Borneo, pulau ketiga besar di dunia |
Tiga pemuda ini berasal daripada latar belakang yang berbeza dan juga denominasi yang berbeza, namun begitu ketiga anak muda ini memiliki tujuan yang sama - untuk melayani Tuhan di mana sahaja yang dikehendaki oleh Tuhan. Tahunnya ialah 1928 dan tempat panggilan mereka ialah Borneo.
(Berikut ini ialah kisah tiga anak muda yang terpanggil untuk membawa Injil ke Borneo seperti yang diceritakan oleh Shirley Lees dalam buku "Drunk before Dawn," yang telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Evelyn Tan Hwee Yong dalam buku "Mabuk Sebelum Fajar Menyinsing")
Dari kiri: Frank Davidson, Carey Tolley dan Hudson Southwell |
Mereka berasal daripada latar belakang dan denominasi (aliran gereja) yang berbeza. Seorang daripada mereka berasal daripada England dan yang kedua lagi ialah rakyat Australia namun mereka bertekad sama-sama melayani Tuhan di mana saja Tuhan telah memanggil mereka.
Mereka belajar di Maktab Alkitab Melbourne, Australia, di mana mereka telah mendapat gerakan Tuhan dalam hati yang semakin jelas bahawa Tuhan telah memanggil mereka untuk mengkhabarkan Injil kepada bangsa-bangsa yang belum dijangkau di Borneo....
HUDSON SOUTHWELL
Sebelumpun dia dilahirkan, ibubapanya telah menyerahkan Hudson Southwell kepada Tuhan untuk pelayanan-Nya. Nama yang diberikan kepada Hudson juga mengikuti nama mubaligh terkenal ke China, Hudson Taylor.
Hudson Southwell berkelulusan dalam bidang Sains dari Universiti Melbourne. Sewaktu muda sebelum dia menjadi Kristian, dia bercita-cita mengembara ke Kutub Utara, pergunungan Himalaya, Tibet dan tempat-tempat terpencil. Sewaktu dia berumur 17 tahun, dia telah menyerahkan dirinya kepada Tuhan, lalu menunggu sama ada Tuhan ingin menggunakan dirinya yang suka mengembara.
Apabila dia berusia 26 tahun, dia menuntut di Maktab Alkitab Melbourne di mana dia telah bertemu Frank Davidson dan Carey Tolley.
FRANK DAVIDSON
Frank Davidson telah dilahirkan di England dan merupakan anak kedua kepada pengarah urusan syarikat penerbitan Morgan dan Scott. Keluarganya telah berpindah ke Australia ketika Frank masih berusia 16 tahun. Orangnya tinggi dan cergas, sangat sesuai untuk pekerjaan penginjilan baru. Dia telah mendapat pendidikan di England dan menganggap dirinya orang Inggeris, mengekalkan ketertiban seorang Inggeris yang berpendidikan, berbeza dengan gaya yang bersahaja orang Australia.
Seperti Hudson, Frank memiliki minat yang luas dalam pelbagai bidang Dia juga berbakat melayani pemuda-pemudi. Sewaktu di Maktab Alkitab Melbourne, dia sering meluangkan masa cutinya melakukan penginjilan di Gippsland Timur, daerah Victoria. Dia mempunyai adik perempuan bernama Winsome yang kemudiannya berkahwin dengan Hudson.
CAREY TOLLEY
Carey Tolley berasal dari Australia. Berbeza dengan Hudson dan Frank yang sangat peramah dan suka mengutarakan pendapat, Carey seorang yang lebih pendiam dan pemalu. Isterinya, Florence pernah berkata, "Carey bagai pemuda yang janggal di tengah-tengah tiga sekawan ini dalam beberapa aspek." Namun begitu, tanpa disangka, Carey telah menjadi pelopor penginjilan yang tidak kurang hebatnya dan pengembara yang paling giat di antara tiga sekawan yang bersemangat waja dan berkomitmen tinggi ini.
Pengetua Maktab Alkitab Melbourne, C.H. Nash telah menggambarkan Carey sebagai seorang yang selalu berdoa. Carey telah membina pondok kecil lebih kurang 20 ela daripada rumah penginjil di mana mereka bertiga tinggal, supaya dia boleh bersenyap di sana dan berdoa, terutamanya bagi suku-suku bangsa yang ditemuinya dalam perjalanannya dan pelayanannya.
Berdiri dari kiri: Frank Davidson, Carey Tolley dan Hudson Southwell Duduk: George Aitken yang menyertai pelayanan BEM pada 1931 |
PERTUBUHAN MISI BARU
Oleh kerana mereka tidak mendapat sokongan daripada pertubuhan misi yang lain, akhirnya mereka mengambil keputusan menubuhkan Pertubuhan Misi yang baru. Pertubuhan Misi yang baru itu benar-benar bersifat antara denominasi kerana Hudson berlatar belakang gereja Baptis, Carey pula berasal daripada gereja Brethren, dan Frank daripada gereja Anglikan.
Selepas beberapa kali perjumpaan di kalangan orang-orang yang berminat menyertai dalam pembentukan pertubuhan baru itu, ahli-ahli majlis telah dilantik daripada pelbagai denominasi dan nama Borneo Evangelical Mission telah dipersetujui bersama pada 31 Ogos 1928. Mesyuarat agung yang pertama telah diadakan pada hari berikutnya, 1 September di mana draf perlembagaan telah disediakan dan diterima. Keputusan mesyuarat itu kemudian telah disahkan pada mesyuarat Majlis yang berikutnya.
Dengan itu Borneo Evangelical Mission telah dibentuk. Ketiga-tiga pemuda itu kemudiannya telah belayar dari Melbourne pada 5 Oktober 1928 dengan seorang pedagang bernama Henderson yang memiliki pengalaman berdagang selama tujuh tahun di Borneo dan faham bahasa tempatan.
Buku "Mabuk Sebelum Fajar Menyinsing" |
Mereka pertamanya sampai di Singpura, kemudiannya di Kuching dan akhirnya di Limbang pada 29 November 1928. Pelayanan Borneo Evangelical Mission (BEM) telah bermula - dipelopori oleh tiga pemuda yang menuruti panggilan Tuhan bagi mereka untuk memberitakan Injil kepada bangsa-bangsa di Borneo.
Itulah asal-usul Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) yang kini merupakan denominasi yang kedua besar di Malaysia selepas Gereja Katolik, dengan jumlah keahlian 300,000 orang di Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung Malaysia.
(Cerita selanjutnya pelayanan tiga pemuda ini dan mubaligh-mubaligh BEM yang lain boleh dibaca dari buku "Mabuk Sebelum Fajar Menyinsing" terjemahan oleh Evelyn Tan Hwee Yong)