Isnin, 13 November 2017

CCTV Rosak, Keluarga Pastor Koh Dakwa Polis Sembunyi Bukti


SEMUA kamera keselamatan di kawasan sekitar lokasi di mana Pastor Raymond Koh diculik tidak berfungsi pada hari kejadian, ketika mangsa dilarikan dari kenderaannya pada waktu siang, kata polis kepada siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

ASP Supari Muhammad yang juga saksi pertama hari keenam, berkata terdapat tiga kamera – dua milik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan satu kamera polis trafik – terletak di tempat Koh diculik.

Bagaimanapun, katanya pihak berkuasa tidak mempunyai rakaman daripada kamera itu kerana semuanya tidak berfungsi.

“Bagi kamera polis trafik, kami dimaklumkan kamera itu hanya berfungsi jika berlaku kesalahan dan bila ada seseorang melanggar undang-undang. Tetapi, kamera itu tidak berfungsi,” katanya.

Supari mendakwa kamera CCTV di sepanjang Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), di mana dipercayai digunakan oleh penculik Koh untuk melarikan diri, juga tidak berfungsi.

Supari berkata mereka hanya ada rakaman CCTV dari beberapa rumah di Jalan SS4B/10 di mana Koh diculik, dan daripada kamera di papan tanda di persimpangan Taman Mayang, Petaling Jaya.

Peguam keluarga Koh kemudian berkata keterangan Supari itu seperti polis menyembunyikan bukti dan enggan mendedahkan rakaman CCTV dengan mendakwa semua kamera tidak berfungsi.

“Bagaimana kita hendak sahkan apa-apa jika mereka kata semua CCTV rosak?

“Bagaimana kita boleh tahu sama ada polis memeriksa semua CCTV jika tidak ada bukti menunjukkan polis memang sudah melakukan pemeriksaan terhadap CCTV.”

Peguam keluarga Koh juga bertanya Supari mengapa CCTV itu tidak berfungsi dengan baik sedangkan ia penting untuk membanteras jenayah, dan Supari kemudian menjawab polis sudah memaklumkan kepada MBPJ tentang kamera rosak itu.

“Kami menulis kepada MBPJ mengenai kamera rosak itu dan mereka jawab kos penyelenggaraan tinggi, itu sebabnya kamera itu rosak,” katanya.

Ketika persidangan pada 3 November, ahli panel agak bengang apabila Supari enggan berkongsi lakaran dan gambar tempat kejadian, berkata ia memerlukan kelulusan Pejabat Peguam Negara.

Ini menyebabkan Mah mengadakan lawatan tapak bersama ahli keluarga Koh, polis dan peguam.

Seorang lagi saksi polis, Inspektor Ali Asrar juga enggan bekerjasama dengan panel bila mereka minta diari siasatan berhubung kejadian itu.

Bulan lalu, bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar, mengaku polis terlalu lambat bertindak selepas penculikan Koh.

Khalid juga enggan menjawab banyak soalan ketika memberi keterangan, meminta panel merujuk kepada ketua Jabatan Siasatan Jenayah yang terbabit dalam siasatan itu.

Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari.

Siasatan awam Suhakam yang dilancarkan pada 19 Oktober itu dijalankan bagi menentukan sama ada kes kehilangan Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isteri Ruth, serta aktivis sosial Amri Che Mat adalah kehilangan paksa melibatkan pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai mempengerusikan panel itu yang turut disertai oleh Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Panel itu turut mendengar keterangan daripada isteri Koh, Susanna Liew, anaknya Jonathan, Roeshan Gomez yang memandu di belakang kereta Koh ketika penculikan berlaku, pengarah Harapan Komuniti G. Sri Ram dan bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar serta Ali dan Supari. – 13 November, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "CCTV Rosak, Keluarga Pastor Koh Dakwa Polis Sembunyi Bukti" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 13 November 2017)