Selasa, 14 Mac 2017

Bukan LPF Sekat "Beauty and the Beast", Babak Gay Sudah Dipotong


KUALA LUMPUR 14 Mac — Penangguhan filem Beauty and The Beast bukanlah berpunca daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF). 


Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata filem terbitan Walt Disney Pictures sebaliknya sudah diluluskan selepas babak berunsur homoseksual dipotong. 



"Sebenarnya filem itu kita sudah luluskan selepas membuat sedikit potongan sebab kita keluarkan adegan berkaitan gay,” kata pengerusi LPF ketika dihubungi Projek MMO.



"Jadi ia boleh ditayangkan untuk P13. Jadi kanak-kanak pun boleh tonton. Bahagian LPF tiada isu. Kita tak sekat filem itu.”

Sistem pengkadaran ‘P13’ mensyaratkan kanak-kanak berumur bawah 13 tahun tidak dibenarkan menonton melainkan ditemani oleh seorang dewasa.  



Abdul Halim berkata LPF sudah ambil maklum mengenai isu babak berkenaan yang menjadi kontroversi di negara luar lebih awal.



“Kami sudah maklum mengenai babak itu. Dan kami memang sudah teliti. Saya tidak mahu ulas mengenai babak tersebut. 



“Dan kenapa ia ditunda, ia bergantung pada pihak penerbit filem itu sendiri. LPF tidak masalah kerana potongan babak telah dilakukan,” katanya.


Filem tersebut sepatutnya ditayangkan di pawagam Malaysia Khamis ini namun pengedarnya Walt Disney Co (Malaysia) Sdn Bhd berkata filem itu terpaksa ditangguhkan untuk “semakan dalaman”.

Tiada penjelasan lanjut diberikan berhubung penangguhan itu dan tarikh baru tayangannya juga tidak dapat dipastikan, lapor portal Star Online semalam.

Filem pembikinan semula animasi klasik pada tahun 1991 dibintangi pelakon popular Emma Watson yang memegang watak Belle dan Luke Evans sebagai Gaston.

Kontroversi timbul apabila watak LeFou, yang dibawa Josh Gad, digambarkan pengarahnya Bill Condon seperti “yang mahu mencium Gaston.”

Orientasi seks watak tersebut hanya terdedah sekelip mata dalam babak tarian akhir Belle dan Beast, dan penonton mungkin tidak perasan, lapor portal The Guardian.

Di Amerika, kumpulan ibu One Million Moms tidak setuju Walt Disney menaikkan agenda gay.

Manakala di Rusia, tayangan filem itu diluluskan untuk khalayak 16 tahun ke atas selepas dibantah keras wakil rakyat aliran konservatif. 

(Diambil daripada artikel Malay Mail Online bertajuk, "Bukan LPF Sekat 'Beauty and the Beast', Babak Gay Sudah Dipotong" yang ditulis oleh Nabihah Hamid bertarikh 14 Mac 2017)
---------------------

Akan ditayangkan di Malaysia
Update 15 Mac 2017: Malay Mail Online melaporkan hari ini bahawa Syarikat Walt Disney telah menarik balik penayangan filem "Beauty and the Beast" di Malaysia kerana tidak ingin menyunting babak yang melibatkan watak gay dalam filem itu. Disney menyatakan dalam satu kenyataan emel: "Filem itu tidak pernah dan tidak akan disunting untuk Malaysia."

Update 21 Mac 2017: New Straits Times melaporkan bahawa Syarikat Walt Disney telah mengesahkan bahawa filem "Beauty and the Beast" akan ditayangkan di Malaysia mulai 30 Mac tanpa suntingan, di bawah pengkelasan PG13. "Jemputlah datang bila filem itu mula ditayangkan di pawagam-pawagam Malaysia pada 30 Mac 2017," kata Disney hari ini.