Ahad, 4 Februari 2018

Kenyataan Tentang Gereja Disalah Tafsir, Kata Ku Nan


Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa kenyataannya berhubung khutbah di gereja hari ini telah disalah tafsir.

Katanya, beliau sama sekali tidak mengatakan institusi gereja sebagai tempat menyebarkan fitnah.

"Saya cuma mengingatkan agar semua rumah ibadat meneruskan aktiviti keagamaan masing-masing dan tidak menjadikan rumah ibadat sebagai pusat penyebaran berita palsu sehingga menaikkan semangat kebencian kepada kerajaan," katanya dalam kenyataan.

Dalam ucapannya di majlis Kenduri 1Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini, Tengku Adnan menggesa gereja untuk tidak menyebarkan perkara tidak benar.

Ketika sidang media selepas itu, Tengku Adnan dilaporkan berkata ada gereja yang menyebarkan berita palsu berkaitan dakwaan Pengerusi Hindraf Malaysia P Waytha Moorthy bahawa beliau berbohong tentang peruntukan RM50 juta kepada masyarakat India untuk mendapatkan rumah menerusi program Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip).

Majlis Gereja Malaysia menyifatkan kenyataan Tengku Adnan itu sebagai mengejutkan dan menyedihkan, dan tidak berasas sama sekali.

Sementara itu, Tengku Adnan menjelaskan yang peringatan yang disampaikan itu bukan untuk gereja sahaja dan beliau sentiasa menyokong institusi itu.

"Saya sendiri mempertahankan sebidang tanah untuk pembinaan gereja baru di Kampung Pandan Indah.

"Saya hanya merujuk gereja sebagai contoh kerana apa yang saya ucapkan mewakili semua rumah ibadat lain, termasuk masjid, surau, kuil dan tokong," katanya.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Kenyataan Tentang Gereja Disalah Tafsir, Kata Ku Nan" bertarikh 3 Februari 2018)