Khamis, 19 Jun 2014

Rujuk Isu Rampasan Bible Kepada Pendakwa Raya, Titah Sultan Selangor



Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dititahkan Sultan Selangor supaya merujuk isu Bible yang dirampas dengan pihak pendakwa raya.

Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda bertitah supaya kemelut melibatkan Bible yang dirampas daripada Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) itu diselesaikan menerusi proses mahkamah.

"Jais perlu segera merujuk perkara ini kepada pihak pendakwa raya untuk tujuan rujukan di mahkamah.

"Tindakan ini perlu dilakukan demi menjaga kedaulatan undang-undang dan sensitiviti kedua-dua belah pihak yang terlibat," kata Mohamad Munir dalam kenyataannya.

Mohamad Munir juga berkata baginda mahu pertikaian sama ada memulangkan atau untuk melupuskan barang kes boleh diputuskan di mahkamah.

"Prosedur undang-undang menetapkan pelupusan barang kes yang dirampas semasa serbuan dan siasatan boleh dirujuk oleh pihak pendakwa raya kepada mahkamah bagi mendapatkan satu perintah sama ada perintah pelupusan atau perintah pemulangan," kata kenyataan itu lagi.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di istana bagi mengemukakan cadangan pemulangan semula Bible kepada PBM.

Bagaimanapun, Khalid selepas pertemuan berkata keputusan penuh akan diketahui pada Isnin depan.

Minggu lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Jais tersalah langkah dalam rampasan kira-kira Bible berbahasa Melayu dan Iban di pejabat PBM dan mengatakan kes tersebut ditutup.

Bagaimanapun, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menolak keputusan tersebut dan berkeras untuk tidak memulangkan Bible itu. - 19 Jun, 2014.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Rujuk Isu Rampasan Bible Kepada Pendakwa Raya, Titah Sultan Selangor" penulisan Md Izwan bertarikh 19 Jun 2014)