Sabtu, 9 Julai 2016

Gereja-Gereja Pentakosta dan Karismatik Makin Maju, Manakala Church of England Mengalami Kemunduran

Hillsong Church London mengadakan empat kebaktian ibadah, yang dihadiri oleh 8,000 orang,
pada setiap Ahad di Dominion Theatre (Foto daripada Hillsong Church London)

CANTERBURY. England (RNS): Penutupan gereja bukanlah perkara baru di negara ini.

Dalam masa enam tahun yang lepas, 168 gereja Church of England telah ditutup, bersama dengan 500 gereja Methodist dan 100 gereja Roman Katolik.

"Kekristianan di Britain telah mengalami kemunduran yang berterusan selama lebih 100 tahun," kata Linda Woodhead, seorang ahli sosiologi di Universiti Lancaster. 

Pengunjung-pengunjung ke Britain seringkali terkejut apabila melihat keadaan sebahagian bangunan-bangunan gereja yang dulunya berdiri megah di negara ini. 

Tetapi untuk setiap gereja Anglikan yang telah ditutup dalam tempoh enam tahun yang lepas, lebih dari tiga gereja Pentakosta atau Karismatik telah mengambil alih tempat mereka, mengikut satu analisa oleh The Times of London. 

Gereja-gereja Pentakosta dan Karismatik ini menarik orang-orang yang muda, berkulit hitam, berbangsa Asia dan berbangsa campuran.  

Gerakan Pentakosta adalah salah satu gerakan yang paling cepat bertumbuh di dunia Kekristianan, dengan anggaran 500 juta pengikut. 

"Satu abad yang lalu Kekristianan di Eropah boleh dikatakan berwajah putih, tetapi ianya kini semakin menjadi beraneka warna," kata Israel Olonfinjana, seorang pastor kelahiran Nigeria di London kepada The Times. 

Manakala sidang-sidang yang semakin tua di Church of England kian mundur, gereja-gereja Karismatik pula maju. 

Hillsong Church London menjalankan empat kebaktian, dihadiri 8,000 orang, setiap Ahad di Panggung Dominion. 

Orang-orang Kristian dari Eropah Timur, terutamanya Poland, di mana tradisi Katolik berakar kuat, adalah di kalangan mereka yang menyertainya. Dan semangat mereka makin merebak. 

"Satu peralihan besar telah terjadi," kata Robert Beckford, seorang profesor teologia di Universiti Canterbury Christ Church. "Kekristianan di Britain telah menjadi lebih pelbagai bangsa akibat migrasi dari Afrika Barat, Eropah Timur dan, juga sebilangannya, Amerika Latin."

Elizabeth Oldfield, pengarah di Theos, salah satu kumpulan pemikir yang utama di England, memberitahu The Times: "Pentadbiran Gereja perlu mengambil kira imigrasi dengan lebih serius. Mereka perlu memperhatikan orang-orang di akar umbi yang berjumlah cukup besar, yang berbahasa lain, yang kemungkinannya berasal dari cara penyembahan yang berbeza dan berusaha untuk membawa perubahan. Ini sedang menggoncangkan gereja." 

Pertumbuhan Pentakosta ini membawa harapan baru kepada ramai orang.

"Saya optimis bahawa kita akan melihat negara ini kembali kepada Tuhan," kata Pastor Agu Irukwu dari Redeemed Christian Church of God. Kumpulan itu, yang berasal dari Nigeria, kini mempunyai 600 sidang jemaat di seluruh England. 

(Dipetik dan diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Religion News Service bertajuk, "Charismatic Movement Gains As Church Of England Sputters" yang ditulis oleh Trevor Grundy bertarikh 29 Mac 2016)