KUALA LUMPUR: 4 suspek yang dipercayai terlibat dalam
penculikan Pastor Raymond Koh dibebaskan atas jaminan polis, kata pegawai
penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya ASP Supari Mohammad.
Katanya, 4 suspek dibebaskan apabila siasatan mendapati
tiada ada maklumat menunjukkan individu berkenaan terlibat dalam penculikan Koh
pada 13 Februari lalu.
“Mereka direman selama 13 hari dengan 2 permohonan (reman).
Kami lakukan soal-siasat, risikan dan kertas siasatan serta sudah
menyerahkannya ke Jabatan Peguam Negara.
“Tidak ada petunjuk atau bukti yang dapat mengaitkan dengan
kes penculikan Koh,” katanya dalam keterangan kepada siasatan awam Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai kehilangan Koh, dan 3 individu
lain, hari ini.
Saksi ke-7 itu berkata, 4 suspek itu dibebaskan selepas
mendapat arahan daripada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC
Fadzil Ahmat dan kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan selanjutnya
(no further action).
Pada 25 Jun lalu, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang ketika itu
menjawat tugas sebagai ketua polis negara berkata, 4 suspek ditahan dalam satu
operasi terhadap kumpulan penyeludupan.
Operasi itu yang menyaksikan kejadian tembak-menembak di Kampung
Weng Dalam, Kedah pada 17 Jun, di mana suspek utama ditembak mati.
Antara barangan yang dijumpai di rumah suspek itu, adalah
gambar dipercayai sebagai rumah Koh, gambar 2 kenderaannya, dan plat lesen
pendaftaraan kenderaan yang tertera nombor ST 5515 D.
Supari berkata, 28 keterangan dari pelbagai pihak diambil
termasuk ahli keluarga Koh, para pengarah di pusat kebajikan Harapan Komuniti
serta pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyerbu sebuah acara
makan malam anjuran Harapan Komuniti yang dinaungi Koh pada 2011 di Gereja
Methodist Damansara Utama (DUMC).
Polis turut mengambil keterangan daripada 12 individu
berbangsa Melayu yang ditahan Jais dalam serbuan itu.
Koh diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10,
kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb lalu,
semasa memandu sebuah kereta Honda Accord bernombor plat ST 5515 D.
Koh diculik semasa dalam perjalanan ke rumah rakannya di
Kelana Jaya. Video insiden itu menunjukkan ia satu rancangan rapi melibatkan
lebih daripada 10 individu dan 7 buah kenderaan di siang hari.
Supari dalam keterangannya berkata, 5 dari 7 buah kenderaan
yang dilihat menculik Koh berjaya dikesan nombor pendaftarannya. Satu daripada
kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Keluarga Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang
maklumat. Sehingga kini, masih tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi
dengan penculik, memberi gambaran yang wang bukan motif penculikan itu.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "4 Suspek Dipercayai Culik Pastor Koh Bebas Dengan Jaminan Polis" yang ditulis oleh Adam Abu Bakar bertarikh 2 November 2017)