Rabu, 24 Jun 2015

Sekolah Misi Diberi Tekanan Agar Tidak Meletakkan Salib Di Bangunan

Daniel John Jambun, Presiden Yayasan Bopim

KOTA KINABALU: Presiden Yayasan Borneo's Plight In Malaysia (Bopim) yang berpusat di UK, Daniel John Jambun berkata bahawa dia telah mengesahkan kesahihan mesej WhatsApp yang telah diedarkan di media sosial. "Ianya berita yang telah disahkan," katanya.

Mesej WhatsApp itu berbunyi, "Tolong doakan sekolah misi kami St Mary Labuk supaya pengetua dan lembaga sekolah akan berpendirian teguh. Mereka telah menerima tekanan daripada guru-guru dan ibu bapa Muslim yang telah meminta mereka untuk tidak meletakkan salib di bangunan baru sekolah."

Satu lagi mesej menyatakan: "Mereka akan bermesyuarat petang ini - lembaga sekolah ibu bapa dan guru - tolong doakan."

Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong telah disebut sebagai mengatakan kepada media bahawa dia akan melawat sekolah itu pada petang Rabu. Dia menambah bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru telah bermesyuarat pada petang Selasa berkenaan isu itu, tetapi tiada persetujuan dicapai. 

Satu sumber daripada Jabatan Pendidikan Negeri berkata pihak Jabatan telah dimaklumkan mengenai masalah itu dan telah meminta laporan penuh daripada pihak sekolah. 

St Mary pada waktu ini dikendalikan oleh Franciscan Sisters. Ianya pada asalnya ditubuhkan pada 1959 sebagai SK Our Lady of Fatimah dan seterusnya dinamakan St Cecilia oleh Franciscans Sisters sewaktu mereka mengambil alih.

Sekolah itu kemudiannya dipisah kepada dua dengan pelajar-pelajar lelaki berpindah ke St Mary Labuk sementara yang perempuan terus tinggal di St Cecilia. 

(Diterjemah daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk "Mission School Pressured To Remove Cross From Building" penulisan Joe Fernandez bertarikh 24 Jun 2015)