Jumaat, 25 Mac 2016

Mahkamah: Orang Sarawak Yang Dijadikan Muslim Sewaktu Kecil Ada Hak Jadi Kristian

Mahkamah Tinggi Kuching

KUCHING: Seorang lelaki Bidayuh dari Sarawak yang telah ditukarkan agama ke Islam sewaktu kanak-kanak telah mendapat pengisytiharan bahawa dia adalah Kristian oleh Mahkamah Tinggi di sini. 

Dalam keputusannya berkenaan semakan kehakiman yang telah dipohon oleh Azmi Mohamad Azam @ Roneey, hakim Datuk Yew Jen Kie berkata ini adalah menurut hak berperlembagaan si pemohon untuk kebebasan beragama oleh kerana dia sudah dewasa sekarang. 

Dia juga mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar nama lelaki itu ke Roneey Rebit dan agamanya dari Islam ke Kristian pada kad pengenalannya. 

Dalam permohonannya, Roneey telah memohon untuk pengisytiharan bahawa dia adalah Kristian, untuk surat perlepasan dari Islam daripada Jabatan Agama Islam Sarawak dan Majlis Islam Sarawak, dan untuk perintah mahkamah agar JPN menukar nama dan agamanya pada kad pengenalannya dan dalam rekod JPN. 

Pihak berkuasa agama negeri tidak membantah untuk mengeluarkan surat itu tetapi JPN menegaskan perlunya ada surat perlepasan dan perintah daripada Mahkamah Syariah. 

"Dia tidak perlukan perintah daripada Mahkamah Syariah untuk melepaskannya daripada Islam oleh kerana kebebasan beragama adalah hak berperlembagaannya dan hanya dia sendiri dapat menjalankan hak itu," hakim itu berkata pada hari Khamis. 

Yew telah mengambil perhatian bahawa Roneey telah dilahirkan dalam keluarga Bidayuh Kristian pada 1975 tetapi ibu bapanya telah menukar agama ke Islam apabila dia berusia lapan tahun. 

Penukaran agamanya ke Islam bukan oleh kemahuan dirinya tetapi disebabkan oleh penukaran agama ibu bapanya sewaktu dia masih dalam usia di bawah umur. 

"Dia tidak mencabar kesahihan penukaran agamanya sewaktu dia berusia di bawah umur. Tetapi setelah mencapai kedewasaan, dia bebas untuk menjalankan haknya untuk kebebasan beragama dan dia memilih agama Kristian," katanya, dengan menambah bahawa Roneey tidak pernah mengaku Islam sebagai agamanya pada bila-bila waktu. 

Dengan itu, hakim itu berkata bahawa oleh kerana dia sekarang sudah dewasa, dia bebas bukan saja untuk menjalankan haknya untuk kebebasan beragama tetapi juga untuk mendapatkan pengisytiharan daripada mahkamah sivil."

"JPN telah bertindak tidak adil kepada pemohon dengan menegaskan perlunya ada surat perlepasan dan perintah daripada Mahkamah Syariah," katanya. 

Roneey tidak hadir di mahkamah kerana dia sedang bekerja di luar negeri. 

Peguamnya, Chua Kuan Ching menyambut baik keputusan itu dan berharap bahawa JPN tidak akan merayu kes itu.

"Dalam kes-kes penukaran agama sebelum ini yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur, mahkamah tidak menyatakan apa yang akan berlaku apabila kanak-kanak itu mencapai kedewasaan.

"Jadi ini adalah keputusan yang berbeza kerana hakim mengatakan bahawa pemohon mempunyai hak kebebasan beragama menurut Perlembagaan," katanya. 

Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak (ACS) juga menerima baik keputusan itu sebagai keputusan yang melindungi hak asasi kebebasan beragama. 

"Kami berterima kasih kepada Mahkamah Tinggi Kuching kerana membuat keputusan yang adil dan saksama menurut undang-undang.

"Kami berseru kepada Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan dan menjadikan berkesan jaminan kebebasan beragama seperti yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia dan menegakkan hak berperlembagaan dan kebebasan asasi yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada semua rakyat Malaysia," ianya menyatakan dalam satu kenyataan.

(Diterjemahkan daripada artikel The Star Online bertajuk, "Court Rules Sarawak Muslim Convert Has Right To Be Christian" penulisan Sharon Ling bertarikh 24 Mac 2016)