PETALING JAYA: Penyanyi Jaclyn Victor menganggap lagu Harapan Bangsa yang dinyanyikannya adalah salah satu bentuk sumbangan dan tanggungjawab untuk agamanya iaitu Kristian.
Jaclyn atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 33, berkata, dia menyanyikan lagu itu dalam Bahasa Malaysia bukan bertujuan untuk menyebarkan agama berkenaan tetapi dikhususkan kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.
"Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang penganut Kristian dengan menyanyikan lagu berkenaan kepada orang Kristian di Sabah dan Sarawak. Kebanyakan mereka di dua negeri itu lebih faham Bahasa Malaysia.
"Dan sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebebasan beragama, isu tersebut tidak seharusnya dipertikaikan," katanya kepada mStar Online apabila diminta mengulas lagu berkenaan yang menjadi isu selepas beberapa pihak membuat pertikaian mengenainya.
Utusan Malaysia pada Jumaat melaporkan, Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta kementerian berkaitan menyiasat lagu Harapan Bangsa yang mungkin telah menyentuh sensitiviti penganut agama lain di negara ini.
Sebelum ini, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut mendakwa Jac telah menghina Islam gara-gara menyanyikan lagu yang mengandungi konotasi agama yang berkaitan dengan agama Kristian.
Lagu tersebut menjadi kontroversi selepas ia dimuat naik menerusi YouTube bermula Januari lalu.
Tambah penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini, dia tidak melakukan sebarang kesalahan kerana lagu berkenaan bukan dihasilkan untuk tujuan komersial.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim menyifatkan perbuatan Jac bukanlah satu kesalahan untuk dia menyanyikan lagu agama yang dianutinya walaupun dalam apa juga bahasa sekalipun.
"Saya rasa perkara ini tidak perlu diperbesarkan dan andai kata memang benar masyarakat beragama lain terasa, janganlah berfikiran terlalu sensitif.
"Jika ia mampu memesongkan akidah penganut agama lain kerana nyanyiannya dalam Bahasa Melayu, keadaan tetap akan sama jika lagu tersebut dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris kerana masyarakat negara ini tetap faham akan maksudnya.
"Mungkin pihak Perkasa ada perjuangannya yang tersendiri, cuma saya harap isu ini tidak perlu diperbesarkan kerana di Malaysia, kita mempunyai pelbagai kaum serta agama. Semua pihak bebas untuk menunaikan tanggungjawab terhadap agama yang dianuti," katanya.
Norman juga berharap isu yang remeh seperti itu tidak perlu dikontroversikan kerana ia mampu memecah belah kaum di negara ini selain banyak lagi perkara lain yang boleh dibangkitkan.
(Dipetik daripada artikel mStar Online penulisan Fediri Hikmet Atak bertarikh 20 Oktober 2012)
(Dipetik daripada artikel mStar Online penulisan Fediri Hikmet Atak bertarikh 20 Oktober 2012)