Isnin, 12 Jun 2017

Gereja-Gereja Sarawak Tidak Sepatutnya Membatalkan Acara Perhimpunan, Kata Joseph Kurup


Pemimpin-pemimpin gereja Sarawak tidak sepatutnya membatalkan acara "All Borneo Revival Convocation" kerana acara itu telah mendapat sokongan daripada pemimpin-pemimpin negeri dan orang-orang Kristian merupakan majoriti di negeri Malaysia Timur itu, kata seorang menteri persekutuan. 

Menteri Perpaduan dan Integrasi Nasional, Joseph Kurup berkata bahawa perhimpunan gereja itu sepatutnya diadakan seperti yang telah dirancang di Miri pada bulan ini. 

Beikutan bantahan daripada kumpulan-kumpulan Melayu berkenaan "Jerusalem Jubilee", yang sepatutnya diadakan di Melaka minggu depan, pemimpin-pemimpin gereja Sarawak telah membatalkan acara Kristian itu di Miri.

Kurup berkata bahawa larangan ke atas acara itu di Melaka dapat difahami tetapi ianya tidak harus terjadi di Sarawak. 

Bagaimanapun, ianya telah menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin Kristian di Sarawak peka kepada perasaan orang-orang Muslim di negeri ini.

"Walaupun saya rasa bahawa orang-orang Muslim di Sarawak tidak mempunyai isu dengan acara itu, masyarakat Kristian telah menunjukkan rasa hormat dengan membatalkan acara itu. 

"Dan oleh kerana acara itu telah dibatalkan oleh pihak penganjur dari keputusan mereka sendiri, biarlah ianya seperti yang telah diputuskan," Kurup memberitahu The Malaysian Insight.

Kurup juga berkata sempena bulan Ramadan yang suci, ramai orang Kristian yang menyertai saudara-saudara Muslim mereka dalam acara berbuka puasa sebagai tanda hormat.

"Di sebelah sini, kita semua memiliki perasaan yang sama dan mempunyai hormat yang penuh kepada semua orang, tidak mengira kaum atau agama," katanya. 

Pembatalan perhimpunan Kristian di Miri telah diumumkan walaupun pemimpin-pemimpin negeri memberi sokongan kepada acara itu atas dasar kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Perhimpunan di Melaka sepatutnya dianjurkan oleh Calvary Life Assembly (Chinese), satu denominasi tempatan Kristian, yang mengemukakan beberapa penceramah Injil dari luar negara. 

Penceramah-penceramah yang sama telah dijadualkan memberi ceramah di "All Borneo Revival Convocation", yang sepatutnya diadakan di Miri dari 22-25 Jun.

Seorang ahli jawatankuasa penganjur "All Borneo Revival Convocation" berkata bahawa mereka membatalkan acara itu kerana penceramah-penceramah yang sama yang sepatutnya berucap di Melaka juga telah dijadualkan untuk berucap di Miri. 

"Pihak berkuasa tidak ingin penceramah-penceramah itu datang, jadi kami tak dapat lakukan apa-apa. Kami dalam keadaan tergantung dalam hal ini. Itulah sebabnya kami membatalkan acara itu. 

"Penceramah-penceramah itu juga telah memberitahu kami bahawa mereka tidak ingin menimbulkan perasaan tidak senang pihak berkuasa dan meninggalkan kesan yang tidak baik. Jika mereka telah membatalkan acara Melaka, bagaimanakah mereka dapat datang ke Miri?" katanya.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga adalah Menteri Dalam Negeri telah melarang "Jerusalem Jubilee" di Melaka. 

Zahid berkata acara di Melaka akan mengganggu sensitiviti orang-orang Muslim, jika dibenarkan untuk diadakan, terutama pada bulan suci Ramadan Muslim. 

(Diterjemah daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Sarawak Churches Should Not Have Cancelled Gathering, Says Joseph Kurup" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 11 Jun 2017)