Jumaat, 24 Februari 2017

Pertubuhan Hak Asasi Akan Bantu Orang-Orang Kristian Sabah Yang Dicatit "Islam" Di MyKad


KOTA KINABALU: Seorang pendukung hak asasi kemanusiaan hari ini berkata ramai orang Kristian di Sabah memiliki MyKad yang menyenaraikan mereka sebagai Muslim.  

Daniel John Jambun, yang mengetuai Borneo's Plight In Malaysia Foundation (Bopim) yang berpusat di UK, berkata pertubuhannya merencana untuk membantu orang-orang seperti ini.

Kes Julita Bahiau, Wanita Dusun dari Ranau

Julitah Bahiau dan anak-anaknya.
Jambun menyebut misalan yang terbaru, Julitah Bahiau (foto kanan) yang sedang meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengubah status agama anak lelakinya dari Islam ke Kristian di sjil lahirnya.

Julitah telah memberitahu media tempatan bahawa dia telah memohon untuk sijil lahir anaknya Aryton Verlando tepat pada waktunya pada 2010 tetapi apabila dia menerima sijil lahir itu ianya mencatit agama anaknya sebagai Muslim.

Apabila dia membuat pertanyaan, dia diberitahu bahawa ianya adalah kerana terdapat catitan "Islam" dalam MyKadnya. 

"Saya menerangkan bahawa saya bukan Muslim dan menunjukkan sijil baptisan saya. JPN kemudian mengarahkan saya untuk mendapatkan perintah perlepasan dari Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) untuk memperbolehkan mereka memadamkan catitan "Islam" di MyKad saya dan kemudiannya membuat pembetulan pada sijil beranak anak lelaki saya," begitu katanya seperti dipetik dari The Borneo Post. 

"Sekarang anak lelaki saya sudah berumur 7 tahun, saya tidak dapat mendaftarkannya di mana-mana sekolah oleh kerana dia tidak memiliki sijil beranak. Saya telah disuruh ke sana sini oleh JPN dan saya tidak tahan sudah!" kata Julitah.

Jambun berkata dalam satu temuramah hari ini bahawa kanak-kanak itu perlukan sijil beranak untuk memasuki sekolah. 

Jambun berkata orang-orang bukan Muslim dengan catitan "Islam" di MyKad mereka tidak harus disuruh oleh JPN untuk melalui Mahkamah Syariah untuk memperbetulkan perkara itu.

"Kes Julitah ini bukannya kes seorang Muslim yang ingin meninggalkan Islam," katanya. "Ini adalah mengenai seorang yang bukan Muslim yang ada catitan "Islam" di MyKadnya."

"Orang-Orang Asal Kristian Di Sabah Secara Rutin Diberi Catitan 'Islam' Di MyKad Mereka"

Dia berkata Orang-Orang Asal Kristian di Sabah secara rutin diberi catitan "Islam" di MyKad mereka apabila butir-butir keagamaan mereka "tidak didapati."

Di samping agama, katanya, ramai orang di Sabah dan Sarawak juga diberi pengkelasan "bangsa" yang salah.  

Dia berkata orang-orang KDM di Sabah dan Dayak di Sarawak harus diberikan "pengkelasan bangsa yang betul" di MyKad mereka. "Ini bererti tidak menyenaraikan mereka sebagai lain-lain," kata Jambun. "Kenapakah kita harus disenaraikan sebagai lain-lain di tanahair kita sendiri?"

"Sabah dan Sarawak adalah milik kita," tambahnya. 

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Rights Body To Help Sabah Christians With 'Islam' MyKads" yang ditulis oleh Joe Fernandez bertarikh 24 Februari 2016)