Sabtu, 14 Mei 2016

Bagaimana Saya Bina Kebiasaan Bangun Awal, Baca Lebih Banyak Buku, Dan Belajar Satu Bahasa Dalam Setahun

(Foto: Pengguna Flicker Susanne Nilsson)

Oleh Belle Beth Cooper:

Anda akan melihat bahawa saya telah merangka tajuk artikel ini agar kedengaran mengkagumkan (sekurang-kurangnya itulah yang saya harapkan!). 

Tetapi perkara yang hebat mengenai kisah ini ialah sesiapapun boleh mengecap hasil yang mengkagumkan, dan ianya bukanlah serumit yang kita fikirkan. 

Sebenarnya, kesemua keberhasilan itu datang dari melakukan perkara kecil setiap hari untuk tempoh yang panjang. 

Saya seorang peminat "bekerja lebih pintar, bukan lebih kuat" (work smarter, not harder) dan mencari cara-cara kecil untuk menjadikan kerja saya lebih cekap. Sejak saya menjadi pengatur kandungan Buffer yang pertama lebih kurang dua tahun lalu, saya telah banyak berkesempatan menyelidiki topik-topik ini. 

Kini, saya gembira kembali lagi untuk menunjukkan anda bagaimana sebenarnya saya telah mengecap kejayaan-kejayaan ini pada 2015.

  • Dengan kebiasaan belajar bahasa Perancis untuk hanya 5 minit sehari, saya kini dapat membaca, menulis dan bertutur bahasa Perancis yang asas.
  • Dengan kebiasaan membaca hanya satu mukasurat setiap malam, saya berjaya menambah senarai buku bacaan saya sebanyak lima kali ganda dalam masa dua tahun. 

Secara asasnya, saya menggunakan kebiasaan harian yang kecil untuk membina hasil besar dalam tempoh masa panjang.

Ada empat prinsip yang saya gunakan apabila ingin membina satu kebiasaan yang baru. Melalui semua yang telah saya cuba, inilah prinsip-prinsip yang kelihatannya berkesan setiap kali.

1. PERMULAAN KECIL: MENGULANGI KEBIASAAN KECIL SETIAP HARI

Apabila saya mula mengfokus kepada membina kebiasaan-kebiasaan yang lebih sihat beberapa tahun yang lalu, salah satu kesilapan terbesar saya ialah membuat tuntutan yang terlampau besar dari diri saya. 

Saya akan bermula dari langsung tidak membaca ke cubaan membaca sebuah buku dalam seminggu. Atau dari bangun 9 pagi pada kebanyakan hari ke usaha bangkit dari katil pada pukul 6 setiap pagi.

Jarak di antara tempat permulaan saya dan ke mana saya ingin sampai adalah begitu jauh sehingga saya gagal banyak kali. Dan setiap kegagalan itu membuatkan semakin sukar untuk berjaya pada hari berikutnya.

Pada asasnya, seperti yang dijelaskan oleh James Clear, kebiasaan adalah mengenai rutin.



Dan apa yang saya benar-benar perlukan adalah kemenangan-kemenangan kecil dan kemajuan yang dapat dilihat untuk membantu saya mencipta rutin baru yang dapat saya lakukan setiap hari.

Pada akhirnya, saya menemukan idea ini untuk bermula secara kecil. Fokusnya adalah untuk mengulangi kebiasaan itu setiap hari, tanpa bimbang mengenai betapa berkesannya kebiasaan itu. Dengan kata lain, kuantiti dulu; kualiti kemudian.

Dengan bermula secara kecil, anda mengfokus untuk menjadikan tindakan itu automatik, sebelum anda memikirkan untuk menjadikan tindakan itu cukup besar untuk membawa hasil yang berfaedah.

Seperti Scott H. Young katakan, kita cenderung untuk membuat jangkaan melebihi apa yang dapat kita lakukan - terutamanya bila kita melangkah ke dalam hal yang kita tidak ketahui. Scott menyarankan agar kita merancang seolah-olah anda hanya dapat memberi komitmen 20% daripada masa dan tenaga yang anda ingin berikan, supaya lebih realistik.

Berikut ialah bagaimana saya mengapplikasikan proses "mula kecil" terhadap kebiasaan-kebiasaan saya pada 2015.

MEMBACA: SATU MUKASURAT SETIAP MALAM

Saya bermula dengan membaca hanya satu mukasurat sebuah buku pada setiap malam sebelum tidur. Seringkali saya akan membaca lebih dari itu, tetapi jika saya hanya dapat melakukan satu mukasurat, saya akan mengira itu sebagai satu kemenangan.

Kemudiannya, apabila kebiasaan itu sudah menjadi kuat, saya akan meletakkan timer jam dan membaca untuk 15 minit, dan akhirnya saya akan membaca untuk 30 minit sebelum tidur dan 30 minit lagi pada kebanyakan pagi.

Bermula dengan hanya satu mukasurat akhirnya makin menyebabkan pertambahan: pada 2013, saya membaca tujuh buku. Pada 2014, 22. Pada 2015, 33. Itu hampir lima kali apa yang saya baca pada 2013.

Saya berusaha membina kebiasaan ini selama setahun setengah. Itu mungkin kedengarannya masa yang lama, tetapi itu hanya kelihatan seperti itu bila kita mengimbas kembali.

Apabila saya sedang berusaha membina kebiasaan ini, saya hanya memikirkan apa yang saya perlu baca hari itu untuk dikira sebagai satu kemenangan. Saya selalu mengfokus kepada usaha kecil harian. Tetapi apabila saya mengimbas kembali kemajuan saya, saya mula menyedari betapa kebiasaan-kebiasaan harian itu telah berkembang menjadi pencapaian besar.

BAHASA PERANCIS: SATU PELAJARAN SETIAP PAGI

Saya pernah cuba belajar bahasa Perancis sebelum itu, tetapi saya kurang dapat bertahan untuk terus belajar. Apabila saya membuat keputusan untuk benar-benar memperbaiki bahasa Perancis saya, saya bermula dengan membina kebiasaan mempelajari satu sahaja pelajaran Duolingo sementara saya minum kopi. (Jika anda belum mencubanya, Duolingo ialah applikasi web mudah alih percuma yang membantu anda mempelajari banyak bahasa).

Satu pelajaran mengambil hanya lebih kurang lima minit, jadi ianya komitmen yang kecil, dan mudah dilakukan apabila saya sedang duduk minum kopi. Pada akhirnya, saya akan melakukan lebih daripada satu pelajaran - dua, tiga, kadang-kadang empat atau lima, jika saya betul-betul menikmatinya ketika itu.

Saya melakukan seberapa banyak yang saya suka, tetapi saya selalu melakukan sekurang-kurangnya satu.

Hanya satu pelajaran diperlukan untuk melengkapi kebiasaan itu pada hari itu, jadi ianya mudah untuk diteruskan, biarpun ketika saya tidak merasa ingin melakukan lebih daripada itu. Pada waktu ini, saya juga menggunakan Babbel (satu applikasi web mudah alih yang perlu dibayar untuk pembelajaran bahasa) untuk mendapat kefahaman yang lebih baik tatabahasa dan struktur bahasa Perancis, dan saya telah habis mempelajari seluruh pelajaran bahasa Perancis di Duolingo.

Menurut Duolingo, itu bererti saya sudah mempelajari 41% bahasa Perancis! Itu adalah pencapaian besar yang telah bermula dengan hanya lima minit sehari.

2. MENGFOKUS KEPADA SATU KEBIASAAN PADA SATU WAKTU

Salah satu hal yang paling sukar bagi saya ketika ingin membina kebiasaan baru ialah untuk tidak memulakan terlalu banyak pada satu waktu. Saya ada rancangan yang begitu besar untuk hal-hal yang saya ingin perbaiki diri, dan begitu banyak semangat apabila saya bermula, saya ingin membina beberapa kebiasaan pada waktu yang sama.

Setiap kali saya gunakan pendekatan itu, saya berakhir dengan kegagalan. Biasanya beberapa daripada kebiasaan itu tidak dapat bertahan, tetapi kadang-kadang tidak satupun yang berjaya. Ianya terlalu banyak untuk difokuskan pada waktu yang sama - ianya seperti multitasking (melakukan pelbagai tugas pada waktu yang sama), di mana otak anda perlu sering mengubah konteks, sebab anda sebenarnya tidak dapat mengfokus kepada pelbagai hal pada waktu yang sama.

Jadi peraturan  baru saya ialah untuk mengusahakan satu kebiasaan pada satu waktu. Hanya apabila kebiasaan itu sudah menjadi begitu automatik sehingga saya boleh melakukannya dengan mudah setiap hari, barulah saya akan memulakan satu kebiasaan baru yang lain.

Dengan contoh yang telah diberi di atas, saya sudah biasa membaca setiap malam sebelum saya mula mengfokus kepada bahasa Perancis. Dan saya sudah dapat dengan mudah melakukan pelajaran Perancis setiap hari sebelum saya mengfokus pada bangun awal.



Kadangkala ianya mengambil masa yang lama untuk membina satu kebiasaan. Bangun awal pagi adalah suatu pergelutan bagi saya untuk dilakukan secara konsisten. Saya menggunakan empat bulan untuk mengfokus pada kebiasaan itu: mencuba pelbagai pendekatan, menjejak kemajuan saya, dan melapor kepada kawan-kawan yang membantu menyemak kemajuan saya. Saya bertekad untuk menjadikannya kebiasaan yang konsisten tetapi itu bererti tidak membina kebiasaan lain untuk berbulan-bulan. 

Kini, saya merasa gembira bahawa saya telah secara komited membina kebiasaan itu untuk masa yang panjang, sebab saya sekarang bangun awal hampir setiap pagi tanpa memerlukan usaha. Ianya tidak terjadi secara mudah, tetapi memang berbaloi usaha yang telah dicurahkan. 

Masa yang diperlukan untuk membina sesuatu kebiasaan adalah berbeza-beza, jadi empat bulan mungkin lebih panjang atau lebih pendik daripada yang anda perlukan. Kita sering mendengar gagasan bahawa ianya mengambil 21 hari untuk membina satu kebiasaan, tetapi kajian telah menunjukkan bahawa kita semua mengambil tempoh masa yang berbeza untuk membina kebiasaan baru. Dalam satu kajian, masa purata yang digunakan untuk membina satu kebiasaan adalah 66 hari - lebih kurang dua bulan.

Pelajaran yang saya pelajari ialah untuk menanggap secara berbeza setiap kebiasaan, bergantung kepada berapa sukar anda dapat melakukannya secara konsisten, dan juga untuk mengfokus kepada satu kebiasaan pada satu waktu supaya ianya mendapat seluruh perhatian dan tenaga anda.

3. MEMINDAHKAN HALANGAN: MENYEDIAKAN SEGALA YANG ANDA PERLUKAN BERDEKATAN ANDA

Saya mendapati jauh lebih mudah untuk menjalankan kebiasaan saya apabila alat-alat yang saya perlukan ada berdekatan. Sebagai contoh, memiliki telefon di tangan semasa minum kopi menjadikan lebih mudah melakukan pelajaran bahasa Perancis yang singkat pada waktu itu. Membaca satu mukasurat sebuah buku setiap malam menjadi jauh lebih mudah apabila saya menyimpan buku itu bersebelahan katil saya. 

Malcolm Gladwell memanggil ini the tipping point (titik peralihan). Ianya adalah perkara kecil yang mengalihkan anda dari membuat alasan kepada mengambil tindakan. Satu contoh kuat mengenai kuasa titik pengalihan datang dari satu kajian mengenai pendidikan tetanus di sebuah universiti. Kajian itu menguji samada usaha menaikkan tahap ketakutan mengenai tetanus akan mendorong lebih ramai pelajar mendapatkan suntikan untuk mencegahnya. Tahap ketakutan dalam program pendidikan itu kelihatannya tidak membawa apa-apa kesan, tetapi satu perubahan yang tidak disangka telah membawa kesan: dengan menambahkan peta kampus universiti yang menunjukkan pusat kesihatan dan waktu-waktu suntikan dijalankan telah menambah kadar suntikan dari 3% ke 28%. 

"Titik peralihan adalah perubahan kecil yang menjadikannya cukup mudah untuk bertindak sehingga anda benar-benar melakukannya."

Titik peralihan adalah perubahan kecil yang menjadikannya cukup mudah untuk bertindak sehingga anda benar-benar melakukannya. Saya suka memikirkannya sebagai memindahkan sebarang halangan yang menyebabkan saya mudah tidak melaksanakan kebiasaan saya.

Satu kebiasaan yang saya ingin bina pada 2016 ialah untuk bermain piano lebih kerap. Pada waktu ini, saya bermain bila-bila saya rasa suka, yang mana tidak cukup untuk menjadikan saya lebih bagus. Tetapi saya telah memperhatikan bahawa saya cenderung bermain lebih kerap apabila piano itu senang dicapai. Pada waktu ini, ianya berada di satu sudut ruang rehat/tempat makan/dapur kami, jadi saya boleh dengan mudah dapat duduk dan bermain sebentar sementara menunggu hidangan masak, atau apabila saya mengunjungi dapur untuk makanan ringan pada waktu petang. 

Satu lagi kebiasaan yang saya ingin fokuskan pada tahun ini adalah bersenam dengan lebih kerap. Saya perhatikan bahawa apabila saya telah memakai pakaian senaman, ianya adalah hampir pasti saya akan keluar rumah untuk berlari, tetapi sebelum pakaian itu dikenakan, ianya jauh lebih mudah untuk memikirkan pelbagai alasan untuk tidak keluar bersenam. Menyediakan pakaian senaman saya pada malam sebelumnya dan memakainya dengan cepat pada waktu pagi sebelum saya boleh terfikir pelbagai alasan, cenderung membantu saya keluar dari rumah dengan lebih cepat. Ini adalah sesuatu yang saya rancang untuk lakukan dengan lebih kerap apabila saya mengfokus untuk membina kebiasaan ini. 

4. MENEMPELKAN KEBIASAAN: MEMBINA RUTIN BARU KE ATAS RUTIN YANG SEDIA ADA

Salah satu cara kegemaran saya untuk membina kebiasaan baru adalah untuk menempelkannya ke atas kebiasaan yang sedia ada. Ini akan membina beberapa kebiasaan menjadi satu rutin, dan setiap kebiasaan menjadi pencetus untuk kebiasaan yang seterusnya.  

Yang menarik mengenai ini adalah anda sudah punya banyak kebiasaan yang anda mungkin tidak sedari. Gosok gigi sebelum tidur, bangun dari katil di waktu pagi, membuat kopi pada waktu yang sama pada setiap hari - ini semua adalah kebiasaan yang sedia ada. Selagi kamu lakukan sesuatu pada waktu yang sama setiap hari tanpa perlu memikirkannya, ianya adalah suatu kebiasaan yang anda boleh tempelkan kebiasaan lain ke atasnya. 

Jika anda melakukan kebiasaan baru selepas selesai melakukan kebiasaan yang sedia ada, anda boleh bergantung kepada kekuatan daripada kebiasaan yang sedia ada untuk membantu anda menjalankan kebiasaan baru. Sebagai contoh, apabila saya bangkit dari katil, perkara pertama yang saya lakukan ialah pergi ke tingkat bawah untuk membuat kopi. Apabila kopi saya sudah siap, saya memulakan pelajaran bahasa Perancis saya. Kebiasaan saya yang sedia ada membuat kopi bertindak sebagai pencetus untuk menyudahkan pelajaran bahasa Perancis saya.

Dan apabila saya pergi tidur pada waktu malam, saya membuka buku yang terletak di sebelah katil saya. Pergi ke katil dan melihat buku itu menjadi pencetus untuk melakukan bacaan malaman saya. 



Kajian telah menunjukkan bahawa isyarat untuk melakukan kebiasaan baru anda mungkin adalah cara yang paling berkesan untuk memastikan anda  meneruskan kebiasaan itu untuk jangka panjang. Apabila anda menempelkan kebiasaan, anda menggunakan kebiasaan yang sedia ada sebagai isyarat untuk setiap kebiasaan baru yang anda ingin bina. 

Melalui masa, anda akan terus menempelkan kebiasaan baru ke atas kebiasaan-kebiasaan sedia ada untuk mengambil kesempatan daripada perbuatan-perbuatan automatik yang anda sudah pun lakukan.

Membina kebiasaan baru sudah menjadi hobi bagi saya. Ianya sungguh mengujakan untuk memikirkan semua kemahiran yang saya boleh perolehi dan perbaiki melalui masa, dengan hanya membina kebiasaan kecil yang saya ulangi setiap hari. Ianya membuat pencapaian besar kelihatan lebih mudah dicapai.

(Diterjemah daripada artikel Fast Company bertajuk "How I Became A Morning Person, Read More Books, And Learned A Language In A Year" penulisan Belle Beth Cooper yang asalnya diterbitkan dalam laman Buffer)

-------------------------

Nota Admin: Saya mendapat artikel yang bagus ini melalui catitan Facebook Ps. Peter de Run ketika saya baru memulakan rancangan membaca Alkitab (AVB) dalam setahun. Beberapa perkara dalam artikel ini sangat sesuai untuk usaha saya membaca 3 atau 4 fasal Alkitab sehari (yang memerlukan masa hanya 15-20 minit). Kalau saya berjaya membina kebiasaan ini, saya akan selesai membaca seluruh Alkitab dalam setahun. Seperti kata penulis artikel, satu kebiasaan kecil harian untuk tempoh yang panjang akan membawa hasil yang besar!