Khamis, 8 Jun 2017

Selepas Hannah, Pensyarah UUM Tuduh Pemimpin PKR Sarawak Bawa Dakyah Kristian


PETALING JAYA: Selepas mendakwa Speaker Selangor Hannah Yeoh cuba menyebarkan ajaran Kristian di dalam bukunya, pensyarah Dr Kamarul Zaman Yusuff kali ini membuat tuduhan sama ke atas seorang pemimpin tertinggi PKR Sarawak.

Kamarul mempersoalkan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang mendakwa acara gereja bertemakan “perhimpunan kebangkitan” (revival convocation) merupakan acara keagamaan yang tidak ada kena mengena dengan politik seperti didakwa sesetengah pihak.

Ia selepas salah sebuah perhimpunan seumpama itu di Miri dibatalkan penganjur, ekoran perhimpunan bertemakan “Jerusalem Jubilee” di Melaka dibatalkan selepas bantahan yang mengaitkannya dengan Zionisme.

Kamarul mempertikaikan hujah Baru bahawa perhimpunan tersebut mengundang kontroversi disebabkan penggunaan istilah “Jerusalem” atau Baitul Maqdis, tanah suci 3 agama yang menjadi titik konflik Israel dan Palestin.

“Tetapi hakikat sebenarnya ialah semua majlis Revival Convocation (Perhimpunan Kebangkitan) ini, walau guna walau tidak guna perkataan Jerusalem pun, mengandungi semangat Jerusalem sebagai intipatinya,” kata pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, sambil merujuk sebuah perhimpunan serupa di Sabah tahun lalu yang antara lain turut memuatkan “Jerusalem”.

Kamarul berkata Baru sendiri meraikan “orang-orang Israel” dalam bukunya “Long Awakening”.

Beliau memetik kandungan muka surat 243 buku itu yang menceritakan pengalaman pilihan raya 2013, diterjemahkan seperti berikut: “Ia adalah kebangkitan panjang untuk Sarawak. Saya diingatkan mengenai Exodus 23:14, di mana Tuhan memberi jaminan kepada orang-orang Israel bahawa bumi yang dijanjikan akan diberikan kepada mereka sedikit demi sedikit, secubit demi secubit. Ada sebab bagus untuk ini bukan untuk kemenangan besar segera. Banyak benda Israel perlu belajar mengenai menjadi sebuah negara. Saya beritahu diri saya, mesti ada sebab-sebab mengapa perubahan politik berlaku perlahan-lahan bukan mengejut.”

“Orang Israel” merupakan istilah merujuk kaum Bani Isra’il, dan kerap disebut dalam Al Quran dan kitab suci lain.

Menurut Kamarul, kandungan buku Baru membuktikan semangat agamanya dicampuri politik.

“Soalan yang perlu dijawab sekarang ialah apakah sokongan Baru Bian, yang merupakan pengerusi PKR Sarawak, terhadap Revival Convocation (Perhimpunan Kebangkitan) bermakna PKR Pusat turut sama menyokongnya?” soal beliau.

Kamarul sebelum ini terlibat dalam pertikaian dengan Hannah Yeoh selepas menyifatkan biografi Adun DAP Subang Jaya itu, “Becoming Hannah” sebagai propaganda Kristian.

Komen Kamarul dalam Facebook itu mengundang laporan polis oleh Yeoh, dibalas dengan laporan polis Kamarul yang berkata buku itu cuba “memujuk, mempengaruhi, atau menghasut” orang bukan Kristian supaya menjadi penganut atau cenderong kepada ajaran Kristian.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Selepas Hannah, Pensyarah UUM Tuduh Pemimpin PKR Sarawak Bawa Dakyah Kristian" bertarikh 8 Jun 2017)