Isnin, 23 Jun 2014

Larangan Guna "Allah" Kekal, Perjuangan Gereja Katolik Tamat

Father Lawrence Andrew, pengarang mingguan "Herald" dikelilingi oleh wartawan
selepas keputusan Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini

Perjuangan Gereja Katolik Malaysia untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mingguan mereka, Herald, tamat hari ini selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan mereka mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap larangan itu.

Empat daripada tujuh panel hakim menolak permohonan gereja itu untuk merayu, dengan memetik Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang tepat untuk melarang penggunaan itu dalam terbitan mingguan Katolik berkenaan.


Empat hakim Mahkamah Persekutuan
telah membuat keputusan menolak
permohonan Gereja Katolik untuk
merayu kes penggunaan kalimah
Allah di Mahkamah Persekutuan
Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel tujuh hakim itu berkata, Presiden Mahkamah Rayuan Md Raus Sharif, Ketua Hakim Malaya Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi Halim Omar berkongsi pendapat yang sama.

Pemerhati berkata, keputusan itu membawa kesan lebih besar terhadap kebebasan beragama, walaupun Putrajaya memberi jaminan keputusan itu hanya membabitkan Herald.

Perkataan Allah digunakan secara meluas oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak dan gereja mendakwa larangan penggunaannya di dalam Herald adalah tindakan mencemar kebebasan beragama.

Di luar Istana Keadilan, Putrajaya, kedengaran laungan ‘Allahuakbar’ dan ‘Takbir, Allah’ daripada kumpulan Islam yang berkumpul ketika keputusan mahkamah dibacakan.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Larangan Guna 'Allah' Kekal, Perjuangan Gereja Katolik Tamat" penulisan V. Anbalagan bertarikh 23 Jun 2014, disertai gambar-gambar dari laman Malaysiakini)