Selasa, 22 Mac 2016

Biskop Merayu Campur Tangan Sultan Dalam Kes Permohonan Cuti Untuk Guru-Guru Kristian Sempena Easter

Gambar fail Biskop Bernard Paul berjabat tangan dengan Sultan Ibrahim dalam suatu majlis

JOHOR BARU: Satu catitan Facebook oleh seorang biskop, yang merayu kepada Sultan Johor untuk mengambil perhatian atas kes guru-guru Kristian yang telah ditolak permohonan cuti mereka untuk Easter (Hari Kebangkitan Yesus) pada Ahad ini, telah menjadi viral di media sosial. 

Biskop Diosis Melaka-Johor Bernard Paul telah berkongsi di laman Facebook Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, memohon campur tangan Baginda untuk mengingatkan pihak berkuasa pendidikan mengenai hak guru-guru untuk memohon cuti untuk perayaan-perayaan keagamaan seperti itu. 

Easter menandakan kebangkitan Yesus Kristus dari maut. 

Biskop Bernard menulis: "Tuanku, patik ingin membawa kepada perhatian Tuanku mengenai beberapa kejadian yang menafikan hak kebebasan beribadah dan beragama di Johor.

"Guru-guru Katolik dan Kristian telah ditolak permohonan cuti mereka oleh guru-guru besar untuk Hari Easter Ahad ini."

Biskop Bernard menjelaskan bahawa Easter adalah teras kepada kepercayaan Kristian: "Patik bersama umat patik hanya mempunyai suatu keinginan iaitu untuk campur tangan Tuanku yang murah hati untuk mengingatkan pihak berkuasa pendidikan agar menghormati peruntukan-peruntukan yang sedia ada untuk permohonan cuti khas perayaan."

Foto catitan itu, yang hanya dapat dibaca oleh pengguna-pengguna di bawah senarai kawan-kawannya, telah tersebar di Facebook dan WhatsApp.

Ramai orang yang memuji Biskop Bernard kerana bersuara untuk guru-guru itu.

Bagaimanapun, Biskop Bernard enggan untuk mengatakan jumlah guru-guru yang terbabit. Dia hanya mengatakan bahawa dia telah dinasihatkan untuk memuatkan catitan itu untuk mengetengahkan kebimbangannya. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Informasi, Kemajuan Keusahawanan dan Koperasi Johor, Md Jais Sarday berkata dia sedang mengambil perhatian perkara itu dan bahawa akan ada perbincangan dengan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan dengan segera. 

"Setakat ini, tiga sekolah termasuk sebuah sekolah rendah Convent, sebuah sekolah menengah Convent dan sebuah sekolah aliran Bahasa Cina telah memohon agar Hari Easter Ahad diisytiharkan sebagai cuti. 

"Saya akan berbincang dengan pihak jabatan dan mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu dengan segera, termasuk perkara mengenai permohonan-permohonan cuti daripada guru-guru Kristian ini," dia berkata semalam.

(Diterjemahkan daripada artikel The Star Online bertajuk "Bishop Wants Sultan To Intervene On Easter Leave Issue" penulisan Kathleen Ann Kili bertarikh 22 Mac 2016)