Sabtu, 23 Januari 2016

Nelson Selar Dakwaan PAS Mubaligh Guna Wang, Kebajikan Sebar Kristian

Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

Datuk Nelson Balang Rining, Timbalan
Presiden, Parti  Demokratik Progresif
Sarawak (SPDP)
MIRI: Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Nelson Balang Rining semalam menyelar dakwaan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa mubaligh Kristian mengguna wang dan projek kebajikan untuk memikat masyarakat Sarawak dan Sabah untuk memeluk agama Kristian.

Kenyataan dakwaan terbabit dibuat Hadi yang dikeluar dalam akhbar Harakah Daily milik PAS, baru-baru ini.

“Hadi menyindir bahawa masyarakat Sarawak (dan Sabah) menawarkan umpan memeluk agama Kristian.

“Sebagai timbalan presiden SPDP dan beragama Kristian serta rakyat Sarawak, dakwaan Hadi ini sama sekali tidak benar dan berniat jahat.

“Agama Kristian bukan tertarik kepada wang atau dipikat dengan wang. Kami menjadi Kristian bukan kerana wang.

“Nenek moyang kami beragama Kristian dulu pun kerana cintakan Tuhan dan percaya terhadap ajaran Yesus Kristus sebagai Juruselamat untuk menjadi Kristian,” tegasnya.

Katanya mubaligh Kristian yang awal datang ke sini adalah dengan niat untuk menyebarkan berita baik Injil.

“Mereka datang ke negeri ini hanya berbekalkan Alkitab (Bible) dan kasih sayang dalam hati serta jiwa mereka. Mereka boleh lakukan perkara tersebut tanpa sumber kewangan.

“Mereka ke sini dan mendirikan gereja dengan persetujuan penduduk tempatan yang memberikan kebenaran untuk menggunakan tanah adat mereka bagi membina gereja,” katanya.

Jelas Nelson, mubaligh Kristian berkenaan meminta bantuan kewangan dan logistik daripada penduduk tempatan dan syarikat tempatan seperti syarikat pembalakan.

Katanya mubaligh Kristian terbabit turut mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Sarawak.

Mengulas lanjut, beliau berkata dari zaman Rajah Brooke kepada Ketua Menteri termasuk Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, mubaligh Kristian telah mendapat kerjasama dan sokongan daripada pihak berkuasa Sarawak dan parti politik di Sarawak.

Katanya kerajaan negeri turut memberikan tanah bagi membina gereja dan sekolah mubaligh dan ia adalah antara sebab agama Kristian berkembang.

Menurutnya, kerajaan Sarawak membenarkan masyarakat Kristian menyebarkan agama Kristian dan berkembang kerana kebaikan agama Kristian.

“Para mubaligh Kristian bukan sahaja menyebarkan kasih sayang dan menjaga golongan miskin, tetapi mereka turut menubuhkan sekolah, klinik dan membantu memberi pendidikan teknikal dalam pertanian dan kemahiran vokasional.

“Oleh itu, saya mengutuk sekeras-kerasnya dakwaan Hadi Awang dan menuntut beliau meminta maaf dan menarik kenyataan tersebut,” tambahnya.

(Diambil daripada artikel The Borneo Post bertajuk, "Nelson Selar Dakwaan PAS Mubaligh Guna Wang, Kebajikan Sebar Kristian" bertarikh 22 Januari 2016)