Selasa, 25 April 2017

Penglihatan Tentang Malaysia

*PENGLIHATAN TENTANG MALAYSIA*

- Dalam kalangan Kristian sahaja -

Petang tadi sekitar jam 4.50 petang, Roh Kudus menggerakkan saya untuk berdoa dan berbahasa roh, mata rohani saya terbuka dan saya melihat suatu penglihatan,

Saya melihat suatu pantai yang putih, namun ada begitu banyak mayat dan bangkai di pesisir pantai tersebut, tiba-tiba ada ombak yang sangat tinggi menghempas kawasan pantai sehingga menenggelami pesisir pantai itu sehingga ke daratan, seperti tsunami yang besar, banyak orang sedang berlari menyelamatkan diri namun dihempas dan tenggelam bersama ombak yang besar itu. Saya diangkat ke tempat yang lebih tinggi dan saya melihat kawasan tanah rendah di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia ditenggelami air, hanya kawasan yang tinggi sahaja yang selamat dan subur dan berwarna hijau. Dari hujung pantai utara Sabah, saya melihat ada sepasang kaki yang sangat besar sedang berjalan melalui kawasan hijau tersebut dan bekas tapak kaki itu jelas kelihatan dari utara Sabah, menuju ke Sarawak dan akhirnya ke Semenanjung Malaysia.

Saya bertanya erti semuanya ini, lalu suatu suara berkata: "Akan Ku biarkan terjadi suatu kegoncangan yang besar atas Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, kegoncangan jasmani dan rohani, sehingga mereka mengetahui bahawa AKU-lah yang berkuasa atas mereka, akan Ku buat mereka berbalik dan menyedari bahawa hanya AKU-lah satu-satunya keselamatan bagi mereka, Gunung batu keselamatan yang kuat dan perkasa. Saatnya untuk mereka mengetahui bahawa AKU- lah satu-satunya harapan atas tanah ini"

Saya teringat kata-kata Daud dalam Mazmur 18:1-51 berkenaan Allah yang menjadi keselamatan, lebih-lebih lagi pada ayat ke 2, "Ya TUHAN, bukit batuku, kubu pertahananku dan penyelamatku, Allahku, gunung batuku, tempat aku berlindung, perisaiku, tanduk keselamatanku, kota bentengku!"

Suara itu terus berkata, "Seperti pada waktu AKU berjalan di Mesir, seperti itu jugalah AKU akan berjalan di tanah-tanahmu untuk mengasingkan umat-umat-Ku, setiap jejak-Ku akan menjadi nyata di antara bangsa-bangsa."

Kemudian saya melihat ada tembok-tembok emas yang muncul di sekeliling pesisir pantai Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, tembok yang sangat tinggi sehingga air dan ombak yang besar itu ditolak jauh dari kawasan yang sebelum itu ditenggelami air, kawasan basah menjadi kering dan berubah menjadi subur dan hijau, semua mayat dan bangkai yang ada di pesisir pantai hidup kembali dan kembali ke tempat mereka.

Suara itu berkata: "Tembok-tembok emas itulah anak-anak-Ku yang bangkit menjadi pendoa, umat-Ku yang siap membayar harga untuk melindungi tanah ini, akan Ku bangkitkan suatu generasi Tembok Emas yang akan menahan tanah ini dari kegoncangan, suatu generasi yang akan membalik keadaan, mereka adalah emas-emas yang telah diuji dan dimurnikan dengan Api, segumpal tanah yang dahulunya dibuang tapi telah Ku bentuk menjadi emas berharga."

Saya dibawa ke suatu sisi yang lain, saya sedang berdiri di suatu jurang yang tinggi dan di hadapan saya terbentang lautan biru, saya melihat ada sesosok manusia sedang memancing ikan, dia mendapat ikan yang kecil, lalu disambar oleh ikan yang besar, dan setiap kali ikan yang lebih kecil disambar oleh ikan yang lebih besar, semakin besar ikan yang keluar dari dalam laut dan itu kelihatan sungguh mengerikan.

Dalam kengerian saya, Suara itu berkata: "Inilah situasi politik yang ada di Malaysia, setiap parti politik akan saling menelan antara satu sama lain, parti-parti politik yang kecil akan ditelan oleh parti-parti politik yang besar, yang ada cuma kematian dan tiada kehidupan. Namun di atas bangsa di mana Nama-Ku disebut dan umat-Ku merendahkan diri, berdoa dan mencari Wajah-Ku, maka AKU akan melindungi mereka, memimpin mereka dan akan memulihkan tanah mereka. Di atas tanahmu akan Ku pegang kendali."

Saya dibawa ke suatu penglihatan yang lain, saya melihat suatu bukit batu yang sedang meretak, di atasnya terdapat suatu tanduk yang besar, dan di tengah bukit batu itu saya melihat seekor makhluk menyerupai harimau yang besar sedang berusaha untuk memecahkan belenggu batu, dia membuka mulutnya dan keluar lidahnya yang berwarna hitam kemerah-merahan, lidahnya mempunyai tiga cabang dan ketiga-tiga cabang lidahnya itu menyerupai kepala ular/naga.

Masing-masing membuka mulutnya dan diatas kepalanya tertulis tulisan yang saya tidak mengerti namun cukup membuat saya menjadi gerun melihatnya.

"Inilah roh-roh yang akan menguasai dan menyesatkan pilihanraya yang akan datang, tiga cabang lidah yang engkau lihat adalah Agama, Wang dan Bangsa, roh-roh ini akan menyesatkan dan memanipulasikan pilihanraya dengan 3 perkara:

1. Wang (rasuah, materialistik, ketidakadilan)

2. Agama (Sentimen keagamaan, politik akan mempermainkan isu agama sehingga menimbulkan penindasan atas agama-agama lain)

3. Bangsa (Menimbulkan sentimen perkauman untuk memecahkan undi, bangsa bangkit melawan bangsa, dasar undi perkauman)"

Kemudian saya melihat dari langit turun suatu pedang yang sangat besar dan menancap di atas tanah dan diatasnya ada suatu mahkota yang besar dan bersinar.

Suara itu berkata: "pedang ini adalah kekuatan, mata-mata pedang ini adalah umat-umat-Ku yang setia berdoa dan hidup dalam Firman-Ku, mereka akan bersatu dan bangkit menjadi mata-mata pedang yang tajam dan siap mengalahkan roh-roh penyesat dan akan mengistiyharkan Pemerintahan yang penuh dengan kebenaran dan keadilan."

Penglihatan itu berakhir dan Roh Kudus menguatkan saya untuk mengongsikan penglihatan ini.

TUHAN sedang memanggil anda untuk masuk dalam pasukan-Nya, siapkah saudara?

Mari bahagikan kesaksian ini kepada teman-teman pendoa yang lain, kita akan bersatu untuk berdoa bagi perkara ini.

TUHAN MEMBERKATI.

- Roysten, 

Kuala Lumpur, 
24/04/2017

(Diambil daripada laman Facebook Roysten Dicky bertajuk, "Penglihatan Tentang Malaysia" bertarikh 24 April 2017)