Sabtu, 23 Januari 2016

Hadi Tiada Kredibiliti, Kata Pemimpin Gereja Sarawak

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Biskop Gereja Anglican Kuching di Sarawak hari ini turut menyertai kekecohan yang timbul berikutan kenyataan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap mubaligh Kristian di Sarawak dan Sabah.

Biskop Datuk Bolly Lapok
Datuk Bolly Lapok, yang juga ketua biskop Gereja Anglican di Asia Tenggara berkata, presiden parti Islam itu seorang yang "loose cannon" (seorang yang tidak dapat dijangka dan mungkin menimbulkan masalah)" dan “no substance" (tiada kredibiliti).

Beliau juga katanya, tidak berhak bercakap mengenai penganut Kristian dan pribumi Sarawak, kaum Dayak, dalam cara yang menghina.

"Dengan rasa hormat kepada beliau sebagai seorang pemimpin politik, Hadi (perlu) meletakkan semua kata-kata kutukan beliau dalam bakul dan membuangnya ke dalam sungai kami di Sarawak.

"Beliau sengaja menimbulkan masalah," kata Bolly berhubung kenyataan Hadi baru-baru ini yang mubaligh Kristian menyebarkan ajaran mereka di Afrika, Sabah dan Sarawak selepas ditolak di Barat.

Kenyataan Hadi diterbitkan dalam lidah rasmi PAS, Harakah.

"Saya tidak tahu apa jenis buku yang beliau baca, apa sumber yang diambilnya atau atas dasar apa beliau membuat pemerhatian begitu.

"Beliau seorang yang tiada kredibiliti dan tidak berhak bercakap mengenai Kristian atau masyarakat Dayak di Sarawak," kata Bolly dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insider.

Hadi sebelum ini berkata: "Kristian sudah tidak laku di negara di mana tahap pendidikan tinggi seperti Jerman, Perancis, Britain dan negara Eropah lain. Mereka juga membawa ajaran itu ke kawasan pedalaman negara kita seperti Sabah dan Sarawak."

Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia itu juga mendakwa, mubaligh Kristian menggunakan cara tidak bermoral untuk menyebarkan kepercayaan mereka, seperti memberi wang dan insentif lain.

Bolly hari ini membidas kenyataan itu dan berkata, sejarah Sarawak menunjukkan penganut Kristian di negeri ini, yang majoritinya adalah Dayak, tidak akan bersetuju mereka dieksploitasi.

"Manusia tidak sempurna, tetapi menidakkan semua gerakan mubaligh dengan anggapan ia ditolak di Eropah adalah sombong dan berniat tidak baik," kata Bolly.

Kristian direkodkan datang ke Sarawak pada 1930 melalui mubaligh.

Bolly, yang juga pengerusi Majlis Gereja-Gereja Malaysia, berkata beliau mendengar mengenai ucapan Hadi Rabu lalu apabila tiba di tanah air selepas menghadiri mesyuarat Primates of the Anglican Communion di Canterbury, England.

Pada mesyuarat itu, sarjana Anglican baru sahaja membincangkan isu kesederhanaan dan ancaman kepada tamadun yang ditimbulkan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

Beliau berkata, kerajaan negara-negara Islam juga meminta bantuan untuk melawan ancaman Isis.

"Kita diseru supaya berjuang bersama menentang perkara yang salah. Mengecewakan apabila tiba di tanah air, ini yang saya dengar," kata Bolly.

Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sarawak Mohamad Fidzuan Zaidi menyifatkan kenyataan Hadi terhadap mubaligh Kristian sebagai sangat tidak sensitif.

Bekas pengarah Pilihan Raya PAS Sarawak itu berkata, kritikan tidak berasas itu tidak sepatutnya dikeluarkan dalam negara berbilang kaum dan agama.

"Amanah Sarawak menolak sebarang usaha memperkecilkan agama lain," katanya.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Hadi Tiada Kredibiliti, Kata Pemimpin Gereja Sarawak" penulisan Nancy Nais dan Ng Ai Fern bertarikh 22 Januari 2016)