Khamis, 2 November 2017

Kek Hari Jadi Untuk Pastor Koh, Diiringi Air Mata

Isteri Raymond Koh, Susanna Liew (dua dari kanan) bersama
anak, Esther Koh (dua dari kiri), memegang gambar Koh
pada sambutan hari jadi ke-63 di pejabat Suhakam

KUALA LUMPUR: Setiap tahun, isteri dan anak Pastor Raymond Koh berkumpul pada waktu malam menyambut hari jadinya dalam suasana riang.

Hari ini, 262 hari selepas hilang dalam keadaan penuh misteri, Koh genap usia 63 tahun.

Susanna Liew, 2 anak perempuannya dan kenalan rapat tetap mengadakan sambutan hari jadi. 

Bezanya, ia berlaku dalam suasana pilu, diiringi doa dan air mata.

Sambutan itu diadakan di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di mana siasatan awam mengenai kehilangan Koh dan 3 individu lain sedang berjalan

Nyanyian lagu hari jadi menyusuli bacaan doa. Sambil berlinangan air mata, Susanna dan anaknya Esther kemudian meniup lilin pada kek yang tertera dengan ayat “Kesayanganku Raymond Koh”.

Susanna berkata beliau gembira dapat menyambut sambutan hari lahir suaminya walaupun bukan berada di sisinya pada tahun ini.



“Selalunya, kami akan sambutnya pada waktu makan malam dengan suasana gembira. Disambut bersama ahli keluarga, serta dihadiri anak-anak saudara yang lain.

“Namun hari ini, kami bersedih apabila dia tidak ada di sini,” katanya.

Polis sebelum ini berkata kehilangan Koh ada kaitan dengan sebuah kumpulan diketuai seorang lelaki dalang penyeludupan senjata api dan dadah yang ditembak mati di Ulu Lenggong, Kedah, pada 17 Jun lal

Siasatan polis mendapati kumpulan berkenaan turut mempunyai jaringan dengan aktiviti penyeludupan manusia di selatan Thailand.

Bekas ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya bekerjasama dengan polis Thailand untuk mengesan rangkaian kumpulan berkenaan.

Koh diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya, pada 13 Februari lalu. Sekurang-kurangnya 7 kenderaan dirakam kamera CCTV mengepung kereta Honda Accord bernombor dengan plat ST 5515 D yang dipandu Koh.

Keluarga Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang maklumat, tetapi pencarian itu masih buntu.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Kek Hari Jadi Untuk Pastor Koh, Diiringi Air Mata" yang ditulis oleh Adam Abu Bakar bertarikh 2 November 2017)