini!

Dan tentu sekali, segala pujian dan syukur kepada Tuhan kerana mengizinkan aku memulakan dan mengendalikan blog ini sehinggalah ke hari ini. Seperti yang dikatakan oleh Rasul Paulus;

"Sebab segala sesuatu adalah dari Dia, dan oleh Dia, dan kepada Dia: Bagi Dialah kemuliaan sampai selama-lamanya!" (Roma 11:36)