Selasa, 26 Februari 2013

Juara Tinju Manny Pacquiao Menemukan Tuhan Dalam Hidupnya

Juara Tinju, Manny Pacquiao

Manny Pacquiao
MANILA, Filipina - Jaguh tinju Filipina Manny "Pac-Man" Pacquiao kini memberitahu dunia siapa jaguh sebenar di dalam hidupnya: Tuhan.

The Boxing Writers Association of America telah menamakan Pacquiao "Peninju Dekad Ini." Dalam karirnya sepanjang 17 tahun, dia telah meninju sehingga ke puncak, menjadi orang pertama digelar juara dunia dalam lapan kategori berat tinju.

Meskipun begitu, kemasyhuran dan kejayaan tidak datang dengan mudah untuk peninju bergelar "Pac-Man" itu.

Ibubapanya telah berpisah sewaktu dia masih di sekolah rendah. Kemiskinan yang teruk sekali telah memaksanya untuk meninggalkan kampung halaman untuk mencari pekerjaan di Manila pada usia 13 tahun untuk menyara keluarganya.

Untuk suatu ketika, Pacquiao tinggal di jalanan. Dia menjual bunga dan bekerja di tapak binaan semata-mata untuk cukup makan.

Hidupnya yang susah berubah secara dramatik, apabila pada usia 16 tahun, dia mendapat tempat dalam pasukan tinju amatur kebangsaan Filipina.

Manny Pacquiao juara dalam gelanggang tinju
Kejatuhan Besar

Dunia dengan pantas menyaksikan Pacquiao menewaskan setiap lawannya dalam gelanggang tinju. Tetapi sementara karir tinjunya semakin meningkat, dia tersungkur kepada godaan-godaan yang melandanya bertubi-tubi.

"Aku pergi ke gereja pada hari Ahad, tetapi dari Isnin hingga ke Sabtu, aku ada di bar minum minuman keras," dia mengingat kembali. "Aku berjudi. Kata-kata yang tidak cermat diucapkan dari mulutku. Aku berzinah. Aku tidak peduli."

Pacquiao berkata dia merasa bersalah akan dosa-dosanya apabila dia mula membaca Firman Tuhan. Dia juga mengingati pernah mendengar suara Tuhan dalam sebuah mimpi beberapa tahun sebelumnya.

Manny Pacquiao dalam perlawanan yang sengit

"Aku masih ingat malam itu aku menerima surat daripada ibuku mengatakan bahawa adik perempuanku telah berhenti sekolah kerana aku tidak mengirim wang kepada mereka," katanya.

"Dan aku menangis, menyalahkan diri kerana menghabiskan semua wangku untuk alkohol," katanya.

"Pada malam itu aku mendengar suara Tuhan dalam mimpiku. Suaranya sepuluh kali lebih kuat dari guntur dan Dia berkata kepadaku, "Anakku, anakku, kenapa engkau mengikut jalan yang salah?" sambung Pacquiao.

Dia kata dia terlupa mengenai mimpi itu sehingga dia membaca dalam Alkitab bagaimana Tuhan berbicara kepada manusia melalui mimpi.

"Jadi aku sedar, wah! Mimpiku itu benar," kata Pacquiao.


Manny Pacquiao bergambar dengan kejuaraan-kejuaraan
dunianya di samping jurulatihnya, Freddie Roach

Jaguh untuk Kristus

Dari situ, Pacquiao memulakan satu perhubungan peribadi yang dekat dengan Yesus Kristus.

Kini dia mempelajari Alkitab setiap hari, menghafalkan ayat-ayat Alkitab sebab dia percaya bahawa Firman Tuhan adalah senjatanya melawan godaan.

"Manny Pacquiao yang lama sudah berlalu. Manny Pacquiao yang baru sudah datang," katanya. "Aku memiliki Firman Tuhan dalam hatiku. Aku mahu mentaati Firman-Nya."

Pacquiao kata bahawa dia percaya Yesus akan segera datang. Dia kata bahawa dia mengambil setiap kesempatan untuk menyebarkan Injil sebab dia percaya bahawa Tuhan memakainya dan juga ahli sukan terkenal yang lain, seperti Tim Tebow dan Jeremy Lin, untuk menarik orang kepada Tuhan.

"Inilah masa yang tepat untuk menyebarkan Firman-Nya. Ramai orang yang menjadikan kami sebagai idola. Apapun yang keluar daripada mulut kami, mereka akan mendengar, mereka akan percaya," kata Pacquiao.


Pacquiao bersama pastornya, Jeric Soriano

Pastor Jeric Soriano adalah mentor rohani Pacquiao.

"Mereka ini - Tim Tebow, Jeremy Lin, Manny Pacquiao - mereka adalah papan tanda Tuhan untuk dilihat oleh dunia," kata Soriano.

"Tuhan ingin kita tahu bahawa kehidupan orang-orang ini telah disentuh oleh kerajaan Tuhan untuk kebaikan, untuk yang lebih baik," dia meneruskan. "Bagaimana dengan dirimu? Anda suka dengan apa yang sedang terjadi dalam hidup mereka. Mereka memuliakan Tuhan dalam apa yang mereka lakukan. Baik sekali, tetapi bagaimana dengan dirimu?"

"Aku benar-benar percaya kita di hari-hari terakhir dan Tuhan menggunakan semua jaguh-jaguh dunia ini untuk menjangkau mereka yang tersesat," kata Soriano.

Hidup Yang Bererti

Pacquiao mungkin akan bersara dari sukan tinju tidak lama lagi.

"Aku ok sebab aku rasa puas hati," katanya mengenai berakhirnya karirnya. "Aku bahagia saat ini membaca Firman-Nya dan merenungkannya siang dan malam."

Manny Pacquiao menggunakan
setiap kesempatan untuk
mengkhabarkan Injil
ke manapun dia pergi
Pacquiao merasakan bahawa ini akan menolongnya menang dalam perlawanan muktamad hidupnya: mengatasi kejahatan dan memuliakan Tuhan dalam hidupnya.

"Dalam Matius 10:22, ianya mengatakan, 'Kamu akan dibenci semua orang oleh kerana nama-Ku, tetapi orang yang bertahan sampai pada kesudahannya akan selamat.'" kata Pacquiao.

"Apabila anda menerima Yesus Kristus ke dalam hidupmu sebagai Tuhan dan Juruselamat, anda akan memiliki hidup yang kekal," tambahnya. "Dan anda mentaati. Anda mentaati perintah-perintah-Nya."




(Diterjemah daripada artikel CBN bertajuk "Boxing Champ 'Pac-Man' Pacquiao a Fighter for the Faith" bertarikh 28 Disember 2012 yang ditulis oleh Lucille Talusan)


3 ulasan:

  1. wow.. sangat memberkati ! terima kasih buat post ini!

    BalasPadam
  2. Fight a good fight friend.

    BalasPadam