Father Lawrence Andrew dikerumuni wartawan di Istana Kehakiman |
Gereja Katolik kecewa apabila
empat hakim menolak permohonan mereka untuk menggunakan kalimah Allah dalam
akhbar mingguan mereka, Herald.
"Empat hakim tersebut yang
tidak membenarkan permohonan kami telah bercakap tentang perkara yang tidak menyentuh
mengenai hak asasi kumpulan minoriti," kata Ketua Pengarang Herald, Father
Lawrance Andrew hari ini, di luar mahkamah.
Beliau berkata, peguam gereja
akan mempertimbangkan untuk menyemak semula keputusan tersebut.
Hari ini Mahkamah Persekutuan
menolak permohonan rayuan gereja bagi membatalkan pengharaman penggunaan
kalimah Allah.
Empat daripada tujuh hakim
menolak rayuan permohonan gereja dengan menyatakan Mahkamah Rayuan benar dengan
keputusannya mengharamkan perkataan kalimah Allah dalam terbitan mingguan
Katolik, The Herald.
Ketua Hakim Negara Tun Ariffin
Zakaria mengetuai tujuh hakim lain berkata Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md
Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin dan Hakim
Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar bersetuju agar rayuan tidak dibenarkan.
Tiga hakim lain, Ketua Hakim
Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk
Zainun Ali dan Tan Sri Jefrrey Tan Kok Hwa pula mengatakan rayuan sepatutnya
dibenarkan.
Salah seorang peguam gereja, S.
Selvarajah berkata meskipun semakan Mahkamah Persekutuan amat jarang dilakukan,
namun tindakan itu bakal dipertimbangkan gereja.
"Terdapat peruntukkan untuk
penilaian semula tapi amat jarang dilakukan, kita akan pertimbangkannya,"
katanya kepada pemberita di luar mahkamah.
Mengulas mengenai keputusan itu,
Selvarajah berkata peguam gereja percaya terdapat kelemahan dalam pertimbangan
empat hakim yang tidak memihak kepada gereja.
"Tiga penghakiman yang
menentang pada pandangan kami berada dalam kedudukan betul mengikut perundangan.
Kami percaya terdapat kelemahan dalam pertimbangan empat hakim di mana kami
akan kaji semula dan memutuskan tindakan seterusnya," katanya.
Pada masa sama Andrew menyelar
empat hakim kerana mengulangi apa yang dikatakan di Mahkamah Rayuan.
"Tetapi terdapat tiga hakim
berkata dengan jelas mengenai maruah individu, hak dalam minoriti dan
mengangkat Perlembagaan Persekutuan," katanya merujuk kepada tiga hakim
yang memihak kepada gereja.
"Dengan menegakkan dasar
itu, mereka amat dinamik, jelas dan berani ketika melalui kesemua prosedur dan
rayuan mahkamah di mana terdapat kesalahan dan kelemahan sepertimana yang ia
dibangkitkan," katanya.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Gereja Katolik Kecewa Mahkamah Tolak Rayuan Kalimah Allah" penulisan Elizabeth Zachariah bertarikh 23 Jun 2014)