Nama Jaclyn Victor tiba-tiba sahaja panas apabila beliau dikatakan menghina agama lain (Islam) kerana menyanyikan lagu Harapan Bangsa. Ini kerana klip video lagu Harapan Bangsa nyanyian Jaclyn Victor yang ditayang di laman YouTube – dipercayai sejak Januari lalu dikatakan berunsurkan keagamaan yang boleh menimbulkan salah faham kepada agama lain.
Lirik lagu berkonsep ketuhanan agama Kristian dengan lirik Bahasa Malaysia itu mencetuskan kontroversi sehingga ada pihak mendesak klip video dan lagu berkenaan diboikot. Namun jelas Jac, “sebagai seorang warga Malaysia dan mempunyai ramai kawan beragama Islam, saya masih mempunyai perasaan hormat terhadap agama mereka. Saya cukup menghormati kepercayaan dan amalan mereka.”
Puncanya, lirik lagu dan visual klip video itu didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam. Ada pihak khuatir rakaman klip video dan lagu itu boleh disalah erti hingga boleh memesong pegangan penganut agama lain terhadap agama Kristian. Selain itu, ada pihak menganggap tindakan Jaclyn atau lebih akrab disapa Jac menyanyikan lagu itu sebagai tidak peka dengan peminatnya yang kebanyakannya beragama Islam.
Sambil mengakui terkejut dengan isu dicetuskan itu, pemilik nama penuh Jaclyn Joshua Thanaraj Victor ini tertanya-tanya di mana salahnya lagu itu sehingga ramai pihak mempertikai dan melihat perkara itu sebagai kesalahan besar.
Lagu itu bukan untuk pasaran komersial
Tegas Jac, sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebebasan agama, isu lagu Harapan Bangsa tidak perlu dipertikaikan. Akui penyanyi bersuara lantang ini, dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang penganut Kristian dengan menyanyikan lagu berkenaan.
Jaclyn Victor, Juara Malaysian Idol 2004 terkenal dengan lagu "Gemilang" |
“Lagu itu saya rakam sekitar 2007 khusus untuk penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak serta pihak gereja. Ia dicipta oleh seorang paderi dengan mesej keamanan Malaysia. Sebagai seorang penganut Kristian, rasanya tidak salah jika saya yang beragama Kristian menyanyikan lagu itu. Lagipun, ia bukan untuk tujuan komersial. Jadi mengapa perlu mempertikaikan lagu yang sudah lama dirakamkan itu?” soalnya yang cukup popular menerusi lagu Gemilang ini.
Bagi Jac, andai lagu itu diboikot atas alasan disampaikan dalam Bahasa Malaysia, ia tidak sepatutnya berlaku.
“Saya sedar, mungkin disebabkan lagu itu dinyanyikan dalam bahasa Melayu membuatkan ramai yang melihat perkara ini sebagai tidak sensitif dan menganggap saya cuba menyebarkan fahaman Kristian. Saya menyanyi dalam bahasa Melayu kerana kebanyakan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak bertutur dalam Bahasa Melayu. Kenapa perlu ada perasaan sebegitu? Sebagai seorang warga Malaysia dan mempunyai ramai kawan-kawan yang beragama Islam, saya masih mempunyai perasaan hormat terhadap agama mereka. Saya cukup menghormati kepercayaan dan amalan mereka,” tegas penyanyi berusia 33 tahun ini.
Dengan penjelasannya itu, Jac mengharapkan ia akan menamatkan segala spekulasi dan kontroversi yang mengaitkan dirinya dan lagu itu. (Sumber BH Online)
(Dipetik daripada artikel ammboi.com bertajuk "Kontroversi Lagu Harapan Bangsa, Tiada Niat Singgung Agama Lain – Jaclyn Victor" bertarikh 18 Oktober 2012)