Isnin, 10 April 2017

Seorang Lagi Aktivis Hilang Sejak Rabu Lalu

PETALING JAYA: Kehilangan Pastor Raymond Koh dan 3 individu lain belum terungkai, kini seorang lagi aktivis dilaporkan hilang sejak Rabu lalu.
Kehilangan Peter Chong yang juga bekas pembantu Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa disahkan anaknya, Darryl Chong.
“Saya kali terakhir jumpa ayah saya pada Rabu lalu. Selepas itu, saya tidak dapat telefon ayah saya. Saya dan keluarga sedang cari sama ada ayah saya hilang atau telefon dia hilang.
“Ayah saya memang biasa tak balik rumah, tetapi jika dia tak balik, dia akan telefon keluarga atau saya.
“Tetapi tidak kali ini. Saya sudah buat laporan polis malam semalam di Balai Polis Tun HS Lee, Kuala Lumpur,” katanya kepada FMT hari ini.
Peter yang sering menyertai acara menyala lilin untuk kehilangan Koh dan 3 yang lain, memuat naik satu status di laman Facebooknya pada 31 Mac lalu memaklumkan seorang penunggang motosikal memberi amaran kepadanya supaya berhati-hati ketika menghadiri acara 4 mangsa hilang itu.
“Saya sedang berjalan ke sebuah warung untuk makan sarapan. Seorang penunggang motosikal muda datang dan bertanya adakah saya tinggal di kawasan sekitar. Saya tanya dia balik, kenapa?
“Dia kata kenal saya dan saya suka hadiri protes dan majlis menyala lilin. Saya tanya dia datang dari mana? Saya sedikit risau dan lihat sekeliling saya, tetapi tidak ada orang lain.
“Dia kata dia sokong apa saya lakukan, tapi ‘mahu hati-hati’…sekarang banyak orang tiba-tiba hilang. Mereka semua tahu mana orang tinggal.
“Saya tanya mereka itu siapa? Dia cuma kata, pandai-pandai la…jaga diri bos..dan pergi meninggalkan saya,” tulis Peter dalam status terakhir di Facebooknya.
Rakan lama Peter yang juga Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago ketika dihubungi berkata, Peter pernah bekerja sebagai pembantu kepada Sivarasa.
“Saya berjumpa dengannya 10 tahun lalu apabila kami mengambil kes menentang kerajaan.”
Beliau turut mengulas catatan Facebook Peter dengan berkata, kebetulan itu menimbulkan pelbagai persoalan, termasuk sama ada orang tidak dikenali itu sebenarnya memberi amaran kepada Peter berhubung apa yang bakal berlaku.
“Mengapa beri amaran itu? Mengapa menyasarkan Peter? Polis perlu berbuat sesuatu tentang perkara ini dan menyiasat kes ini dengan baik.”
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan orang hilang itu.
Ditanya sama ada polis sudah membuka kertas siasatan, beliau berkata “Ya”.
Empat individu yang dilaporkan hilang sebelum ini ialah Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth, serta aktivis di Perlis, Amri Che Mat. Pihak berkuasa masih tiada petunjuk di mana mereka atau siapa yang menculik mereka berempat.
Koh dan NGO beliau, Harapan Komuniti didakwa memurtadkan umat Islam, susulan satu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada sebuah majlis makan malam kesyukuran pada 2011.
Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng yang menghalang kereta Honda Accord miliknya di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari lalu. Rakaman CCTV menunjukkan penculikan Koh membabitkan lebih 10 lelaki yang menaiki 3 SUV hitam pada waktu siang.
Hilmy yang dahulunya seorang umat Islam, dilaporkan hilang pada 30 November 2016.
Amri pula dilaporkan hilang pada malam 24 November 2016 dan ada dakwaan mengatakan beliau ialah pengikut Syiah dan cuba menyebarkan mazhab Syiah kepada orang lain. Isterinya, Norhayati Ariffin bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan berkata “semua karut”.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Seorang Lagi Aktivis Hilang Sejak Rabu Lalu" yang ditulis oleh Mohamad Fadli bertarikh 9 April 2017)