Dua gadis Sarawak menunjukkan Kamus Komprehensif Bahasa Iban-Inggeris (Foto: the Sun Daily) |
KUCHING - Bahasa Iban yang mana salah satu bahasa pribumi
masyarakat di Sarawak kini bukan lagi sekadar bahasa pertuturan masyarakat berkenaan
semata-mata kerana ianya sudah berkembang seiringan dengan bahasa utama lain di
Malaysia.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Haji Adenan
bin Haji Satem berkata, ia termasuklah dengan mewujudkan kamus Iban-Inggeris
agar ianya dapat mengangkat bahasa Iban ke tahap yang lebih tinggi lagi
termasuklah bahasa bahasa peribumi yang lain.
Selain itu, usaha bagi memartabatkan bahasa terbabit dan
bahasa bahasa pribumi yang lain perlulah sentiasa dipergiatkan.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Haji Adenan bin Haji Satem merasmikan Kamus Bahasa Iban-Inggeris yang diterbitkan Yayasan Kebudayaan Dayak (Foto: KLXpress) |
"Sarawak yang mempunyai berbagai etnik dan kaum turut
memiliki kepelbagaian dalam bahasa pertuturan seharian.
"Jika usaha mendokumentasikan bahasa-bahasa berkenaan
tidak dilakukan, tidak mustahil ianya akan hilang atau pupus ditelan
zaman," katanya.
Justeru itu, usaha yang dilakukan oleh Yayasan Kebudayaan
Dayak dalam menerbitkan kamus bagi bahasa Iban-Inggeris wajar dijadikan contoh
yang baik dalam memartabatkan dan mendokumentasikan bahasa tersebut untuk
diwarisi oleh generasi muda akan datang.
"Kaum lain patut melakukan usaha yang sama. Jadi, kita
mengalakkan usaha yang sama. Sebelum sesebuah bahasa itu hilang,
dokumentasikannya. Siapa tahu, di masa hadapan sesetengah bahasa boleh atau
akan hilang ditelan zaman," jelasnya lagi.
Adenan berkata demikian dalam ucapannya ketika berucap pada
majlis Pelancaran Kamus Komprehensif Bahasa Iban-Inggeris di Kuching di sini
pagi tadi.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden
Yayasan Kebudayaan Dayak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Alfred
Jabu ak Numpang yang merupakan pencetus bagi penerbitan kamus berkenaan.
Kamus berkenaan yang diterbitkan Yayasan Kebudayaan Dayak
mengandungi lebih 30 ribu kosa kata bahasa Iban bagi dijadikan rujukan orang
ramai yang ingin mempelajari bahasa tersebut.
(Diambil daripada artikel KLXpress bertajuk, "Bahasa Iban Dimartabatkan Dengan Adanya Kamus Bahasa Iban-Inggeris" bertarikh 8 September 2016)